Suplemen minyak ikan atau fish oil bukanlah asing lagi dalam kalangan masyarakat. Malah ia dikatakan sebagai suplemen yang paling banyak diambil oleh manusia di seluruh dunia.

Apa yang sangat istimewa tentang minyak kan sehinggakan ia mendapat sambutan sebegitu hangat? Jawapannya adalah mudah, ia sarat dengan asid lemak omega-3.

Dan disebabkan oleh badan kita tak mampu untuk menghasilkannya, maka ia datang melalui makanan. 2 asid lemak omega-3 utama adalah asid docosahexaenoic (DHA) dan asid eicosapentaenoic (EPA).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ikan berlemak seperti salmon, makerel dan sardin kaya dengan omega-3 ini. Sesetengah tumbuhan kaya dengan asid lemak omega-3 jenis lain iaitu asid alfa-linolenik, yang boleh ditukarkan kepada DHA dan EPA.

minyak ikan

Sumber asid alfa-linolenik termasuklah biji rami, biji chia, walnut, biji labu dan minyak kanola.

Penyelidikan awal minyak ikan

Penyelidikan ke atas kesan kesihatan daripada minyak ikan bermula sekitar tahun 1970-an apabila para saintis mengkaji pengambilan lemak tak tepu.

Dan ketika itulah kajian dari Denmark mendedahkan bahawa kadar penyakit arteri koronari dan kencing manis yang rendah berlaku dalam kalangan orang asli Greenland yang mana diet mereka sarat dengan pengambilan ikan.

Sejak itu, komuniti saintifik dengan pantasnya mencari kes untuk mengaitkan antara pengambilan ikan dengan kesihatan yang baik.

orang asli greenland

Kajian selanjutnya mengenalpasti bahawa asid lemak omega-3 tak tepu (terutamanya EPA dan DHA) sebagai penyelesaian ajaib kepada kesihatan terutamanya jantung.

Penemuan ini menunjukkan bahawa omega-3 daripada ikan menurunkan paras trigliserida dalam darah yang berpotensi mengurangkan risiko kepada penyakit seperti kanser dan sakit jantung.

Maklumat tambahan pada tahun-tahun seterusnya dikatakan menyokong dakwaan-dakwaan ini dan pada pertengahan tahun 1990-an, Persatuan Jantung Amerika bersetuju dengan dakwaan tersebut.

persatuan jantung amerika

Pada tahun 1994, Persatuan Jantung Amerika mengadakan satu persidangan mengenai manfaat terapeutik daripada asid lemak omega-3 dan syarikat pengeluar suplemen mula memberi perhatian.

Pengeluar ambil peluang hasilkan suplemen minyak ikan

Rakyat Amerika Syarikat tidak begitu gemar dengan ikan berminyak. Menurut kajian Nutrition Journal 2014, purata pengambilan ikan yang kaya dengan omega-3 di kalangan mereka kurang daripada 40 gram seminggu.

Sesetengah daripada mereka mungkin tidak gemarkan rasanya dan yang lain mungkin beranggapan bahawa ia terlalu mahal, terlalu berbau atau sukar untuk dimasak.

ikan salmon kaya dengan omega 3 762

Jadi, melihatkan pasaran yang belum dimanfaatkan ini, industri suplemen memutuskan untuk menangani masalah tersebut. Hasilnya, wujudnya kapsul yang menyampaikan segala kebaikan hanya dalam menelan.

Formula itu kemudiannya diperhalusi untuk menghilangkan bau busuk minyak tersebut.

Tahap keyakinan kerajaan AS terhadap suplemen ini adalah tinggi, namun Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) menyatakan bahawa kajian yang dilakukan terhadap minyak ikan adlah tidak konklusif.

Walaubagaimanapun penafian oleh FDA ini tidak menjejaskan warga AS yang dahagakan kapsul omega-3 ini, dan juga syarikat pengeluar bersungguh-sungguh membekalkan kepada mereka.

Kebaikan dan manfaat omega-3

minyak ikan mengandungi asid lemak omega 3 seperti dha dan epa

Asid lemak omega-3 memainkan peranan penting dalam fungsi otak, perkembangan normal dan keradangan.

Kekurangan omega-3 dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuklah penyakit kardiovaskular, sesetengah kanser, masalah emosi, artritis dan banyak lagi.

Dengan itu, suplemen minyak ikan dipromosikan sebagai cara mudah untuk melindungi jantung, meringankan keradangan, meningkatkan kesihatan mental dan memanjangkat hayat.

Dakwaan seperti ini adalah satu sebab mengapa ia sangat laris dan pengeluar mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit setahun.

