Oleh pada 07 Aug 2021 kategori

Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah menyaksikan penambahan kepada lima sukan baru iaitu bola lisut (baseball / softball), karate, papan selaju (skateboard), sport climbing dan sukan luncur air.

Sukan-sukan baru ini mungkin berbeza jika dibandingkan dengan sukan Olimpik tradisional yang kita kenali tetapi ia bukanlah yang paling pelik seperti beberapa acara yang pernah dipertandingkan pada masa lalu.

Dalam artikel ini, kami senaraikan lapan sukan paling pelik yang pernah dipertandingkan di Olimpik tetapi tidak lagi dipertandingkan.

1. Seni dan kraf

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lukisan yang memenangi pingat emas pada Olimpik Los Angeles 1932

Pertandingan seni pernah menjadi "sukan" Olimpik dari tahun 1912 hingga 1948. Sebanyak 151 pingat telah diberikan kepada pemenang dalam lima kategori berbeza iaitu seni bina, sastera, muzik, lukisan dan ukiran.

Pengasas kepada International Olympic Committee (IOC) iaitu Pierre de Coubertin melihat bahawa peserta Olimpik sejati bukan sahaja seorang yang berbakat secara atletik tetapi juga berbakat dalam bidang seni.

Walau bagaimanapun, acara seni dan kraf ini tidak bertahan lama kerana penonton lebih berminat kepada acara dan pertandingan sukan atletik. Sukan ini akhirnya dihentikan daripada Olimpik.

2. Pertarungan pistol

pertarungan pistol olimpik

Pertarungan pistol ala-ala koboi ini hanya dipertandingkan semasa sukan Olimpik 1906 dan 1908 sahaja. Pada Intercalated Games 1906 (pada masa itu dianggap sebagai Olimpik tetapi tidak diakui secara resmi oleh IOC), peserta melepaskan tembakan terhadap patung menggunakan peluru palsu pada jarak 20 meter dan 30 meter.

Acara itu dirombak pada Sukan Olimpik London 1908 di mana peserta saling menembak sesama sendiri bukannya patung. Peserta memakai pakaian tebal dan topeng besi bagi melindungi diri mereka. Pistol juga tambah dengan pelindung tangan dan jari. 

Selepas Sukan Olimpik London 1908, acara itu digugurkan. Apa yang menariknya, satu tinjauan yang dilakukan di Australia sebelum Sukan Olimpik Sydney 2000 mendapati bahawa 32% orang ingin melihat sukan itu dipertandingkan semula.

3. Mengayun belantan

Bayangkan belantan seperti pin boling dihayunkan pada sekitar badan atlet, itulah yang dilakukan dalam acara mengayun belantan. Acara ini sebenarnya popular di India dan dilakukan sebagai senaman serta latihan seni mempertahankan diri.

Acara mengayun belantan ini hanya muncul di Sukan Olimpik 1904 dan 1932 sahaja. Walaupun sukan itu telah lama dihentikan, acara gimnastik berirama yang diperkenalkan pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 boleh dikatakan versi yang tidak jauh berbeza dengan mengayun belantan.

4. Angkat berat sebelah tangan

angkat berat sebelah tangan

Jika anda ingin membuktikan kekuatan tangan anda, inilah acaranya. Acara angkat berat sebelah tangan telah dipertandingkan di Sukan Olimpik 1896, 1904 dan 1906.

Seperti nama acaranya, peserta hanya boleh mengangkat barbell menggunakan sebelah tangan sahaja. Peserta diperlukan untuk mengangkat beban pada tangan kiri dan kanan secara berasingan.

Setiap pesaing diberi tiga percubaan dan hakim akan memberikan markah berdasarkan gabungan berat diangkat oleh kedua-dua tangan. Acara ini ternyata lebih berisiko berbanding angkat berat yang kita kenali pada hari ini.

5. Panjat tali

panjat tali

Acara panjat tali mula dipertandingkan di Olimpik moden pertama di Athens pada 1896 dan diteruskan sebagai acara kekal sehingga Olimpik Los Angeles 1932.

Acara yang menguji kekuatan bahagian atas badan ini memerlukan peserta untuk mendaki tali sehingga tahap teratas dalam masa yang paling singkat. Peserta hanya dibenarkan memanjat menggunakan tangan sahaja tanpa bantuan kaki.

Acara panjat tali yang paling epik berlaku pada tahun 1904 apabila peserta Amerika, George Eyser, memenangi pingat emas. Eyser telah kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan itu bertanding menggunakan kaki kayu. Lebih mengejutkan, Eyser turut memenangi dua emas, satu perak dan satu gangsa dalam acara gimnastik.

6. Skijoring

skijoring

Skijoring merupakan sukan kaum Nordic di mana seseorang yang menaiki kereta salji ditarik oleh anjing atau kuda. Sukan ini hanya muncul sekali semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk 1928 di Switzerland.

Dalam acara itu, atlet menggunakan ski ditaring oleh kuda di atas tasik yang beku. Walaupun tidak lagi dipertandingkan, sukan yang mirip dengan skijoring iaitu perlumbaan kereta luncur anjing telah diperkenalkan pada Sukan Olimpik 1932.

7. Acara pecut basikal Tandem

basikal tandem

Basikal Tandem adalah basikal yang dibina untuk dua orang penunggang. Walaupun sukan ini dianggap pelik tetapi ia menjadi acara di Olimpik buat jangka masa yang agak lama.

Acara 2000 meter pecut basikal Tandem mula diperkenalkan di Olimpik 1896 dan kali terakhir ia dipertandingkan adalah pada Olimpik Munich 1972.

Salah satu acara pecut basikal Tandem paling diingati ialah pada Sukan Olimpik Helsinki 1952 apabila dua penunggang Australia, Lionel Cox dan Russell Mockridge menyertai perlumbaan itu. Mereka tidak pernah berlatih atau memiliki basikal Tandem tetapi memenangi emas dalam acara tersebut.

Walaupun dihentikan pada 1972, acara seakan itu masih diteruskan dalam Sukan Paralimpik. Atlet yang cacat penglihatan duduk di bahagian belakang manakala orang yang mampu melihat duduk di bahagian hadapan.

8. Ballet Ski

Acara ski ballet merupakan acara demonstrasi pada Sukan Olimpik Calgary 1988 dan Sukan Olimpik Albertville 1992. Seperti nama acara ini, sukan ini adalah gabungan antara tarian ballet dan ski.

Peserta akan melakukan rutin mengikut muzik selama 90 saat merangkumi putaran, lompatan dan gaya. Malangnya, sukan ini tidak lagi diteruskan. Mungkin kerana ia kelihatan lebih lucu berbanding sesuatu yang mendebarkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)