hh

Oleh pada 12 Aug 2024 kategori

Bila kita berbicara tentang hadiah kemenangan bagi peserta atlet yang menyertai sukan Olimpik, hadiah berbentuk pingat merupakan standard yang telah kita kenali.

Bagaimanapun untuk anda yang tidak tahu, selain pingat emas, perak dan gangsa serta ganjaran yang ditawarkan oleh pihak kerajaan serta swasta negara asal atlet itu - setiap atlet yang bertanding serta mendapat kedudukan 8 terbaik turut membawa pulang sekeping sijil diploma.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Diploma Olimpik merupakan pengiktirafan istimewa yang diberikan kepada para atlet. Walaupun tidak segah membawa pulang pingat, sijil diploma ini mempunyai sejarah dan memikul makna yang mendalam.

Sejarah awal Diploma Olimpik

1956 olympic winner diploma

Diploma Olimpik diperkenalkan dalam Sukan Olimpik moden sejak awal penubuhannya lagi pada penghujung abad ke 19.

Idea asal penganugerahan diploma ini jelas untuk mengiktiraf usaha dan penyertaan atlet yang telah menunjukkan pencapaian tahap tertentu dalam pertandingan, kini turut dilihat sebagai satu bentuk penghargaan meraikan mereka yang telah susah payah bertanding namun gagal meraih sebarang pingat.

Sukan Olimpik moden pertama tahun 1896 di Athens menyaksikan diploma hanya diberikan kepada juara sebagai pengiktirafan pencapaian di samping pingat emas. Ekoran perubahan zaman serta usaha untuk meniktiraf penyertaan atlet dari seluruh dunia, pada tahun 1924 diploma ini mula diberikan kepada 3 atlet terbaik sebelum diperluaskan merangkumi 6 atlet terbaik sesuatu acara.

Bermula tahun 1981, semua atlet yang berjaya duduk di kedudukan 8 terbaik akan menerima diploma masing-masing.

Kepentingan Diploma Olimpik

sijil diploma olimpik lama

Diploma Olimpik seperti sudah kami katakan di atas, bertujuan untuk memberi penghormatan kepada atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam Sukan Olimpik, walaupun tidak bergelar kelompok 3 terbaik.

Dalam lapangan sukan yang sangat kompetitif, ramai atlet bertanding dengan perbezaan prestasi yang terlalu kecil yang sering kita lihat terjadi dalam acara-acara besar seperti lumba lari 100 meter dan 200 meter.

Diharapkan pengurniaan diploma ini mampu mengubat luka serta dijadikan bukti pengiktirafan usaha keras mereka, mencerminkan nilai kesukanan yang tidak hanya terhad kepada kalungan pingat semata-mata.

Diploma ini juga menjadi simbolik semangat Olimpik moden, yang tidak hanya mahu menyaksikan pemenang, sebaliknya Olimpik dilihat sebagai pemupuk perpaduan, kehormatan, dan keberanian.

Dengan memberikan diploma, Majlis Olimpik memperkukuhkan mesej bahawa setiap penyertaan adalah sama penting dan setiap atlet yang bersaing telahpun menunjukkan pencapaian luar biasa.

Diploma untuk juara atau pemenang pingat emas direkabentuk lebih istimewa, dengan reka bentuk dan bahan yang lebih kelihatan mewah mencerminkan status kemenangan mereka. Rekaan diploma tempat kedua dan ketiga juga berbeza dalam reka bentuk dan kualiti, tetapi masih menunjukkan pengiktirafan yang tinggi, sesuailah dengan status pemenang pingat.

Bagi atlet yang menduduki tempat ke empat hingga ke lapan, rekaan diploma yang diterima mereka lebih sederhana, tetapi tetap harus dilihat sebagai satu pencapaian besar, memandangkan betapa sukar tahap pertandingan di peringkat Olimpik.

Reka bentuk diploma yang bakal dianugerahkan pula bergantung kepada rekaan tuan rumah, direka agar mencerminkan budaya dan seni tempatan negara tersebut.

Memori indah pegawai sukan negara

atlet veteran pamer sijil diploma olimpik

Bagaimanapun, penerimaan diploma di kalangan atlet agak dingin. Ada laporan menyebut di kalangan atlet sendiri tidak menyedari mereka sepatutnya layak menerima sijil diploma ini.

Maklumlah, kalau dah kalah hati pun mesti rasa malas saja nak ingat detik kekalahan sendiri. Namun bagi atlet yang pernah bertanding beberapa kali tanpa berjaya merangkul pingat, diploma ini sekurang-kurangnya mampu menjadi simbol peringatan yang sangat berharga bagi atlet tersebut. Dapatlah juga rasa usaha mereka dihargai dan diraikan.

Selain atlet, diploma ini juga diberikan kepada para pegawai, jurulatih, dan individu lain yang telah memberikan sumbangan besar kepada penganjuran Sukan Olimpik. Mungkin sebab itulah bila kita bercakap tentang rombongan kontinjen yang nak ke sukan Olimpik, jumlah pegawai merangkap penyokong yang tak ada kaitan pun sibuk nak ikut sekali.




Hakcipta iluminasi.com (2017)