Sumber Foto: thairath.co.th

Semut adalah makhluk yang sangat unik. Artikel kali ini berkisar tentang fakta menarik mengenai semut.

1. Semut Mempunyai 2 Perut

semut mempunyai 2 perut

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sumber Foto: ant.miyakyo-u.ac.jp

Semut mempunyai 2 perut bukan kerana serangga ini tamak. Salah satu daripada perut semut adalah bertujuan untuk menyimpan makanan bagi penggunaannya sendiri.

Satu perut lagi juga berfungsi untuk simpanan makanan, namun makanan tersebut akan dikongsikan bersama semut-semut lain.

Terdapat 2 jenis semut, satu yang mencari makanan dan satu lagi yang bertanggungjawab menjaga ratu semut dan sarangnya. Bagi yang berkhidmat untuk ratu semut, mereka tiada masa untuk mencari makanan.

Semut yang bertugas mencari makanan akan berkongsi makanan yang disimpan di dalam perut kepada semut yang lain. Proses ini dikenali sebagai 'trophallaxis' dan ia membantu sesebuah koloni semut untuk bekerja dengan cekap. 

2. Semut Tidak Mempunyai Paru-Paru

semut tidak mempunyai paru paru

Sumber Foto: farelli.info

Disebabkan saiznya yang kecil, semut tidak mempunyai ruang untuk menampung sebuah sistem pernafasan yang kompleks seperti manusia. Sebaliknya, ia mempunyai cara bernafas yang tersendiri.

Semut bernafas dengan menyedut oksigen melalui 'spiracles' yang terdiri daripada lubang-lubang yang terletak di bahagian sisi badan.

'Spiracles' ini bersambung dengan sebuah rangkaian tiub yang membantu menyalurkan oksigen ke setiap sel di dalam badan semut. 

Pergerakan serangga ini membantu peredaran oksigen melalui tiub, dengan pembebasan karbon dioksida keluar melalui tiub yang sama. 

3. Semut Tidak Mempunyai Telinga

semut tidak mempunyai telinga subgenual organ

Sumber Foto: researchgate.net

Tidak seperti serangga lain, semut tidak mempunyai telinga. Namun, ini tidak bererti ia pekak. Jadi, bagaimana semut mendengar?

Semut menggunakan getaran untuk mendengar, menggunakan teknik ini ketika keluar mencari makanan atau untuk menggunakannya sebagai isyarat kecemasan. 

Semut mempunyai sebuah organ di bawah lutut yang berfungsi untuk memproses getaran yang diterima.

4. Terlalu Banyak Semut Di Muka Bumi

terlalu banyak semut di muka bumi

Sumber Foto: severinghaus.org

Frasa 'banyak' adalah suatu perkataan yang agak subjektif, dan secara kuantitatif tidak tetap untuk mencerminkan jumlah sebenar serangga ini.

Untuk melihat dari segi perspektif yang lebih tepat, melalui anggaran, terdapat lebih kurang 1 juta semut bagi setiap manusia di dunia. Ini adalah kadar yang diterima pakai setakat ini.

Memandangkan jumlah manusia di muka bumi adalah sekitar 7.6 bilion setakat ini, maka boleh dianggarkan terdapat sebanyak 7.6 quadrilion (x10^15) semut sedang berlegar-legar di planet bumi. 

Semut boleh dikatakan sebagai penakluk muka bumi, dengan kewujudan di seluruh dunia. Kecuali di Antartika, Artik dan beberapa buah pulau, terdapat sekurang-kurangnya satu jenis spesis semut telah dijumpai di setiap benua. 

5. Semut Mempunyai Kekuatan Luar Biasa

semut mempunyai kekuatan luar biasa

Sumber Foto: smartgeek.com.ng

Walaupun kecil, semut sebenarnya sangat kuat. Serangga berkenaan mempunyai kebolehan untuk membawa beban yang 10 hingga 100 kali ganda beratnya sendiri.

