kapal selam paling besar

Kapal selam merupakan salah satu aset penting sesebuah negara pada masa kini untuk melakukan aktiviti pemantauan dan perisikan. Namun, seberapa besarkah kapal selam yang pernah dicipta manusia?

Satu ketika dahulu, kami pernah berkongsi mengenai senarai 7 kapal selam paling mewah dan mahal di dunia maka kali ini kami ingin berkongsi pula dengan para pembaca Iluminasi senarai 7 kapal selam terbesar di dunia. Bila dilihat daripada ukurannya, ianya seolah-olah tidak masuk akal.

Bagi yang tidak tahu, perbandingan saiz untuk sesebuah kapal selam ini biasanya dibandingkan mengikut kelasnya. Dalam setiap kelas, adalah normal terdapat banyak kapal selam yang dibina dan tergolong dalam kelas tersebut. Oleh itu, dalam artikel ini kami akan senaraikan mengikut kelas sesebuah kapal selam tersebut, bukan nama kapal selam tersebut.

Disebabkan kepelbagaian bentuk kapal selam, saiz sesuatu kapal selam itu juga biasanya dibandingkan dengan jumlah isipadu air disesarkan (water displaced) dimana secara umumnya, kapal selam yang lebih besar menyesarkan lebih banyak air.

7. Triomphant, Perancis

kapal selam kelas triomphant

Kelas Triomphant 14,335 tan (jumlah air disesarkan) kini merupakan kapal selam ketujuh terbesar di dunia. Kapal selam peluru berpandu balistik nuklear ini berfungsi untuk Tentera Laut Perancis dan merupakan sebahagian daripada kekuatan serangan nuklear Tentera Laut Perancis.

Kelas ini merangkumi empat kapal selam, iaitu Le Triomphant, Téméraire, Vigilant dan Terrible. Kapal selam pertama dalam kelas ini mula ditugaskan oleh Angkatan Laut Perancis pada tahun 1997. Setiap kapal selam memiliki panjang 138m.

6. Vanguard, UK

kapal selam terbesar british

Kapal selam dari kelas Vanguard memiliki jumlah isipadu air disesarkan 15,900 tan, menjadikannya kapal selam keenam terbesar di dunia. Kapal selam peluru berpandu balistik bertenaga nuklear ini merupakan aset milik Royal Navy UK.

Kelas ini terdiri daripada empat kapal selam, iaitu Vanguard, Victorious, Vigilant dan Vengeance. Kapal selam ini dibina oleh Vickers Shipbuilding and Engineering. Kapal selam pertama dalam kelas ini, HMS Vanguard, telah beroperasi sejak tahun 1993. Semua kapal selam ini berpangkalan di HM Naval Base Clyde yang terletak 40km sebelah barat Glasgow, di Scotland.

5. Delta, Russia

kapal selam kelas delta

Kapal selam kelas Delta adalah kapal selam peluru berpandu balistik besar yang dibina oleh syarikat Severodvinsk. Kelas Delta merangkumi sub-kelas Delta I, II, III dan IV. Kapal selam dalam kategori ini memiliki jumlah isipadu air disesarkam sebanyak 18,200tan.

Kapal selam kelas Delta pertama ditugaskan untuk beroperasi pada tahun 1976. Kapal selam Kelas III dan IV Delta kini beroperasi dengan Angkatan Laut Rusia. Lima kapal selam Delta III dan enam kapal selam Delta IV kini aktif. Kapal selam ini mempunyai panjang 166m.

4. Ohio, Amerika Syarikat

kapal selam terbesar amerika 465

Kapal selam kelas Ohio adalah yang keempat terbesar di dunia. Tentera Laut AS mengendalikan 18 kapal selam berkuasa nuklear kelas Ohio, yang merupakan kapal selam terbesar yang pernah dibina untuk AS. Setiap sub mempunyai isipada air disesarkan sebanyak 18,750tan. Setiap kapal selam Kelas Ohio mempunyai panjang 170m. 

Kapal selam pertama kelas ini, USS Ohio dibina oleh Bahagian Kapal Elektrik syarikat General Dynamics Corporation di Groton. Ia ditugaskan untuk beroperasi bermula pada bulan November 1981. Semua kapal selam diberikan nama berdasarkan negeri-negeri di Amerika Syarikat kecuali USS Henry M. Jackson yang dinamakan sempena senator AS.

3. Projek 949A Antey/Oscar II, Russia

kapal selam russia

Kelas Project 949A Antey (NATO merujuknya sebagai Oscar II) adalah penerus  legasi kapal selam kelas Oscar I. Tentera Laut Rusia kini mengoperasikan empat kapal selam Oscar II. Setiap kapal dalam kelas ini mempunyi panjang 155m dan selebar 18m serta mempunyai jumlah air disesarkan 24,000tan.

Kelas Oscar II dikuasakan oleh dua reaktor pendingin air bertekanan dan dua turbin wap. Kapal selam Project 949A dilengkapi dengan 24 peluru berpandu anti-kapal Granit P-700 dan enam tiub torpedo sementara kapal selam 949AM dan dapat membawa peluru berpandu supersonik 3M54 Kalibr.

2. Borei, Russia

kapal selam kelas borei

Kelas Borei menduduki tempat sebagai kapal selam kedua terbesar di dunia, bersama dengan Kelas Oscar II. Dengan kapasiti sesaran air sebanyak 24.000tan, ianya adalah peluru berpandu berkuasa nuklear yang membawa kapal selam yang merupakan aset pasukan tentera laut strategik Russia. Kapal selam ini mempunyai panjang 170m.

Kapal selam Kelas Borei pertama, Yury Dolgoruky dibina dengan kos $770 juta dan mula beroperasi sebagai armada Pasifik Tentera Laut Rusia pada Januari 2013. Dua lagi kapal selam kelas Borei bernama Vladimir Monomakh dan Knyaz Vladimir mula beroperasi pada akhir tahun 2014.

1. Typhoon, Russia

kapal selam terbesar dunia

Kapal daripada kelas Typhoon mempunyai isipadu air disesarkan lebih dari 48,000tan dan merupakan kelas kapal selam terbesar di dunia. Ia adalah kapal selam berkuasa nuklear yang dilengkapi dengan peluru berpandu balistik. Dmitry Donskoy, yang pertama dari enam kapal selam dalam kelas Typhoot mula beroperasi pada tahun 1981 dan masih aktif dalam perkhidmatan dengan Tentera Laut Rusia.

Daripada segi saiznya pula, kapal dalam kelas ini mempunyai panjang 175m dan lebar 25m. Untuk mengoperasikannya, seramai 160 orang krew diperlukan. Kerana saiznya yang cukup besar ini, ia lengkap dengan pelbagai kemudahan  termasuklah kolam renang. 

Kredit:

  1. Interesting Engineering 
  2. FORBES
  3. Naval Technology


Hakcipta iluminasi.com (2017)