Ibnu Katsir meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair, Urwah, Qatadah, dan lainnya bahawa di Madinah ada seorang paderi nasrani yang bernama Abu Amir al-Rahib dari Khazraj yang memiliki kedudukan penting di dalam kaumnya. Ketika itu, Rasulullah S.A.W telah masuk ke Madinah, menghimpun kekuatan Islam dan membangun peradaban kaum Muslimin di sana.
(Gambar kebakaran masjid di Texas sebagai hiasan)
BESARKAN TEKS A- A+
Abu Amir merasa tidak suka dengan kejayaan Nabi Muhammad S.A.W. Dia telah pergi ke Mekah untuk mengumpulkan sokongan kaum Kafir Quraisy untuk menentang Rasulullah S.A.W. Begitu bencinya Abu Amir terhadap Rasulullah S.A.W. sehingga dia sanggup menyertai hampir semua perperangan menentang kaum Muslimin.
Apabila melihat dakwah Rasullullah S.A.W sudah semakin tersebar luas dan memiliki kekuatan yang besar, Abu Amir meminta sokongan daripada Maharaja Rom iaitu Heraclius. Maharaja itu menyambut baik kedatangan Abu Amir dan menjanjikan apa yang diminta oleh paderi itu.
Abu Amir tinggal di Rom dan mula menjalankan rancangannya. Dia telah mengarahkan kaum Munafik (berpura-pura Islam) di Madinah untuk membina sebuah masjid yang dinamakan sebagai Masjid al-Dhirar. Tujuan pembinaan masjid itu adalah untuk menyebarkan fitnah, memecahbelahkan dan melemahkan kekuatan kaum Muslimin.
Kaum Munafik di Madinah yang terdiri daripada 12 orang mula membina Masjid Dhirar tidak jauh dari Masjid Quba' (masjid pertama yang dibina umat islam dan diasaskan oleh Rasulullah SAW, jaraknya 2 batu dari Masjid Nabawi). Jaraknya hanya beberapa puluh meter sahaja dari Masjid Quba'.
Kaum Munafik kemudiannya berjumpa dengan Rasulullah SAW dan meminta baginda S.A.W agar solat di masjid baru itu sebagai tanda persetujuan. Mereka berkata tujuan masjid itu dibina bagi memudahkan orang-orang tua dan uzur agar mudah untuk menunaikan solat berjemaah pada waktu malam yang dingin.
Rasulullah S.A.W bersetuju namun menundakan kehadirannya kerana ketika itu kaum Muslimin sedang bersiap untuk berangkat ke Perang Tabuk yang akhirnya berakhir dengan perjanjian damai. Perang Tabuk merupakan siri perang terakhir yang disertai Rasulullah SAW bersama kaum Muslimin.
Rasulullah S.A.W berjaya menguatkan pertahanan kaum Muslimin di Tabuk sekali gus menyekat kemaraan tentera Rom yang diketuai oleh Heraclius. Pengunduran tentera musuh itu merupakan kejayaan terbesar tentera Muslimin tanpa menumpahkan darah walaupun setitik.
Beberapa hari sebelum tiba di Madinah, Nabi Muhammad S.A.W sudah berniat akan singgah di Masjid al-Dhirar seperti yang dijanjikannya. Namun, Malaikat Jibril telah turun membawa wahyu bahawa Masjid Dhirar sengaja dibina untuk memecahbelahkan kaum Muslimin.
“Dan (diantara orang-orang Munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), dan kerana kekafirannya, dan untuk memecah belah orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu.
Mereka sesungguhnya bersumpah, ‘Kami tidak menghendaki selain kebaikan. ‘Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka adalah pendusta (dalam sumpahnya). Janganlah kamu solat dalam masjid itu selama-lamanya.
Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”
(Surah At-Taubah : 107-108)
Rasulullah S.A.W kemudian mengutuskan Malik ibnu Dukhsyum dan Ma’an ibnu Adi untuk pergi ke Masjid Dhirar yang didirikan oleh kaum Munafik itu supaya menghancurkan dan membakarnya. Setibanya mereka di perkampungan Bani Salim, Malik singgah di rumah saudaranya dan keluar sambil memegang pelepah kurma yang dibakar lalu berlari menuju Masjid Dhirar.
Malik, Ma'an dan beberapa sahabat lain telah masuk ke dalam Masjid Dhirar dan memulakan pembakaran ketika kaum Munafik berada di dalamnya. Kaum munafik bertempiaran lari menyelamatkan diri. Ini adalah bukti bahawa sesuatu yang dibangunkan bukan atas dasar ketaqwaan maka hancurlah ia.
Rujukan: