Mungkin anda fikir apabila sudah tiba masa ingin melahirkan, air ketuban akan pecah dan ibu mengandung tersebut terus segera dikejarkan ke hospital untuk bersalin, bukan? Namun, tidak semua ibu melalui pengalaman yang serupa. Ada yang mengambil masa berjam-jam hingga berminggu-minggu menahan sakit kontraksi sebelum betul-betul melahirkan.

Tetapi kebiasaannya ibu yang sudah berada dalam bilik bersalin di hospital akan terbaring sahaja menonton televisyen atau bermain dengan telefon sambil menunggu saat yang dinanti-nantikan. Lain pula ceritanya dengan ibu-ibu ini. Kami kongsikan 8 perkara paling luar biasa yang dibuat oleh ibu yang sedang ingin bersalin:

#1 Mengambil ujian kemasukan universiti

sakit hendak bersalin kontraksi ambil peperiksaan kemasukan universiti

Seorang wanita digambarkan sebagai wanita yang amat kuat dan mengagumkan selepas berjaya mengambil ujian kemasukan ke universiti semasa berada dalam dewan bersalin. Tommitrise Collins menyempurnakan kertas soalan atas talian itu semasa sedang bertarung dengan kontraksi setiap 3 minit di Coliseum Medical Centers, Georgia, Amerika Syarikat. Menurut ibu muda berusia 21 tahun itu, beliau hanya dibenarkan mengambil ujian tersebut pada hari itu.

Pelajar Middle Georgia State University itu menghabiskan ujian kemasukan itu dalam masa dua jam sahaja dan lulus dengan keputusan gred B.

Selepas 20 jam mengalami sakit hendak bersalin, Tommitrise melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Tyler Elise.

#2 Menari lagu Silento - Watch Me (Whip Nae Nae)

Menari ketika mengalami kontraksi bukanlah perkara baru. Ramai ibu yang mencuba pelbagai jenis kaedah untuk membuatkan mereka melupakan kesakitan yang sedang dialami.

Tetapi wanita ini telah mengejutkan jururawat di hospital selepas dikatakan 'hilang' dari dewan bersalin. Rupa-rupanya dia sedang sibuk menari di laluan koridor bersama dua orang rakannya berlatarbelakangkan lagu "Watch Me (Whip Nae Nae" oleh Silento.

Jururawat yang bernama Marsha Ford itu kemudian mengambil video mereka dan memuat naik ke dalam Facebook. Rata-rata netizen membuat spekulasi sama ada ibu muda itu memang benar-benar sedang dalam proses bersalin, namun Marsha segera memberitahu yang ibu itu sudahpun mempunyai bukaan laluan seluas 6cm semasa video diambil.

#3 Menjadi pengapit pengantin

sakit hendak bersalin kontraksi jadi pengapit pengantin

Seorang kakak sanggup menahan kesakitan untuk menjadi pengapit yang berdedikasi semasa majlis perkahwinan adik perempuannya.

Lucy Morris, 29, terjaga dari tidur pada hari bersejarah itu dengan kontraksi tetapi tidak memberitahu Emma yang bakal melangsungkan perkahwinan kerana telah berjanji untuk menjadi pengapit adiknya itu. Beliau hanya menahan kesakitan sehingga selesai majlis dan masih mampu tersenyum bangga semasa sesi fotografi beramai-ramai di luar gereja.

Ibunya segera membawa Lucy ke Doncaster Royal Infirmary sejurus selepas majlis tamat dan 13 jam kemudian, seorang bayi yang diberi nama Izzy selamat dilahirkan.

#4 Menamatkan larian marathon

sakit hendak bersalin kontraksi lari marathon

Kebiasaannya pada usia kandungan sekitar 39 minggu, para ibu lain hanya sibuk memikirkan cara terpantas untuk 'lari' ke hospital tetapi tidak bagi Amber Miller.