Apa yang tersilap dalam kajian awal?

orang asli greenland banyak makan ikan

Jika anda lihat penyelidikan terhadap omega-3 secara menyeluruh, satu perkara yang menonjol, iaitu kebanyakan maklumat mengenai manfaat omega-3 datang dari kajian terhadap pengambilan ikan, dan bukannya suplemen minyak ikan.

Hanya beberapa tahun lepas sahaja suplemen ini dikaji dengan lebih komprehensif dan hasilnya menimbulkan persoalan yang membimbangkan.

Antara kebimbangan adalah suplemen yang dijual secara meluas ini mungkin tidak memberikan dos minyak ikan seperti yang tertera pada label.

Malah, dalam analisa oleh saintis-saintis di Australia dan New Zealand pada tahun 2014 terhadap 32 suplemen minyak ikan komersial yang dijual di farmasi, hanya 3 suplemen yang mempunyai kandungan EPA dan DHA sama atau lebih daripada yang dipaparkan pada label.

Bukan itu sahaja, 2 per 3 daripada sampel kajian itu mengandungi EPA dan DHA kurang daripada 67% seperti yang dipaparkan.

Proses penghasilan yang tidak efisyen

penghasilan minyak ikan

Bagaimana ini boleh berlaku? Para saintis membuat spekulasi bahawa ketika proses menghasilkan suplemen ini, minyak ikan mungkin terdedah kepada udara.

Pendedahan ini boleh menyebabkan pengoksidaan yang mengurangkan jumlah kepekatan EPA dan DHA dalam minyak tersebut.

Malah, sesetengah gel cecair (sarung kapsul) mengandungi perasa tambahan yang bertujuan menutup bau busuk minyak ikan teroksida, menurut laporan yang diterbitkan oleh Consumer Lab pada tahun 2014.

Menurut Dr. James Stein, seorang profesor penyelidikan kardiovaskular di Universiti Wisconsin, minyak ikan adalah seperti suplemen yang lain yang mana tidak dikawal oleh FDA seperti mana ubat preskripsi.

Jadi, anda tak akan boleh pastikan apa yang anda ambil. Ia bukan bermaksud suplemen ini berbahaya, cuma anda mungkin tak dapat seperti mana yang anda bayar.

Menurut Dr. Preston Mason pula yang merupakan penyelidik omega-3 di Hospital Brigham dan Wanita, label-label pada produk suplemen sangat mengelirukan.

"Mereka membuatkan suplemen tambahan minyak ikan ini seolah-olah seperti sejenis ubat asid lemak omega-3 yang diluluskan, walhal sebenarnya tidak. Ia tidak bertujuan untuk mencegah atau merawat penyakit,".

Hasil kajian yang tidak konklusif

adakah suplemen minyak ikan benar benar baik untuk jantung

Walaupun didakwa mampu meningkatkan kesihatan jantung, namun buktinya tidak begitu meyakinkan dan bercampur-campur.

Sebagai contoh, pada Mei 2013, para penyelidik dari Itali melaporkan dalam Jurnal Perubatan New England bahawa suplemen asid lemak omega-3 langsung tidak berkesan dalam mengurangkan serangan jantung, angin ahmar atau kematian daripada penyakit jantung di kalangan mereka yang mempunyai faktor risiko penyakit jantung.

Namun, bukti yang menghubungkan minyak ikan dengan kanser juga berleluasa.

Sesetengah penyelidikan mencadangkan bahawa diet yang tinggi dengan lemak ikan atau suplemen minyak ikan mungkin mengurangkan risiko sesetengah kanser termasuklah kanser prostat.

Para penyelidik lain menunjukkan perkara bertentangan, iaitu hubungan antara memakan banyak ikan berminyak atau pengambilan suplemen minyak ikan yang banyak, dengan peningkatan risiko sebanyak 43% terhadap kanser prostat secara keseluruhan, dan peningkatan risiko sebanyak 71% untuk kanser prostat yang agresif.

Apa yang anda perlu lakukan sekarang?

sumber makanan yang kaya dengan omega 3

Lebih banyak penyelidikan jangka masa panjang diperlukan untuk benar-benar membuktikan sama ada suplemen omega-3 yang dijual di farmasi-farmasi bermanfaat kepada kesihatan seperti yang didakwa.

Buat masa ini, jika anda mahukan manfaat kesihatan daripada omega-3 terutamanya untuk jantung anda, pilihan terbaik adalah dengan memakan ikan, bukannya suplemen.

Namun, jangan keliru. Asid lemak omega-3 benar-benar bermanfaat kepada kesihatan, hanya jika ia datang daripada sumber makanan dan bukannya suplemen.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)