Banyak artifak terpenting di dunia kini menghiasi muzium-muzium popular di Barat. Malangnya, kebanyakan artifak ini diperolehi dengan cara yang tidak sepatutnya. Artifak-artifak ini telah "dirompak" dari negara asal mereka.
Kini, para pemimpin negara asal artifak-artifak ini terus bersuara dan meminta supaya tinggalan sejarah yang sangat berharga ini dipulangkan semula kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan budaya mereka.
Berikut adalah beberapa artifak penting yang diminta semula oleh negara asalnya.
1. Patung Kerajaan Dahomey (Benin, Afrika)
BESARKAN TEKS A- A+
Kini dipamerkan di : Muzium Quai Branly, Paris
Ketika koloni Perancis menjajah Afrika, mereka telah menjarah Istana Abomey milik kerajaan Dahomey (kini Benin). Antara barangan berharga yang dicuri pada tahun 1892 ialah 26 patung kayu yang mewakili pelbagai pemerintah Kerajaan Dahomey antara kurun ke-17 hingga ke-19.
Benin mahukan semula artifak mereka dan presiden Perancis, Emmanuel Macron, berjanji akan memulangkan semula semua artifak itu pada awal 2021 selain membantu menambah baik muzium di Benin. Namun, Macron masih belum melakukannya dan dipercayai tidak akan menunaikan janjinya.
2. Ka-Nefer-Nefer (Mesir)
Kini dipamerkan di : Muzium Seni Saint Louis, AS
Pada 1951, ahli arkeologi bernama Mohammed Zakaria Goneim telah menemui topeng pengebumian seorang wanita bangsawan yang hidup pada Dinasti ke-19 tamadun Mesir Kuno (kurun ke-13 SM).
Pada tahun 1970-an, kerajaan Mesir mendapati bahawa Topeng Ka-Nefer-Nefer telah hilang. 20 tahun kemudian, Muzium Seni Saint Louis telah membeli topeng itu dari galeri Seni Purba Phoenix di New York dengan harga kurang daripada USD 500,000.
Mesir telah meminta supaya artifak itu dipulangkan tetapi Muzium Seni Saint Louis menolak dan ia masih kekal sebagai salah satu tarikan di muzium itu.
3. Janggut Sphinx (Mesir)
Kini dipamerkan di : Muzium British, London
Patung Sphinx dibina ketika Kerajaan Lama Mesir dan ia menggambarkan Firaun dari Dinasti keempat bernama Khafre. Namun, janggut pada patung itu telah pecah dan hilang. Kini, serpihannya berselerak di seluruh dunia.
Muzium British mendakwa bahawa mereka hanya memiliki sebahagian kecil daripada Janggut Sphinx itu. Mereka kononnya memperolehi artifak itu daripada Giovanni Battista Caviglia, ahli arkeologi yang menemuinya pada tahun 1817.
Kerajan Mesir mahukan artifak itu dipulangkan semula ke tapak asalnya tetapi sehingga kini ia masih berada di London.
4. Patung Nefertiti (Mesir)
Kini dipamerkan di : Muzium Neues, Berlin
Pada tahun 1912, satu misi arkeologi yang diketuai oleh Ludwig Borchardt telah melawat Kaherah, Mesir. Mereka telah menemui pelbagai artifak dan salah satunya ialah patung Nefertiti, isteri kepada Firaun Akhenaten.
Mereka telah membawa artifak itu pulang ke Jerman dan mula mempamerkannya pada 1925. Kerajaan Mesir telah mengharamkan semua misi arkeologi Jerman sehingga patung itu dipulangkan. Selepas hampir lebih 100 tahun berlalu, artifak itu masih kekal di Jerman.
Kerajaan Jerman pula telah meluluskan undang-undang yang menyatakan mana-mana artifak yang berada di negara itu melebihi 25 tahun akan menjadi khazanah negara, tidak kira bagaimana ia diperolehi.
5. Hoa Hakananai'a (Pulau Easter)
Kini dipamerkan di : British Museum, London
Patung batu dari Pulau Easter ini dikenali oleh penduduk tempatan sebagai moai. Patung besar yang menyerupai kepala dan badan manusia ini dipercayai mula dibina dari tahun 1100 hingga 1600.
Hoa Hakananai'a yang bermaksud "rakan yang hilang atau dicuri" ini adalah pameran popular di Muzium Britain. Ia dibawa keluar dari Pulau Easter ketika kapal HMS Topaze singgah di sana pada tahun 1869.
Gabenor Pulau Easter, Tarita Alarcon Rapu telah meminta agar patung ini dipulangkan semula tetapi tiada sebarang usaha yang dilakukan sehingga kini.
6. Batu Marmar Elgin (Greece)
Kini dipamerkan di : Muzium British, London
Artifak ini dinamakan sempena nama pencurinya iaitu seorang diplomat bernama Thomas Bruce, Earl of Elgin ke-7. Artifak berharga ini dibawa keluar oleh Bruce dari Greece antara tahun 1801 hingga 1812 sebelum menjualnya kepada kerajaan British.
Artifak ini dipercayai dihasilkan sekitar 2500 tahun ketika zaman kegemilangan Athen kuno. Kebanyakan marmar ini diambil dari Parthenon, kuil yang dibina untuk dewi Athena.
Greece cuba berunding dengan Muzium British tetapi tiada kata putus. UNESCO dan Kesatuan Eropah juga campur tangan dalam perbincangan ini tetapi artifal ini masih berada di Britain.
7. Mahkota Emas Maqdala (Ethiopia)
Kini dipamerkan di Muzium Victoria dan Albert, London
Pada 1868, tentera British telah menawan ibu negeri bagi Kerajaan Abyssinia iaitu Maqdala (kini Ethiopia). British membawa balik pelbagai khazanah diraja termasuklah mahkota tiga tingkat yang dihadiahkan Raja Iyyasu II kepada Church of Our Lady pada pertengahan kurun ke-18.
Sejak itu, artifak ini berada di Muzium Victoria dan Albert. Pada 2007, Ethiopia memfailkan tuntutan supaya semua artifak dipulangkan tetapi Britain menolak permintaan itu. Namun, pihak Muzium Muzium Victoria dan Albert bersetuju memulangkan beberapa artifak tetapi sebagai pinjaman jangka panjang.
8. Gerbang Ishtar (Iraq)
Kini dipamerkan di : Muzium Pergamon, Berlin
Gerbang Ishtar merupakan pintu masuk kelapan yang dibina di bahagian utara bandar Babylon. Ia dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II pada sekitar tahun 575 SM.
Pada awal kurun ke-20, ahli arkeologi Jerman membawa pulang tinggalan ini ke negara mereka dan membina semula Gerbang Ishtar di Muzium Pergamon sebagai pameran.
Iraq mahukan artifak berharga ini dikembalikan tetapi hasrat mereka masih belum tercapai. Banyak lagi artifak berharga dari Babylon yang tersebar di seluruh muzium di Barat.