Jumlah bebanan yang boleh dibawa oleh semut bergantung kepada jenis spesis. Semut jenis 'Asian Weaver' boleh membawa beban 100 kali ganda beratnya sendiri. 

Bagaimana semut boleh menjadi begitu kuat? Percaya atau tidak, sebenarnya kekuatan semut adalah disebabkan saiznya yang kecil.

Kajian oleh Arizona State University melaporkan saiz semut yang kecil menyebabkan ototnya mempunyai keluasan keratan rentas yang lebih besar secara relatif kepada badannya.

Ini bermakna serangga ini boleh menghasilkan kuasa yang lebih kuat walaupun hanya dengan penggunaan tenaga badan yang sikit. 

6. Sesetengah Semut Memperhambakan Semut Lain

sesetengah semut memperhambakan semut lain polyergus lucidus 759

Sumber Foto: commons.wikimedia.org

Kenyataan ini mungkin kedengaran agak pelik, namun inilah fakta tentang semut. Sesetengah spesis semut, contohnya seperti Polyergus Lucidus adalah antara semut yang memperhambakan semut lain. Mereka adalah semut penakluk.

Polyergus Lucidus akan menyerang koloni semut lain, menangkap dan memaksa bekerja untuk mereka. Proses ini dikenali sebagai 'slave raiding'. 

Semut jenis ini mempunyai kebolehan khusus untuk memperhambakan semut dari keluarga spesis yang hampir sama dengan mereka.

Semut penakluk memperhambakan semut yang ditangkap dengan mengerah seluruh tenaga buruh mereka untuk kepentingan sendiri. 

Terdapat 2 jenis semut penakluk, 'permanent social parasites' dan 'facultative slave-makers'. Yang jenis pertama itu bergantung seumur hidup mereka kepada semut yang diperhambakan, manakala yang jenis kedua itu tidak bergantung selamanya. 

7. Semut Mempunyai Kebolehan Berenang

Tidak semua spesis semut boleh berenang. Bagi yang boleh berenang, mereka tidaklah berenang seperti manusia, dengan teknik kuak lentang mahupun lain-lain.

Semut mempunyai kebolehan untuk bertahan di permukaan air dengan menggunakan versi renangan sendiri iaitu dayungan 'doggy paddle', dan berupaya untuk mengapungkan diri untuk tempoh yang lama. 

Dalam kata mudah, semut mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap air. Bukan sahaja boleh menahan nafas yang lama di dalam air, semut secara beramai-ramai berupaya membentuk pelampung untuk bertahan di atas air.  

8. Semut Mempunyai Kebolehan Membela Serangga Lain 

semut mempunyai kebolehan membela serangga lain 491

Sumber Foto: flickr.com

Mungkin anda merasakan ini adalah mustahil. Namun, ianya adalah benar. Selain manusia, semut adalah satu-satunya makhluk yang membela spesis lain sebagai sumber makanan mereka. 

Sebagaimana manusia membeli lembu, kambing, ayam mahupun ikan sebagai sumber makanan, semut juga melakukan perkara yang sama terhadap serangga lain. 'Aphids' atau kutu tumbuhan adalah antara belaan semut yang paling biasa berlaku. 

Semut akan melindungi kutu ini daripada pemangsa semulajadi, dan turut memberi perlindungan kepada kutu berkenaan di dalam sarang mereka daripada hujan lebat. Hasilnya, mereka memperoleh bekalan makanan yang berterusan. 

9. Sesentengah Semut Membiak Secara Kloning

semut amazonian membiak secara kloning

Sumber Foto: vreditel-stoi.ru

Sesetengah spesis semut seperti 'Amazonian' tidak melalui proses biasa untuk membiak, sebaliknya, mereka membiak secara kloning.

Telah dilaporkan bahawa ratu semut dari spesis ini mengklonkan diri mereka untuk membiak, menghasilkan semut berjantina betina. Hasilnya, koloni spesis ini tidak mempunyai semut jantan. 

Rujukan:

  1. rentokil.com
  2. worldometers.info



Hakcipta iluminasi.com (2017)