YOLO!
Entah mengapa frasa yang membawa maksud 'You Only Live Once' ini cukup popular di kalangan anak muda khasnya anak muda di Malaysia. Hakikatnya, frasa YOLO itu digunakan bagi membuatkan manusia bangun mengejar impian serta melakukan apa saja yang kita mahu lakukan, kerana kita dikatakan hanya hidup sekali sahaja.
Tidak perlu risau tentang batas-batas, tidak perlu fikir tentang perkara yang mengawal tindakan serta pemikiran, pemuja-pemuja perkataan YOLO ini mahu menerapkan agar manusia mengambil peluang hidup ini, dengan mengisinya melalui aktiviti yang kita nak buat.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi bagi orang Muslim, amat jelaslah YOLO ini sangat-sangat-sangat bertentangan dengan prinsip kepercayaan Islam.
Asal-usul YOLO!
Frasa 'You Only Live Once' sebenarnya bukan baru. Frasa seumpama itu sebenarnya sudah banyak digunakan semenjak abad ke 17 lagi dalam penulisan-penulisan karya zaman itu. Sebuah novel berjudul 'Clarissa' tulisan Samuel Richardson menggunakan frasa yang hampir serupada di dalamnya.
Kemudiannya, pada tahun 1837, ketika tersebarnya wabak-wabak penyakit, sebuah majalah bertajuk 'The Lady's Magazine and Museum' menggunakan frasa 'we live only once' dalam peringatannya kepada pembaca ekoran wabak taun yang meragut jutaan nyawa. Beberapa tahun berikutnya, dalam sebuah ucapan di Scotland, seorang menteri menasihatkan orang ramai supaya menjaga tingkah laku dengan ayat “We cannot live always: we can only live once."
YOLO mula menjadi pop culture pada tahun 1937, apabila filem yang berjudul 'You Only Live Once' diterbitkan, lakonan Henry Fonda dan Sylvia Sidney. Pelawak Joe E.Lewis mempopularkan frasa itu pada era 50-an dengan membuka persembahannya menggunakan ayat “You only live once, but if you play your cards right, once is enough.”
Frank Sinatra menyambut hari jadi ke 50 nya dengan memberikan ucapan yang mengambil frasa yang Lewis gunakan dengan mengakui hidupnya setakat itu, cukup untuk sekali kehidupan.
YOLO pada zaman moden
Penyanyi rap terkenal, Drake mempopularkan frasa tersebut menerusi lagu 'The Motto' dalam albumnya yang berjudul 'Take Care' pada tahun 2011. Bermula daripada situ, penggunaan frasa YOLO mula popular di kalangan anak muda sehinggakan menjadi trend dunia.
Melihat perkara itu, Drake mula mengambil tindakan ke atas pengeluar-pengeluar pakaian yang memaparkan perkataan YOLO kerana merasakan dia adalah 'tuan punya' frasa itu. Pendapat itu disangkal berikutan wujudnya rekod yang menyatakan penggunaan frasa YOLO yang pertama dalam media, melalui sebuah rancangan realiti TV berjudul The Average Joe. Selain itu, kumpulan popular The Strokes juga melancarkan siri promo yang mereka gelarkan 'Operation YOLO' pada tahun 2006, untuk mempopularkan lagu terbaru mereka, "You Only Live Once."
Sorry Drake. Kau tidaklah original mana sebenarnya.
YOLO menurut Islam
Menurut Islam, amat jelas penggunaan frasa YOLO bercanggah dengan kepercayaan orang Islam, apatah lagi jika kita memandukan hidup kita berdasarkan frasa tersebut. Hidup tanpa batas hanya kerana kita percaya ini sajalah kehidupan yang akan kita lalui, merupakan satu kerosakan akidah yang jelas berlaku pada ramai anak muda zaman sekarang.
Semuanya berpunca daripada percaya 'kita hidup hanya sekali' yang mampu membuatkan seseorang itu mahu berusaha merasai segala nikmat dunia sementara sempat.
Kita sudah diberitahu, selepas alam dunia, akan ada beberapa fasa lain dalam kehidupan kita sebelum kita masuk ke dalam fasa terakhir, di mana kita akan ditempatkan ke dalam syurga atau neraka sebagai balasan terhadap apa yang kita kerjakan selama kita hidup di dunia.
Di situlah kita akan hidup kekal abadi.
Apa yang ironiknya, anak kepada Frank Sinatra, iaitu Nancy Sinatra adalah penyanyi kepada lagu tema filem James Bond; yang lagu dan filemnya diberikan judul 'You Only Live Twice.'