Sumber foto: Techradar

Penukaran bateri pengguna iPhone dijangka hanya dapat dibuat bulan Mac. Ini berikutan pihak Apple telah kehabisan stok bateri untuk model lama iPhone, terutamanya peranti iPhone 6 Plus. 

Sebelum ini, MacRumors memberitahu bahawa terdapat kuantiti yang terhad bagi bekalan bateri gantian model iPhone 6 Plus. Stok baru hanya akan tiba pada akhir bulan Mac ini di Amerika Syarikat dan kawasan lain.

Namun, bateri untuk model iPhone yang lain seperti 6s, 7, 7 Plus dan SE dijangka masih lagi mempunyai stok di kebanyakan negara .

Menurut laporan The Star, hasil kunjungan di cawangan Mac di negara ini mengesahkan terdapat penangguhan program itu berikutan isu bekalan. Penukaran bateri iPhone 6 mengambil masa lebih daripada 2 minggu dan iPhone 6 Plus hanya boleh didapati selepas bulan Mac.

Pengguna iPhone dilaporkan menghadapi prestasi yang kurang bagus pada model lama, selepas iOS terbaru dikemaskini.

Pada 28 Disember tahun lalu, Apple memberi respon terhadap kontroversi kerana memperlahankan prestasi model iPhone yang lama untuk memanjangkan jangka hayat bateri dengan memberi diskaun terhadap penukaran bateri dari US$79 (RM321) kepada US$29 (RM117).

Berikutan itu, peruncit tempatan iaitu Machines dan Switch menawarkan bateri gantian pada harga RM129, manakala bateri gantian untuk iPhone 5, 5C dan 5S masih berharga RM399.

Terdahulu, Apple telah melancarkan program penukaran bateri bagi peranti iPhone yang terpilih sahaja di seluruh dunia. Ini berikutan permohonan maaf di atas tindakan Apple menurunkan prestasi cip pemprosesan milik syarikat itu.

Sumber: The Star Online & wiser.my




Hakcipta iluminasi.com (2017)