Sebelum kewujudan matawang, sistem barter telah digunakan secara menyeluruh di seluruh dunia. Dalam sistem barter, seseorang individu yang mahu mendapatkan sesuatu barangan akan menyerahkan pula barang miliknya kepada "penjual" sebagai tukaran. Dalam hal ini, kedua-dua "penjual" dan "pembeli" mestilah bersetuju dengan jenis dan kuantiti barang yang ditukar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kewujudan wang menyaksikan sistem barter semakin ditenggelami zaman. Pada masa kini, kita di Malaysia akan menggunakan wang kertas dan syiling dengan matawang Ringgit Malaysia untuk melakukan urusan jual beli.

Sekiranya kita mahu berurusniaga dengan penjual dari negara lain, kita boleh menukarkan wang matawang Ringgit Malaysia ke dalam matawang negara lain pula. Segala urusan pertukaran matawang ini pula dibuat berdasarkan nilai matawang semasa.

Pernahkah anda terfikir, sebelum kewujudan wang kertas dan syiling, apakah barangan yang dijadikan wang bagi orang dahulu melakukan urusan jual beli dan pembayaran? Kali ini, pihak Iluminasi akan berkongsi 7 bentuk wang unik yang pernah digunakan satu ketika dahulu.

1. Batu Rai

batu rai 656

Di Pulau Yap yang terletak di timur Filipina, penduduk setempat menggunakan Rai, iaitu sejenis wang yang diperbuat daripada batu kapur besar yang berbentuk seperti cincin. Beratnya pula boleh mencecah 7 tan dan kebiasaannya wang ini akan digunakan untuk melakukan pelbagai transaksi besar contohnya seperti pembelian tanah.

Kerana beratnya ini, selalunya wang ini tidak diubah kedudukannya, hanya berubah pemilik. Malah, orang-orang kaya juga kebiasaannya akan meletakkan Rai in dihadapan rumah mereka sebagai simbol kekayaan. Kerana jumlah penduduk yang tidak ramai, maka selalunya setiap penduduk akan mengetahui siapakah pemilik sebenar sesuatu Rai itu.

Malah, kerana beratnya ini, tiada sesiapapun berani mencurinya walaupun diletakkan di luar rumah. Sementara itu, bagi urusan jual beli biasa, cengkerang dan gigi ikan paus biasanya digunakan dalam transaksi harian. Pada masa kini, penduduk Pulau Yap menggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat sebagai matawang utamanya.

2. Garam

gaji dibayar garam

Jika garam pada masa kini menjadi bahan utama dalam masakan, satu ketika dahulu garam pernah digunakan sebagai wang dalam tempoh kira-kira 3000 tahun lamanya. Daripada penggunaan garam ini jugalah dipercayai lahir perkataan "salary" yang membawa maksud gaji yang dibayar kepada pekerja.

Perkataan salary datang daripada singkatan bahasa orang Roman “salarium argentum”, iaitu ration garam yang diberikan kepada askar. Satu ketika dahulu, garam banyak digunakan dalam upacara keagamaan di Mesir, Afrika, Greece Purba dan Empayar Roma. Garam juga boleh diperolehi di seluruh dunia menjadikan penggunaannya pada ketika itu dianggap praktikal.

Walau bagaimanapun, tidak semua garam adalah sama. Sebagai contoh, garam Himalaya mempunyai rasa yang berlainan daripada garam biasa yang digunakan dalam masakan. Malah, warnanya juga sedikit merah jambu. Perbezaan ini adalah disebabkan perbezaan mineral yang terdapat padanya.

3. Keju

parmigiano cheese

Keju seringkali digunakan sebagai penambah perasa dalam sesuatu hidangan. Daripada pizza sehinggalah kepada pisang goreng, keju seringkali menjadi pilihan kerana rasanya yang berlemak dan unik. Menariknya, keju satu ketika dahulu pernah dijadikan sebagai wang.

Keju secara umumnya merupakan produk tenusu yang dihasilkan daripada susu lembu. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis keju dan rasanya juga berbeza bergantung pada resipi dan cara pembuatannya. Satu ketika dahulu sebuah bank di Itali, Credito Emiliano pernah menerima keju Parmigiano-Reggiano sebagai barang cagaran bagi memohon pinjaman kewangan.

Setiap bulatan besar keju (digelar cheese wheel) mempunyai nombor siri khas dan pihak bank akan memegang keju ini sehingga maksimum 34 bulan. Setiap bulatan keju ini bernilai kira-kira $340 dan bank ini mempunyai tempat penyimpanan keju yang mampu menyimpan sehingga 17,000 tan keju.

4. Daun teh

wang teh

Negara China sememangnya terkenal dengan budaya meminum teh. Di bahagian pergunungan China dan Tibet dahulu, daun teh pernah digunakan sebagai matawang sehingga tahun 1935.

Daun teh ini biasanya dimampatkan sehingga berbentuk batu-bata. Daun teh menjadi pilihan memandangkan ianya boleh dikeringkan dan tahan lama serta tidak mudah rosak. Lagipun ianya cukup ringan untuk dibawa.

Walau bagaimanapun, penggunaan daun teh tetap mendatangkan masalah. Hal ini disebabkan terdapat pelbagai jenis teh yang mempunyai nilai pasaran yang berbeza-beza. Daun teh ini pernah digunakan sebagai wang sehinggalah sekitar tahun 1935.

5. Biji koko

biji koko

Biji koko satu ketika dahulu menjadi matawang bagi penduduk di Amerika Tengah. Ia pada mulanya digunakan oleh orang Maya sebagai bahan tukaran dalam sistem barter untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti pakaian dan makanan.

Pada 1500-an, apabila penjajah Sepanyol menguasai sebahagian besar kawasan Amerika Tengah, biji koko telah diperkenalkan ke seluruh dunia dan dieksport secara meluas. Disebababkan jumlah biji koko yang begitu terhad dihasilkan, maka ia semakin sukar didapati seterusnya menyebabkan nilainya melonjak naik.

6. Kulit tupai

kulit tupai 437

Benar, di Russia suatu ketika dahulu kulit tupai digunakan secara melueasznyeluruha untuk melakukan urusan jual beli. Malah, bahagian kuku dan telinganya juga digunakan sebagai tukaran wang kecil.

Satu perkara yang menarik mengenai Russia adalah ketika mana negara-negara lain diserang hebat wabak Black Death satu ketika dahulu, negara Russia dikatakan tidak terkesan dengannya. Hal ini mungkin disebabkan kulit tupai yang digunakan akan dibersihkan terlebih dahulu, seterusnya mengelakkan kemungkinan jangkitan parasit.

7. Wang kayu

wang kayu

Kita patut bersyukur kerana wang kertas sudah diciptakan kerana ianya mudah disimpan di dalam beg tangan walaupun dalam kuantiti yang banyak. Namun di Jerman suatu ketika dahulu, wang daripada kayu pernah digunakan.

Selepas Perang Dunia Pertama, negara Jerman mengalami kehancuran ekonomi yang amat dahsyat. Oleh itu, mereka telah mengambil insiatif mencetak wang pada kayu-kayu nipis. Ianya dianggap sebagai wang sementara untuk tujuan pembayaran sebelum Reichsbank (bank negara Jerman) pulih sepenuhnya.

Kredit:

  1. CNBC
  2. Investopedia
  3. MSN 



Hakcipta iluminasi.com (2017)