Walaupun karakter panda dijadikan simbol pada logo rasmi Tabung Alam Sedunia (World Wide Fund for Nature, WWF), namun beruang ini telah disingkirkan daripada senarai spesies haiwan terancam secara rasmi pada September 2016. Ini disebabkan bilangan panda di dunia telah meningkat- terima kasih diucapkan kepada kerajaan China atas kerjasama dan usaha memulihara haiwan tersebut yang telah dibuat berdekad lamanya.
Terbaru, sebuah organisasi yang berpangkalan di Beijing iaitu iPanda telah berkongsi satu video menarik yang memaparkan aksi comel seekor panda yang berulangkali berpaut pada kaki penjaganya seolah-olah tidak mahu dia bekerja dan ingin bermain bersama.
Video tular ini telah ditonton sebanyak 166 juta kali dengan 3.3 juta perkongsian sejak dimuatnaik pada 22 Februari yang lalu.
Penjaganya telah berusaha mengangkat anak panda itu dan meletakkannya ke tempat lain, namun ia dengan pantas bergegas kembali memaut kaki penjaganya. Manja betul.
Rata-rata netizen memberikan komen positif hingga ada yang berkata mereka sanggup bekerja di pusat pemuliharaan itu 24 jam setiap hari dan sanggup bermain dengan baby panda tersebut tanpa rasa jemu.