Amber sedang mengandungkan anak keduanya dan sudahpun berada dalam penghujung trimester ketiga semasa menyertai Chicago Marathon pada tahun 2011. Semasa larian hampir tamat, beliau mula merasakan kontraksi. Namun, ibu luar biasa ini masih juga meneruskan perlumbaan 42 km itu - sekejap berlari, sekejap berjalan. Selepas berlari selama 6 jam 25 minit, beliau berjaya tiba ke garisan penamat.

Tidak lama selepas itu, puteri keduanya bernama June Audra selamat dilahirkan.

#5 Menjadi jurugambar

sakit hendak bersalin kontraksi jurugambar

Lisa Robinson merupakan seorang jurugambar potret dan perkahwinan. Ketika mengandungkan anak pertamanya, beliau berjenaka dengan suami tentang mengambil sendiri gambar ketika sedang melahirkan. Ini disebabkan beliau tidak pernah mengambil gambar di dalam mana-mana dewan bersalin.

Ternyata jenaka itu menjadi kenyataan apabila Lisa berjaya menangkap sendiri gambar dirinya sedang melahirkan, gambar suaminya ketika pertama kali melihat anak perempuan mereka dan juga gambar doktor memegang bayi itu sejurus selepas bersalin.

#6 Menyolek muka

sakit hendak bersalin kontraksi bersolek mekap

Jika di Malaysia, selebriti terkenal tanah air, Che Ta dulu pernah dikecam kerana memakai alat solek sebelum ke hospital, lain pula dengan ibu ini.

Jurumekap profesional ini menggunakan kemahiran menyoleknya untuk melupakan seketika kesakitan yang dialami semasa sedang dalam bilik bersalin. Solekannya bukan sekadar biasa-biasa - ia lengkap dengan pengkonturan wajah, bulu mata palsu dan garis mata yang tepat.

Alaha Majid kemudian memuat naik gambarnya sedang bersolek ke akaun Instagram sebelum mengucapkan selamat datang kepada anak perempuan comel bernama Sofia Alaya Karimi. Ramai wanita yang mengagumi solekan Alaha kerana mereka sendiri tidak mampu menyolek secantik itu walaupun tidak mengandung.

#7 Mencuri lori pikap

sakit hendak bersalin kontraksi curi lori pikap

Seorang wanita yang sedang sarat mengandung bersama tiga orang rakannya dari Detroit, Amerika Syarikat telah mencuri sebuah lori pikap, memandu lawan arah sebelum mengalami kemalangan sehingga merosakkan lori tersebut. Kenapa curi lori pikap tersebut? Hanya untuk suka-suka.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, tiga rakannya telah melarikan diri dan semasa polis memasang gari ke tangannya, ketika itulah wanita itu mengalami sakit hendak bersalin. Dia terus digegaskan ke hospital dan melahirkan anak dalam keadaan bergari.

#8 Tangkap pokémon

sakit hendak bersalin kontraksi tangkap pokemon

Kisah yang ini bukan berkenaan ibu yang ingin melahirkan tetapi cerita tentang si bapa. Jessica Theriot sedang bertarung nyawa di atas katil menahan sakit ketika suaminya, Jonathan menunggu di atas sofa sambil bermain Pokémon Go. 

Sakit hendak bersalin sememangnya amat memeritkan dan memberikan tekanan, namun Jonathan tidak dapat menahan diri daripada menangkap Pidgey yang betul-betul berada di hujung katil Jessica.

Gambar itu kemudian menjadi viral di Imgur dan Jonathan dikecam teruk oleh netizen kerana masih sempat bermain game walaupun isteri sedang dalam kesakitan. Namun, menurut Jonathan, Jessica tidak marah sedikitpun.

Wow. Apa perkara paling aneh yang anda atau isteri anda pernah buat semasa sedang sakit bersalin (selain daripada genggam tangan pasangan sampai rasa nak tercabut)?


tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)