Oleh pada 15 Nov 2018 kategori

siapa yang cuba memadamkan firaun hatshepsut dari rekod sejarah

Firaun, atau raja Mesir selalunya terdiri daripada golongan lelaki. Jarang sekali Mesir Purba ditadbir oleh wanita, namun, pada beberapa ketika, pernah kerajaan berkenaan berada di bawah penguasaan firaun wanita. 

Sebelum pemerintahan Cleopatra pada penghujung Dinasti Ptolemaic, Mesir telah mempunyai beberapa orang pemerintah wanita. Yang pasti, terdapat tiga orang firaun wanita, dan mungkin lima orang, bergantung kepada sejauh mana kita melihat sejarah, yang tidak menyatakan secara jelas jantina beberapa orang firaun. 

Siapa Sebenarnya Hatshepsut?

siapa sebenarnya hatshepsut

Hatshepsut merupakan seorang firaun yang hebat. Pemerintahan baginda selama 21 tahun merupakan suatu tempoh kemakmuran buat Mesir. Hatshepsut memainkan peranan yang sangat penting dalam membina Mesir, antaranya menaik taraf laluan perdagangan yang penting buat ekonomi kerajaan berkenaan.

Lembah Diraja, atau The Valley of Kings yang menjadi lokasi pemakaman firaun-firaun terbina dek kerana baginda. Di lokasi tersebut, Hatshepsut telah membina makam buat bapa dan dirinya sendiri, sebelum para firaun selepas baginda mula membina makam mereka di tempat yang sama.

Kaitan Antara Firaun Hatshepsut dan Thutmose III

hubungan hatshepsut dan thutmose iii

Hatshepsut adalah firaun ke-5 daripada dinasti ke-18 Mesir. Secara teknikalnya, Hatshepsut adalah pemangku rasmi kepada anak tirinya, Thutmose III. Disebabkan Thutmose III hanya berusia 2 tahun ketika kematian bapanya Thutmose II, Hatshepsut adalah satu-satunya pengganti yang layak untuk memerintah Mesir.

Ketika di penghujung pemerintahan Thutmose III, seseorang telah cuba untuk menghilangkan segala bukti kewujudan Hatshepsut, dengan menghancurkan patung-patungnya, dan mengubah figuranya kepada lelaki pada penulisan hieroglifik di dinding-dinding.  Mereka melakukan dengan tidak cermat, namun para arkaelogi dan sejarawan berjaya meletakkannya semula dalam sejarah. Hari ini, Hatshepsut dikenali sebagai salah seorang firaun Mesir paling berjaya.

Salasilah Keluarga Firaun Hatshepsut

salasilah keluarga firaun hatshepsut

Suami Hatshepsut ialah Thutmose II, yang juga merupakan adik beradik sebapa (berlainan ibu). Sebab utama Thutmose II mengahwini baginda adalah kerana Hatshepsut adalah anak tunggal Thutmose I dengan isterinya yang pertama (kedudukan isteri yang tertinggi), Ahmose.

Ibu Thutmose II, Mutnofret adalah isteri kedua bapanya, menjadikan Thutmose II kurang layak untuk diangkat sebagai pengganti kelak. Dengan mengahwini Hatshepsut, Thutmose II menjadi pilihan utama sebagai firaun seterusnya. 

Pasangan Thutmose II dan Hatshepsut hanya mempunyai seorang anak, iaitu Neferure yang merupakan seorang perempuan. Walaupun ibunya secara efektifnya seorang Firaun, Neferure tidak layak untuk diangkat menjadi firaun. Hal ini adalah kerana keutamaan harus diberikan kepada Thutmose III. 

Suspek Utama Individu Yang Cuba Untuk Memadamkan Legasi Hatshepsut

amenhotep ii firaun mesir

Tidak diketahui individu sebenar yang cuba untuk memadamkan Hatshepsut daripada sejarah. Menurut rekod sejarah, cubaan untuk menghancurkan legasi Hatshepsut berlaku pada penghujung era pemerintahan Thutmose III. Ketika Hatshepsut memerintah, Thutmose III adalah jeneralnya yang paling berjaya, yang turut memainkan peranan penting lain sebagai atlet, penulis, sejarawan, ahli botani dan arkitek. 

Baginda dilihat berjaya dalam setiap apa yang diusahakannya. Selepas kematian Hatshepsut, pemerintahan baginda selama 33 tahun menyaksikan kawasan taklukan Mesir semakin meluas. Thutmose III langsung tidak mempunyai sebarang masalah atau dendam terhadap ibu tirinya. Jadi, Thutmose III bukanlah suspeknya.

Namun begitu, terdapat beberapa spekulasi yang mengaitkan Thutmose III sendiri sebagai suspek utama yang cuba 'menyucikan' rekod kewujudan ibu tirinya itu. Baginda bertindak sedemikian kerana marah akan Hatshepsut kerana menduduki takhta firaun sebelumnya. Buat penulis, teori ini tidak masuk akal kerana hubungan baginda dengan Hatshepsut pada sebelumnya tidak mempunyai masalah.

firaun yang tidak popular dalam sejarah

Antara suspek lain termasuklah Amenhotep II, yang merupakan anak dan waris Thutmose III, yang membantu bapanya mentadbir di penghujung pemerintahannya. Sebagai anak kepada salah seorang isteri firaun, kedudukannya bagi menaiki takhta sedikit goyah. Menurut beberapa sumber, dengan memadamkan legasi Hatshepsut, takhta sebagai firaun lebih mudah untuk diduduki, namun tidak jelas bagaimana. 

Sama ada betul atau tidak Amenhotep II yang cuba memadamkan legasi Hatshepsut, tiada siapa yang tahu. Namun yang pasti, individu tersebut cuba melakukan apa sahaja bagi menghapuskan Hatshepsut daripada rekod sejarah. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. didyouknowfacts.com
  2. ancientpages.com
  3. todayifoundout.com
  4. avclub.com
  5. annoyzview.wordpress.com


Hakcipta iluminasi.com (2017)