Oleh pada 10 Jan 2018 kategori

djibril cisse liverpool

Kebanyakan pemain bola sepak memulakan karier mereka sejak dari usia kanak-kanak lagi dengan memasuki akademi setempat atau akademi pasukan yang lebih besar. Namun terdapat beberapa pemain yang perlahan perkembangan kariernya. Ada pemain yang masih belajar. Ada juga yang bekerja sebagai mekanik dan sebagainya.

Namun mungkin mereka telah ditakdirkan untuk menjadi pemain yang berjaya, walaupun kejayaan yang dicapai hadir sedikit lambat. Berikut adalah senarai 7 pemain terkenal yang lambat melakukan impak dalam dunia bola sepak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Djibril Cisse

Pemain pertama dalam senarai ini adalah Djibril Cisse. Beliau bermain di Ligue 1 selama 6 tahun bersama pasukan Auxerre, kelab Perancis yang pernah melahirkan pemain seperti Laurent Blanc dan juga Eric Cantona. Tetapi Cisse, yang berpindah ke Liverpool pada tahun 2004 pada umur 23 tahun adalah pemain yang berjaya membantu The Reds merangkul kejayaan Liga Juara-Juara Eropah dimana mereka berjaya mengejar ketika ketinggalan 0-3 untuk mencapai keputusan seri 3-3 seterusnya memenangi penentuan sepakan penalti.

Cisse adalah nama pertama yang dipilih oleh Rafa Benítez untuk penentuan tersebut dan pemain kedua yang berjaya menyempurnakannya. Pertembungan itu kadang-kadang digelar sebagai Keajaiban Istanbul, tetapi kisah lain yang menarik adalah bagaimana Cisse kembali dari kecederaan patah kaki yang serius 7 bulan sebelum itu yang dianggap ramai pihak telah menamatkan aksinya bagi musim tersebut. Video dibawah adalah ketika mereka memenangi penentuan penalti yang penuh dramatik tersebut;

2. Ian Wright

Selepas minat dari pasukan liga bawahan Inggeris iaitu Brighton & Hove Albion dan Southend United berkurangan, dan juga dimasukkan ke dalam penjara untuk tempoh yang singkat kerana kesalahan kecil ketika memandu, Ian Wright berjaya bangun semula. Daripada 'Sunday League' kemudian ke liga semi-pro bersama pasukan Greenwich Borough di London dan kemudian percubaan dengan pasukan Crystal Palace. Di sinilah beliau berjaya mendapatkan kontrak profesional pertamanya tidak lama sebelum hari lahirnya yang ke-22.

Beliau bermain selama 6 tahun untuk pasukan yang digelar Eagles tersebut dan menjaringkan 117 gol sebelum kelab yang menjadikannya terkenal, Arsenal membuat tawaran. Tujuh tahun bersama The Gunners, dengan 288 penampilan dan juga 179 gol, tanpa menyebut gelaran Liga Perdana yang dimenangi, dan beberapa kejuaraan lain. Dan sebenarnya, beliau hampir-hampir menjadi seorang tukang pelekat hiasan dinding.Saksikan gol-gol yang dijaringkan oleh Ian Wright ketika bersama Arsenal

3. Miroslav Klose

Bapanya adalah bekas pemain bola sepak yang turut bermain untuk pasukan Auxerre di Perancis, dan ibunya pula bekas pemain bola baling kebangsaan, jadi tidak mengejutkan Miroslav Klose dilahirkan dengan darah sukan dalam dirinya. Yang mengejutkan adalah kemunculan beliau boleh dikatakan agak lambat. Ketika usianya 20-an, beliau berhempas-pulas untuk memecah masuk ke kesebelasan utama pasukan liga bawahan iaitu FC 08 Hamburg di Jerman. Tetapi sebaik sahaja belaiu tiba di FC Kaiserslautern pada tahun 1999, segalanya berubah.

Perpindahan ke Werder Bremen pada tahun 2004 dan kemudian ke Bayern Munich pada 2007, di sinilah beliau mencapai kejayaan tertinggi dengan gelaran Bundesliga ketika usianya baru sahaja menjangkau 30 tahun pada musim 2007-08. Beliau menamatkan kariernya di Serie A dengan gemilang di Lazio.

Walaupun terpaksa menunggu hingga usianya 23 tahun untuk mewakili Jerman (dan menolak untuk mewakili negara kelahirannya Poland), Klose berjaya menjaringkan 71 gol yang menakjubkan dalam 139 penampilannya di peringkat antarabangsa, termasuk 16 gol di Piala Dunia, rekod terbanyak sepanjang masa sehingga kini. Di bawah adalah video kesemua 71 jaringan gol antarabangsanya:

4. Jay DeMerit

Dilahirkan di Wisconsin, Jay DeMerit adalah seorang pemain bola sepak kolej yang berbakat, tetapi ia belum mencukupi bagi beliau untuk mendapat tawaran atau kontrak dengan pasukan MLS. Tidak gembira dengan kerjayanya sebagai seorang pelayan bar, beliau mengambil langkah berani dengan menggunakan kelebihannya yang berketurunan Denmark untuk bekerja di Eropah dan bermain untuk pasukan bawahan, Southall, di barat London.

