Lalat adalah antara serangga yang paling menjengkelkan. Bukan sahaja ia membuatkan persekitaran rumah menjadi kotor dan tak bersih, tetapi juga membawa pelbagai jenis penyakit.
Serangga ini sangat gemar hinggap di tubuh badan manusia dan dikatakan bahawa ia akan berak serta muntah ketika hinggap. Adakah dakwaan ini benar?
Di mana ada manusia, pasti ada lalat
BESARKAN TEKS A- A+
Pertama sekali, kita perlu lebih spesifik. Lalat yang kita bincang ini adalah lalat rumah, yang dikenali oleh saintis dunia sebagai Musca domestica.
Dan lalat rumah sangat berkait rapat dengan manusia. Hampir di mana-mana sahaja di Bumi yang mana anda boleh temui manusia, pasti anda juga akan menemui Musca domestica.
Jika anda meninggalkan makanan sama ada yang sudah dimasak atau tidak, pasti ia akan dihinggapi serangga perosak ini. Dan bukan setakat makanan sahaja, ia juga akan menghinggap pada anda.
Jadi, pasti anda tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh lalat ini ketika berada di atas tubuh badan anda.
Adakah lalat muntah atas manusia?
Jika soalan anda adalah adakah lalat muntah di atas anda, jawapan yang anda akan terima agak mengejutkan. Lalat rumah memang muntah di atas anda, dan ia berbuat demikian dengan begitu kerap.
Malangnya untuk lalat rumah, ia tidak mampu untuk mengunyah makanan padat.
Kebanyakan serangga yang makan makanan padat mempunyai bahagian mulut untuk mengunyah yang mana membantu menghancurkan makanan kepada bahagian yang lebih kecil untuk dicerna.
Sebaliknya, lalat rumah hanya dikurniakan dengan lidah seperti span. Lidah lalat dikenali sebagai labella dan perkataan ini hanya digunakan untuk lalat sahaja.
Lalat lalat "rasa" dengan menggunakan kaki, jadi ia tidak mempunyai pilihan melainkan berjalan di atas makanan untuk merasa makanan tersebut.
Dan apabila lalat rumah dapat mengesan sesuatu yang dianggap sebagai "sedap", ia akan mengeluarkan lidah lalu ditekan terhadap makanan tersebut untuk menyiasat.
Anda harus tahu bahawa tahi kucing atau anjing adalah sesuatu yang dianggap sebagai lazat oleh serangga ini.
Cecair boleh disedut dengan begitu mudah tanpa banyak usaha oleh lalat rumah.
Di dalam kepala lalat rumah terdapat struktur yang dipanggil sebagai pam cibarial atau pam makanan), yang menghasilkan sedutan untuk menarik cecair melalui saluran di mulut dipanggil pseudotrachea.
Jadi, bagaimanakah lalat rumah memakan daging atau makanan padat lain seperti tahi kucing?
Ia menggunakan mulut yang sama untuk mencairkan hidangan dan memalitkan makanan dengan enzim pencernaan.
Enzim-enzim mula memecahkan makanan pepejal, secara beransur-ansur menjadikannya lembut seperti bubur yang mana boleh dinikmati lalat ini.
Adakah lalat berak atas manusia?
Bayangkan anda sakit perut, dan apabila anda muntah berulang-ulang kali, anda mengalami risiko dehidrasi membuatkan anda perlu minum banyak cecair untuk menggantikan yang hilang.
Perkara ini juga berlaku kepada lalat. Diet cecair yang dimakan oleh lalat bermaksud lalat perlukan air yang banyak. Dan apabila lalat meminum air, ia akan dikeluarkan sebagai najis atau tahi.
Ya, lalat juga berak sama seperti anda!
Oleh itu, berbalik kepada persoalan asal, adakah lalat benar-benar muntah dan berak ketika hinggap pada manusia, maka jawapannya adalah ya. Nasib baik, ia tidak berbuat demikian setiap kali hinggap pada anda.
Ia benar-benar bergantung kepada sama ada lalat menganggap anda sebagai makanan yang berpotensi atau tidak.
Jika lalat mendapat mesej dari kakinya, yang berkata, "Hmm, lelaki ini terasa sangat lazat. Jilatlah sikit!", maka anda akan menerima muntah daripada lalat ini.
Dan jika ia sudah tidak mampu menampung, lalat juga akan berak di atas anda. Tapi tahi tersebut tidak akan bertukar menjadi tahi lalat yang kekal.
Bukan itu sahaja, ia juga akan bertelur di atas daging atau ayam yang belum dimasak yang terdedah. Jika anda tak perasan, pasti anda akan menggoreng sekali telur lalat ini.
Jadi, pastikan makanan anda sentiasa tertutup untuk mengelakkan perkara ini berlaku.
Jadi, perlukah kita bimbangkan lalat ini?
Ya, anda perlu risau. Lalat rumah sangat disyaki menyebarkan sekurang-kurangnya 65 penyakit yang berbeza kepada manusia, termasuk demam kepialu, disentri, kolera, anthrax, kusta, dan tuberkulosis.
Seekor lalat rumah tunggal boleh membawa lebih dari sejuta bakteria dan ebelum antibiotik moden dicipta, lalat adalah haiwan pembunuh.
Adalah penting untuk mengawal sebarang jenis lalat yang mungkin berada di dalam rumah atau di halaman rumah anda, dengan membunuh dan dengan membuang sisa makanan yang dimakan lalat.
Rujukan:
1. Penn State
2. UWM