Oleh pada 18 Mar 2018 kategori

ajak dan shahrol bergaduh

Kredit foto: Instagram Ajak Shiro

Pelawak Shiro, Shahrol Azizie Azmi akui terkejut dengan gosip yang mengatakan kononnya dia bertelagah dengan rakan kumpulannya, Mohd Hanaffi Razak atau Ajak selepas hadir lewat di program Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB 2018).

Peringkat akhir pertandingan itu yang berlangsung pada 4 Mac lalu menobatkan pelawak Mark Adam sebagai juara.

Susulan itu, Shahrol berkata, dia berasa pelik kenapa hanya pada masa ini isu itu baru dibangkitkan sedangkan program berkenaan telah berakhir dua minggu lalu.

“Memang benar saya lewat tiba di lokasi BBB 2018 di Sri Pentas 2 Shah Alam, sehingga menyebabkan saya tidak dapat mengadakan sesi latihan bersama Ajak lebih awal.

“Begitupun dari sudut pengisian persembahan ia telah dibincangkan lebih awal. Antara kami sudah faham bagaimana corak persembahan bakal dilakukan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Apatah lagi, kata Shahrol, tidak timbul masalah besar memandangkan dia dan Ajak sudah mempunyai keserasian sebagai sebuah kumpulan kerana seringkali terbabit menjayakan persembahan bersama.

“Latihan singkat dilakukan sebelum program bermula juga tidak boleh dijadikan alasan sebagai punca kepada kekalahan Ajak kerana kami sudah memberikan persembahan terbaik. Cuma rezeki tidak menyebelahi kami pada malam itu.

“Masalah timbul dan menjadi punca menyebabkan saya lewat tiba di lokasi program juga tidak menghalang untuk kami bergabung dan membuat persembahan,” katanya.

Mengenai punca kelewatan, Shahrol berkata, dia terlibat dengan sebuah program yang membabitkan menteri di Johor Bahru pada sebelah pagi, hari yang sama.

“Perkara itu sudah pun saya beritahu kepada Ajak lebih awal. Bagaimanapun ia tidak mengambil masa lama dan pada waktu tengah hari saya mula bertolak ke Kuala Lumpur sebaik majlis selesai.

“Tidak sangka pula dalam perjalanan, berlaku kesesakan lalu lintas kerana ada kemalangan sehingga membuatkan saya terperangkap lebih tiga jam di lebuh raya,” katanya.

Namun begitu, beliau tidak lupa untuk sentiasa menghubungi Ajak bagi memaklumkan keadaan terkininya sepanjang terperangkap dengan kesesakan berkenaan.

“Saya tidak faham apa motif sebenar pihak yang menyebarkan cerita dan mendakwa kami bertelagah disebabkan situasi itu. Sedangkan saya berkali-kali memohon maaf kepada Ajak atas apa yang berlaku.

“Saya sendiri tidak dapat mengelak, apabila berdepan dengan situasi itu (terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuh raya) dan bagaimanapun mujur saya dapat juga tiba sejam lebih awal sebelum program BBB 2018 akhir berlangsung,” katanya.


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)