gembira miliki kapal terbang peribadi

Penulis sebenarnya menyimpan impian nak mempunyai sebuah kapal terbang sendiri. Maklumlah, kesesakan jalan raya di bandar yang didiami penulis agak teruk sehingga memerlukan tambahan masa lebih 1 jam hanya untuk perjalanan 5 minit ketika jalan lengang di waktu malam.

Walaupun memiliki helikopter sendiri juga merupakan satu opsyen yang baik, tetapi kapal terbang pada penulis lebih ekonomikal dalam jangka masa panjang kerana kelajuannya yang lebih pantas.

Cuma persoalannya, berapakah kos yang diperlukan untuk memiliki sebuah kapal terbang atau pesawat peribadi? Apakah bayaran yang perlu dibayar bagi menjadikan penulis seorang pemilik pesawat peribadi?

Harga kapal terbang

beli belah pesawat

Model kapal terbang Cessna 172 yang dikatakan model paling laris bagi milikan persendirian dalam bentuk baru dianggarkan sekitar RM1.6 juta. Sekiranya kita sanggup untuk memiliki model terpakai, harganya pula dianggar berada disekitar RM120 ke RM150 ribu bergantung kepada tahun, kapasiti dan kualitinya. Ada model lain yang lebih murah tetapi hanya mampu membawa seorang sahaja dengan harga sekitar RM35,000 ke RM64,000 tetapi tak seronoklah terbang seorang diri.

Storan di hangar

simpan pesawat diskypark

Kapal terbang tidak boleh disimpan di rumah melainkan kita mempunyai landasan dan hangar sendiri. Ada beberapa perkhidmatan hangar disediakan di negara kita di beberapa lokasi lapangan terbang. Harganya pula bergantung kepada saiz hangar serta perkhidmatan yang disediakan. Sebagai contoh - ada sebuah hangar di lapangan terbang Subang dijual pada harga RM8 juta. Ada juga yang dikenakan sewa bulanan sebanyak RM32 ribu sebulan. Kesemua hangar yang ada, dijual dengan cara milikan sementara atau 'leasehold' bergantung kepada tempoh milikan.

Penyelenggaraan dan pemeriksaan

servis penyelenggaraan pesawat

Setiap tahun, semua pesawat peribadi perlu melalui proses pemeriksaan yang wajib dilakukan, dalam menjamin keselamatan pesawat tersebut. Jadual penyelenggaraan pula bergantung kepada jarak perjalanan, dengan capaian jarak penerbanga tertentu telah dilakukan, memerlukan pemeriksaan wajib dilakukan.

Sekiranya pesawat hanya diletakkan di hangar, pemeriksaan satu kali setahun tetap wajib dilakukan. Kos pemeriksaan dianggarkan sekitar RM2000 ke RM4200 untuk sekali pemeriksaan dan itu belum dikira sekali kos penggantian alat ganti.

Walau bagaimanapun, pihak yang mengendalikan pemeriksaan dan penyelenggaraan mengakui kos di Malaysia dua kali ganda lebih murah berbanding dengan jiran kita, Singapura. Jadi kita untung.

Insurans

insurans kapal terbang

Sama seperti kenderaan lain, kapal terbang juga memerlukan insurans bagi melindungi kerosakan yang mungkin berlaku bergantung kepada polisi perlindungan yang diambil. Tidak banyak perkhidmatan insurans yang menawarkan insurans kapal terbang di negara kita.

Mengambil contoh syarikat AIG, mereka menawarkan perkhidmatan perlindungan ke atas kapal terbang bergantung kepada risiko yang ada. Selain itu mereka juga akan meletakkan harga perlindungan bergantung kepada jenis kapal terbang serta lokasi di mana kapal terbang itu disimpan.

Oleh kerana itu tidak ada harga tetap yang didedahkan untuk mengetahui berapakah kos insurans pesawat di Malaysia, kita rujuk harga insurans luar sajalah. Untuk kapal terbang kecil di luar negara, caj perlindungan yang dikenakan adalah sekitar RM5000 ke RM8400 setahun.

Kos-kos penggunaan

mobil pengeluar minyak enjin jet

Untuk setiap penerbangan, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira. Yang pertama sudah tentulah kos minyak. Untuk setiap penerbangan selama 1 jam bagi pesawat kecil, penggunaan minyaknya dianggarkan berada pada kadar 18 ke 38 liter. Minyak untuk pesawat pula berbeza kerana minyaknya datang daripada jenis 'U.S. Gulf Coast Kerosene-Type Jet Fuel' yang lebih mahal sedikit berbanding minyak biasa.

Selain itu pesawat perlu menukar minyak hitam setiap empat bulan atau 50 jam penerbangan - mana satu yang sampai terlebih dahulu. Kebiasaannya, sebuah pesawat kecil memerlukan 3 ke 4 kali pertukaran minyak hitam setahun. Bagaimanapun, minyak ini mudah untuk didapati kerana Petronas dan Shell membekalkan minyak-minyak ini kepada penyelenggara.

Kos-kos lain

kapal terbang tersadai

Kos untuk penggunaan lapangan terbang juga perlu diambil kita. Untuk setiap pesawat yang mendarat, pemilik pesawat akan dikenakan bayaran khas mengikut syarat operator lapangan terbang. Sebagai contoh, KLIA mengenakan caj pendaratan sebanyak RM3.90 satu kilogram untuk setiap pesawat yang mahu mendarat yang mempunyai berat bawah 5000kg.

Semakin berat pesawat, semakin tinggilah kadarnya. Apabila sesebuah pesawat melebihi kadar berat tertentu, akan ada satu amaun caj tetap yang akan dikenakan untuk setiap pesawat yang mendarat yang belum dimasukkan caj mengikut kiraan berat per kilogramnya.

berapa kos miliki pesawat peribadi

Semua kiraan ini diandaikan dengan anda sendiri menerbangkan pesawat itu. Sekiranya kita perlu melantik juruterbang bagi menerbangkan kita, kami tidak ada maklumat berkenaan berapakah caj yang dikenakan. Bagaimanapun, setelah melihat sendiri purata gaji bulanan juruterbang Malaysia yang berada sekitar RM117,916 setahun - kami rasakan kos itu tidaklah layak untuk dikatakan rendah.

Dengan semua kos yang diperlukan ini, kini penulis boleh faham kenapa ada pesawat-pesawat yang ditinggalkan begitu saja di KLIA.


Artikel ini adalah olahan semula artikel 'Economics of Owning a Small Plane' yang diterbitkan pada 13 Oktober 2018.


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)