Kredit foto: Instagram Hazami
Pemenang tempat keempat Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Hazami, 42, meminta peminatnya bertenang dan berhenti mempersoalkan kedudukan Lan Solo di tempat ketiga program realiti itu.
Hazami yang mendapat markah 70 peratus, kalah tipis di tangan Lan, 70.4 peratus.
Norkamal Hazami Ahmad atau Hazami dalam kenyataannya berkata, dia menyedari keputusan itu telah mendapat bantahan ramai, namun dia redha dan bersyukur dengan apa yang dimiliki.
"Tak perlu marah, bertenang dan bersabar semua. Tuhan dah tulis malam ini bukan rezeki saya untuk berada dalam tiga teratas.
"Saya hormati pandangan peminat. Itu hak mereka untuk bercakap. Tapi kita perlu terima keputusan juri dan menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka," ujarnya menurut portal Mstar Online, selepas tamatnya Konsert Akhir GV4 yang berlangsung di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru pada Ahad.
Hazami turut berkata, kejayaan diraih tiga peserta di tangga teratas itu sememangnya layak kerana mereka mempunyai pengalaman pahit dan dugaan yang ditempuhi sepanjang penyertaan di GV4.
"Saya tahu perjalanan cerita tiga pemenang ini dan mereka telah melalui banyak dugaan dan ujian.
"Jadi mereka memang layak untuk menang, mereka sangat hebat dan berbakat," katanya optimis.
Sementara itu, penyanyi lagu Kiblatku ini berkata, dia akan mengadakan siri showcase khas buat para peminat pada tahun hadapan.
Malah ada sesuatu yang istimewa bakal menjadi ramuan persembahan itu sekaligus dianggap berbaloi buat mereka yang menghadirinya.
"Showcase ini sempena meraikan 15 tahun saya dalam industri. Ia juga akan memperlihatkan diri saya sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik.
"Untuk mereka yang tak putus-putus menyokong, yang selalu menjerit bila saya buat persembahan, showcase ini khas untuk mereka," katanya.
Di konsert akhir GV4, Hazami mempertaruhkan lagu Bahagiamu Deritaku (Hafiz Suip) untuk segmen solo dan Amboi (Altimet) pada pusingan 'battle'.
Sumber berita: Mstar