Oleh pada 03 Mar 2018 kategori

orang jepun lebih bertanggungjawab

Jepun boleh dikatakan antara negara yang paling teratur dan berdisiplin di atas muka bumi ini. Jika dilihatkan kepada budaya dan gaya hidup mereka, amat sukar untuk kita ikuti.

Sikap dan adat rakyat Jepun inilah yang membentuk negara mereka yang berdisiplin seperti sekarang ini.

iluminasi.com kongsikan 9 sebab mengapa kehidupan di Jepun amat berdisiplin dan teratur.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Budaya turun-temurun

budaya disiplin orang jepun adalah turun temurun

Untuk memulakan atau merubah sesuatu budaya mungkin memerlukan berpuluh atau beratus tahun. Bagi orang Jepun, disiplin merupakan sebahagian daripada budaya mereka. Ia diajarkan kepada kanak-kanak sejak kecil.

Ia hanya ada dalam darah orang Jepun, kerana orang asing yang lahir dan dibesarkan di Jepun sendiri mengakui susah untuk mengikut peraturan yang dipatuhi oleh orang Jepun.

2. Harungi banyak bencana alam

jepun banyak mengharungi bencana alam membuatkan mereka lebih bersedia

Walaupun Jepun satu ketika dahulu telah hancur berdebu disebabkan serangan Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua, namun ia kembali bangkit menjadi antara negara termaju di dunia.

Selepas ranap, rakyat Jepun sedar yang mereka harus bangkit demi negara, membuatkan mereka peka dan lebih menghargai waktu senang.

Bukan itu sahaja, Jepun sangat kerap ditimpa gempa bumi dan tsunami. Jika tidak mengalami musibah ini, mungkin mereka tidak akan menghargai apa yang dinikmati sekarang.

3. Rasa tanggungjawab bersama 

jepun memang terkenal dengan budaya yang berdisiplin 931

Rakyat Jepun mempunyai rasa tanggungjawab bersama yang tersangat kuat. Dengan pemikiran inilah membuatkan mereka lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran.

Sebagai contoh, mereka tidak membuang sampah merata-rata kerana rasa tanggungjawab terhadap komuniti. Sebaliknya, mereka membawa pulang sampah ke rumah.

4. Budaya memihak kepada komuniti

budaya memenangkan komuniti melebihi individu di jepun

Ini merupakan sesuatu yang penting untuk membentuk masyarakat yang baik dan sihat. Di Jepun, budaya mereka adalah memihak kepada komuniti lebih daripada memihak kepada individu.

Secara tak langsung, ia membuatkan rakyat Jepun lebih cenderung menghargai sikap disiplin, harmoni dan segala perkara yang dapat membantu masyarakat untuk hidup dengan lebih baik.

5. Kejujuran diberikan ganjaran

kejujuran diberikan ganjaran di jepun

Di Jepun, mereka yang menjumpai sesuatu yang bukan kepunyaan mereka dan memberikan kepada pihak polis akan menerima "hadiah". Hadiah tersebut adalah 5 hingga 20% daripada nilai barangan tersebut.

Ini secara tak langsung memupuk rasa jujur dan amanah dalam diri mereka.

6. Mengambil berat tentang orang lain

persekitaran kehidupan di jepun yang sangat mencabar

Di Jepun, sejak dari kecil mereka diajar dan dibesarkan untuk mengambil berat mengenai orang lain. Mengambil berat tentang orang lain bukan sahaja dengan membantu sahaja, tetapi dengan tidak menyusahkan atau mengganggu orang lain.

Sebagai contoh, amatlah tidak disukai jika anda makan atau membuat bising di dalam kereta api di Jepun. Ini menunjukkan rasa ambil berat terhadap orang lain yang tinggi.

Nilai ini diterapkan dalam minda orang dewasa dan dilaksanakan yang mana menjadi ikutan golongan remaja dan kanak-kanak.

Ia membuatkan mereka menghormati orang lain dan menepati janji.

7. Persekitaran mencabar

pegawai terpaksa menolak penumpang masuk ke dalam kereta api di jepun

Terdapat teori yang mengatakan situasi rakyat Jepun yang hidup dalam persekitaran yang sukar dimana kawasan yang terhad dan padat membuatkan mereka terpaksa berdisiplin.

Sebagai contoh, jumlah pengguna kenderaan awam seperti kereta api bawah tanah tersangat ramai sehinggakan pegawai tersebut terpaksa menolak masuk penumpang yang berhimpit.

Perkara seperti ini menjadi motivasi kepada mereka untuk menjadi lebih bersatu, teratur dan berdisiplin jika mahu hidup berjalan dengan lancar.

8. Prinsip Shinto

prinsip shinto jepun buatkan mereka berdisiplin

Shinto merupakan agama tradisional di Jepun yang agak popular. Ia dikatakan wujud pada abad ke-8 lagi.

Antara salah satu prinsip Shinto yang digunapakai oleh mereka adalah melakukan yang terbaik untuk apa sahaja tugasan yang diberikan.

Ini dilihatkan membantu dalam membentuk disiplin kebanyakan orang Jepun.

9. Menghormati pihak berkuasa

orang jepun lebih menghormati pihak berkuasa

Antara salah satu budaya Jepun yang sangat dikagumi adalah rasa percaya yang tinggi dan rasa hormat kepada pihak berkuasa.

Sikap ini membuatkan mereka teratur kerana mereka mempercayai sepenuhnya undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sesuatu negara akan menjadi kucar-kacir jika rakyatnya sendiri tidak mempercayai kerajaan serta undang-undang yang dilaksanakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)