Terdapat begitu banyak serpihan batu pelbagai saiz dan bentuk yang terapung di angkasa lepas dan telah dikenalpasti lebih daripada 27,000 batu ini berada hampir dengan Bumi. Walaupun kemungkinan asteroid ini untuk menghentam Bumi adalah sangat sedikit tetapi ia tidaklah mustahil.

asteroid langgar bumi

Pernahkah anda terfikir apa yang akan berlaku jika salah satu asteroid ini menghentam planet yang didiami kita seperti yang dipotretkan dalam filem Armageddon dan Deep Impact

Apa itu asteroid?

Salah satu topik paling menarik mengenai ruang angkasa lepas adalah "Apakah itu asteroid dan bagaimana asteroid dibezakan?". Saintis menggambarkan asteroid sebagai "batu yang mengorbit Matahari dan lebih kecil berbanding planet".

Sejumlah besar asteroid ini terdapat pada asteroid belt di antara planet Marikh dan Musytari (Jupiter). Saintis percaya bahawa zarah-zarah habuk dalam Sistem Suria awal berlanggar dan membentuk gumpalan yang dikenali sebagai planatesimal.

asteroid belt

Ia boleh menjadi lebih besar dengan menarik lebih banyak zarah habuk dengan medan gravitinya. Ada yang cukup besar untuk membentuk sebuah planet manakala yang lain kekal sebagai asteroid. 

Asteroid Ceres yang ditemui pada 1801 adalah asteroid terbesar yang berada dalam asteroid belt di antara Marikh dan Musytari sehingga digelar sebagai planet kerdil (dwarf planet).

Asteroid paling terkenal pula ialah Chicxulub, dipercayai menghentam Teluk Mexico suatu masa yang lama dahulu sehingga menyebabkan kepupusan spesies dinasour.

Apa berlaku jika asteroid menghentam Bumi?

Adalah munasabah jika anda risau apa akan berlaku sekiranya asteroid menghentam Bumi walaupun kebanyakannya akan hancur sebelum memasuki atmosfera Bumi. Ia tidak mustahil bagi sesuatu asteroid untuk meninggalkan orbitnya dan menuju ke Bumi.

Ia bergantung kepada saiz asteroid itu sendiri. Lebih besar sesuatu asteroid itu maka lebih banyak kerosakan yang berlaku di permukaan bumi akibat kesan perlanggaran.

hentaman meteor

Kesan hentaman asteroid boleh menghasilkan gelombang kejutan, sinaran haba dan pembentukan kawah. Jika asteroid jatuh ke dalam laut, ia mungkin akan menyebabkan bencana tsunami.

Selepas berlakunya hentaman, habuk dan asap akan meningkat di atmosfera dan menghalang cahaya matahari daripada masuk. Kejadian ini akan menyebabkan suhu turun dengan mendadak dan boleh menyebabkan kematian banyak hidupan.

Kesan hentaman asteroid

Kita bernasib baik kerana tiada hentaman asteroid besar yang berlaku dalam sejarah manusia. Mengikut andaian pengkaji, jika sebuah asteroid sebesar sebuah bangunan empat menghentam Bumi, ia boleh memusnahkan sebuah bandar kecil.

Jika asteroid itu sebesar bangunan 20 tingkat pula, ia mungkin boleh meratakan sebuah negara kecil sepenuhnya. Satu-satunya kejadian terbesar yang direkodkan sejarah adalah Kejadian Tunguska.

kejadian tunguska

Kejadian Tunguska

Pada 30 Jun 1908, satu letupan kuat di Timur Siberia telah meratakan kira-kira 80 juta pokok pada keluasan 2,150 kmĀ² (lebih besar daripada kota London). Namun, tiada kesan kawah ditemui kerana meteor itu meletup di udara kira-kira 5 km dari permukaan tanah.

Meteor adalah panggilan asteroid atau komet yang terbakar ketika memasuki atmosfera Bumi. Jika meteor di Tunguska itu berjaya menghentam Bumi, kesannya adalah jauh lebih teruk lagi. Meteor yang meletup di ruang udara Tunguska itu dipercayai hanya bersaiz 40-60 meter lebar.

Menyelamatkan Bumi daripada hentaman asteroid

Selain mengkaji Kejadian Tunguska, saintis juga membuat kajian mengenai asteroid di ruang angkasa untuk mendapat lebih banyak pengetahuan mengenai Sistem Suria. Mereka mengkaji mengenai jumlah, sifat fizikal serta trajektori asteroid.

Satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman hentaman asteroid adalah dengan mengenalpasti dan melencongkan laluan mereka. Banyak organisasi terutamanya NASA kerap melakukan pemantauan terhadap asteroid yang berpotensi menghentam Bumi.

asteroid 408

Kajian ini dikenali sebagai Pertahanan Planet dan mempunyai lima langkah utama iaitu:

  1. Mengesan asteroid - Menggunakan teleskop dan imej infra merah bagi mengesan sebarang ancaman.
  2. Memerhati asteroid - Kajian dan andaian trajektori sesuatu asteroid yang dilihat sebagai ancaman.
  3. Menentukan asteroid - Mengenalpasti ciri asteroid seperti putaran, bentuk, kelajuan dan saiz.
  4. Melencongkan laluan - Beberapa kaedah telah difikirkan seperti melakukan pelanggaran menggunakan kapal angkasa atau satelit, menembak pancaran laser atau senjata nuklear untuk meletupkan asteroid.
  5. Latihan dan penyelarasan - Pengurusan kecemasan sekiranya pelanggaran tidak dapat dielakkan.


Hakcipta iluminasi.com (2017)