Tetapi peluangnya muncul ketika berjaya memanjat ke divisyen yang lebih tinggi bersama pasukan Northwood. Peluang untuk menyinar di depan kelab yang lebih besar hadir dalam satu perlawanan persahabatan menentang Watford, yang kemudian membawanya untuk melakukan percubaan di sana. Beliau berjaya mendapatkan kontrak, dan seterusnya ke Liga Perdana apabila pasukan itu dinaikkan ke liga utama tersebut pada tahun 2004. Walaupun tersingkir semula pada musim seterusnya, persembahan DeMerit yang membolehkannya merangkul anugerah pemain terbaik perlawanan "play-off" ketika itu, telah membantu mereka dinaikkan semula pada tahun 2006.

MLS berjaya mengesan bakatnya, dan pada tahun 2010 DeMerit bermain untuk Vancouver Whitecaps dan turut diberikan lilitan kapten dalam musim pertama mereka di MLS. Malah kisahnya telah dijadikan sebuah filem yang berjudul "Rise and Shine" walaupun "Dari Wisconsin ke Watford" mungkin adalah tajuk yang lebih menarik. Tonton 'trailer' di bawah:

5. Didier Drogba

Didier Drogba berpindah ke perancis sebagai seorang kanak-kanak yang ingin tinggal bersama bapa saudaranya, seorang pemain bola sepak, tetapi beliau mengambil sedikit tempoh untuk melakukan impak. Aksi pertamanya adalah bersama pasukan Le Mans (dimana beliau turut  belajar perakaunan di universiti), bertukar ke status profesional hanya pada umur 21 tahun dan kemudian bersama Guingamp, dimana kemampuannya menjaringkan gol mula mendapat perhatian, membolehkan beliau berpindah ke Marseille dan jaminan bermain di Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, perpindahannya ke pasukan Jose Maurinho, Chelsea pada umur 26 tahun adalah titik permulaannya menjadi seorang lagenda. Lebih 100 gol dalam 200 penampilan termasuk aksi terakhirnya sepanjang tempoh 8 tahun di sana, iaitu perlawanan akhir Liga juara-Juara 2012. Sepakan terakhirnya dalam jersi Chelsea adalah sepakan kemenangan dalam penentuan penalti. Namun beliau sempat kembali semula ke sana pada 2014, selepas tempoh singkat di China dan Turkey, untuk aksi semusim di Chelsea selepas Maurinho turut kembali menjadi jurulatih mereka.

Beliau bukan sahaja pemain terbaik sepanjang masa di Chelsea, malahan bekas kapten dan juga penjaring terbanyak sepanjang masa untuk Ivory Coast. Beliau juga mewakili negaranya dalam tiga edisi Piala Dunia. Video di bawah menampilkan sepakan penalti terakhirnya yang terkenal dan penuh makna buat penyokong Chelsea.

6. Dado Pršo

Dilahirkan di Zadar, Crotia, permulaan kariernya terhalang apabila laporan perubatan di kelab keduanya Hadjuk Split menunjukkan beliau mengalami kecacatan jantung. Ini tidak menghalang pasukan NK Pazinka menandatanganinya sebagai pemain pada umur 18 tahun dalam tempoh singkat mereka di liga teratas Crotia. Tetapi pada 1995 beliau telah berpindah ke Perancis dan melakukan dua kerjaya dalam satu masa iaitu mewakili pasukan liga bawahan Stade Raphaëlois dan juga menjadi seorang mekanik.

Mungkin beliau bernasib baik apabila lokasi pasukannya itu adalah berdekatan dengan Monte-Carlo dan beliau dikesan oleh jurulatih AS Monaco, Jean Tigana, yang kemudian membawanya ke dalam pasukan utama. Seterusnya beliau berjaya memenangi kejuaraan liga pada tahun 2000 dan memainkan peranan besar untuk Monaco dalam kempen Liga Juara-Juara pada musim 2003-2004. Namun mereka tidak bernasib baik apabila tewas kepada Porto dalam perlawanan akhir. Beliau menjaringkan 4 gol dalam satu perlawanan, yang menjadi satu rekod ketika itu ketika menumpaskan Deportivo La Coruña 8-3 di peringkat kumpulan.

Selepas itu, beliau menjadi seorang lagenda di Scotland dalam tempoh 3 tahun bersama Rangers, yang ditampilkan dalam video dibawah.

7. Luca Toni

Beliau mungkin pernah bekerja sebagai pelayan bar, mekanik dan juga pelajar akaun dalam perjalanannya ke peringkat tertinggi, tetapi adalah sangat menakjubkan bagi seorang lelaki yang bermain untuk 12 kelab di Itali secara peribadi untuk menjadi seorang lagenda. Beliau merasai sedikit pengalaman di Serie A bersama Vicenza dan Brescia, tetapi diturunkan ke Serie B bersama Palermo pada 2003 ketika umurnya 26 tahun. 30 gol jaringannya pada musim tersebut berjaya membawa mereka kembali ke Serie A, dimana 20 lagi gol jaringannya membantu mereka layak ke pertandingan peringkat Eropah.

Perpindahan kontroversi ke Fiorentina pada tahun seterusnya bagaimanapun menyaksikan gol yang dijaringkannya mencecah angka 31, yang terbanyak oleh pemain Serie A dalam tempoh setengah dekad. Kemudian beliau bermain untuk Bayern Munich selama semusim (bersama Miroslav Klose) sebelum lebih banyak kelab dari Itali membuat tawaran.

Marcelo Lippi memberikannya aksi antarabangsa yang pertama pada umur 27 tahun, dan beliau membalas budi pasukan Azzurri dengan jaringan'hat-trick' pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2006 dan dua gol di kejohanan tersebut, dimana mereka merangkul kejuaraan selepas menumpaskan Jerman dalam perlawanan akhir. Saksikan kompilasi oleh peminat di bawah:

Rujukan: www.redbull.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)