landasan keretapi di sg chua

Seronok sebenarnya mengkaji berkenaan asal-usul dan sejarah sesuatu tempat, kerana dari situlah baru kita mengerti bagaimana kita boleh sampai kepada apa yang kita dapat saksikan hari ini. Pengisytiharan nama sesuatu tempat pula selalunya diambil berdasarkan sentimen serta hikayat masyarakat, dengan rujukan pada sejarah dan salasilah selalu dijadikan tunjang dalam memperkenalkan nama baru tempat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hari ini, kami kongsikan asal-usul nama 5 daerah yang popular di Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kami berharap agar pengetahuan baru ini, dapat memberikan perspektif baru kepada anda dalam menilai pembangunan yang telah berlaku di negara kita.

1. Kajang

pejabat pos kajang

Nama Kajang mempunyai pelbagai kisah asal-usulnya, namun kebanyakan kisah mempunyai satu persamaan yang sama. Kebanyakan pendapat setuju nama Kajang berpunca daripada perkataan kajang yang membawa maksud berteduh. Menurut kisah Orang Besar Hulu Langat, Tok Ungku Abdul Jalil - nama Kajang datang daripada pedagang-pedagang Bugis yang melalui perairan sungai di situ yang mempunyai atap yang digelarkan 'kajang.'

Apabila mereka berhenti di situ, mereka akan mengatakan "di sinilah tempat kita akan berkajang (berteduh) jadi lekatlah kawasan itu dengan panggilan 'tempat berkajang' menjadi tempat persinggahan sementara pedagang. (rujukan)

2. Klang

bandar klang

Bagi nama Klang pula, nama Klang dikatakan diambil daripada perkataan Klong yang membawa maksud 'gudang' dengan kawasan asal Klang merupakan antara pelabuhan terpenting yang memiliki banyak gudang dibina di situ.

Menurut pendapat pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Azhar Mad Aros pula, perkataan 'Klang' itu sendiri berasal daripada bunyi loceng yang akan dibunyikan dari atas bukit. Bagaimanapun, beliau juga berkongsikan satu pandangan lain yang mengatakan perkataan 'Klang' datang daripada perkataan minangkabau 'kolang' yang membawa maksud teringat atau terimbau tempat asal oleh orang yang merantau di situ. (rujukan)

3. Brickfields

pekan brickfields

Nama Brickfields asalnya datang daripada usaha pembangunan semula Kuala Lumpur selepas runtuh dirosakkan oleh kebakaran dan banjir pada tahun 1881. Ekoran mahu menjimatkan kos ketika itu, Yap Ah Loy mengambil keputusan membuka sebuah kilang batu bata di lokasi Brickfields bagi memudahkan batu-bata dihantar ke tempat yang memerlukan.

Sebuah landasan keretapi digunakan bagi mengangkut batu-bata yang siap dibina. Buruh-buruh dari India dan Sri Lanka dibawa masuk menjadi pekerja kepada kilang bata tersebut. Semua batu-bata yang siap disusun di tepi kilang, menjadikan pemandangan ketika itu, seperti padang yang dipenuhi batu-bata. Oleh kerana ketika itu British masih memerintah negara kita, mereka merujuk tempat itu sebagai 'brick fields' dan nama itu lekat sehingga sekarang. (rujukan)

4. Langkawi

sejarah langkawi jeti lama

Ada dua kisah bagaimana Langkawi menemui namanya. Yang pertama menceritakan berkenaan satu jenis spesis burung helang yang penduduk tempatan gelarkan sebagai 'lang' sahaja. Di kawasan itu juga terdapat banyak sejenis tanaman berbentuk ubi yang tumbuh. Ubi berwarna perang itu digelarkan oleh penduduk tempatan sebagai ubi kawi.

Mungkin penduduk tempatan menamakan tempat mereka Langkawi kerana helang tersebut suka makan ubi tersebut atau helang tersebut mempunyai warna perang yang sama dengan ubi kawi, tidak dapat dipastikan. Ada pendapat lain yang mengatakan 'kawi' adalah sejenis batu berkapur yang digunakan untuk menandakan barangan yang masuk ke pulau tersebut.

Menurut kisah lain pula, perkataan Langka itu sendiri datang daripada perkataan sanskrit membawa maksud 'sesuatu yang cantik' dan 'wi pula membawa maksud 'banyak' jadi kemungkinan besar perkataan 'Langkawi' itu datang daripada gugusan pulau yang ada dan mempunyai keindahan alam yang cukup cantik. (rujukan)

5. Pontian

jeti di pontian dulu

Jika anda selama ini merasakan Pontian datang daripada kehadiran hantu pontianak yang mengganggu penduduk setempat, sila buang tanggapan anda itu jauh-jauh. Perkataan 'pontian' datangnya daripada perkataan yang membawa maksud 'perhentian.'

Bagi pelayar dan pedagang yang hendak ke Melaka atau Singapura, kebanyakannya akan berhenti sebentar di lokasi Pontian sekarang buat sementara waktu apabila ombak Selat Melaka terlalu kuat untuk ditempuh, sehinggalah tempat itu jadi popular sebagai pusat perhentian. Sebutan perhentian itu lama kelamaan menjadi 'pontian' dan lekatlah nama Pontian sebagai nama rasmi sehingga kini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)