aaisyah dan zul ariffin digandingkan

Kredit foto: Instagram Zul Ariffin & Instagram Aaisyah Dhia Rana

Sekiranya perancangan Zeel Production menerima kelulusan stesen televisyen, nampaknya cita-cita anak kecil aktres Rozita Che Wan iaitu Aaisyah Dhia Rana untuk berlakon di sisi aktor pujaannya, Zul Ariffin akan tercapai.

Perkara itu diakui oleh orang kuat syarikat penerbitan tersebut, Fadzil Teh yang memberitahu dia telahpun memberi cadangan sebuah telefilem diterajui Zul kepada pihak berkenaan.

"Ketika ini, semuanya masih pada peringkat perancangan. Kami bagaimanapun sudah mencadangkan cerita berkenaan untuk stesen TV.

"Kalau boleh memang kami hendak mendapatkan khidmat Zul sebagai teraju utama. Cuma, perkara ini belum lagi disuarakan kepada pihak beliau.

"Jika projek ini menjadi kenyataan, Che Ta (Rozita) juga akan berlakon sekali dalam naskhah terbabit.

"Ikut perancangan, kami ingin mengembangkan watak Aaisyah sebelum ini dalam drama Kak Marr. Aaisyah kononnya mahu mencarikan suami untuk Che Ta dalam cerita itu. Aaisyah pun sudah pandai bercakap, jadi bolehlah diberikan sedikit dialog kepadanya," katanya memetik laporan portal BH Online.

Terdahulu, Aaisyah yang berusia tiga tahun mendedahkan keinginannya untuk bergandingan dengan aktor filem Tombiruo itu.

Pengakuan si cilik ini dirakamkan dalam sebuah video, lantas dimuat naik di laman Instagramnya pada 15 Oktober sebelum meraih lebih 650 ribu tontonan.

Aaisyah yang juga anak kepada aktor Zain Saidin itu pernah berlakon ketika umur setahun dalam drama yang dibintangi ibunya sendiri berjudul Kak Marr.

Bagaimanapun ketika itu pertuturannya masih belum jelas.

Kata Fadzil, dia terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk melihat Aaisyah beraksi di hadapan kamera ketika selebriti cilik itu bercuti di London bersama keluarganya beberapa bulan lepas.

"Ketika itu, produksi saya sedang melunaskan penggambaran drama Kelip Kelip Kota London. Dalam pada itu, ada juga idea untuk menerbitkan cerita lain, termasuk mewujudkan watak untuk Aaisyah.

"Namun, semua itu tidak menjadi kenyataan. Nampak saja kamera di depannya, Aaisyah terus lari.

"Memang bukan mudah untuk merealisasikan cerita membabitkan Aaisyah. Maklumlah, dia masih kecil. Jadi, kita kena tengok juga 'moodnya' ketika itu. Kita memang kena pandai 'umpan' dan pujuk, untuk ambil hati," beritahunya.

Dalam pada itu, Zul dalam kenyataannya pula berkata, apa yang terjadi itu bertitik tolak daripada video beliau bersama Aaisyah di laman Instagram yang menarik perhatian pengguna laman sosial.  

"Untuk menterjemahkan episod usik-mengusik itu ke kerja lakonan, saya tak boleh komen lebih. Saya tak tahu lagi bagaimana jadinya," katanya.

Sumber berita: BH Online

tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)