Keju merupakan makanan yang popular di dunia terutamanya di negara-negara Eropah seperti Perancis, Itali dan lain-lain. Untuk pengetahuan anda, keju juga sudah lama dikenali sejak beribu tahun dahulu. Namun, apa yang membezakan antara zaman dahulu dengan sekarang adalah melalui cara pembuatannya.
Jadi, di sini kami ingin berkongsi dengan anda 7 jenis keju yang popular di dunia dan kegunaannya. Hal ini kerana tidak semua makanan sesuai untuk dihidang bersama dengan keju jika anda tidak tahu jenis keju yang mana sesuai untuk digunakan.
BESARKAN TEKS A- A+
#1 Keju Cheddar
Keju Cheddar ini berasal dari England iaitu di sebuah perkampungan Cheddar yang terletak di daerah Somerset dan ia dihasilkan daripada susu lembu. Ia juga merupakan keju yang paling popular di seluruh dunia. Jadi, ia memang mudah didapati di mana-mana pasaraya.
Keju ini mencapai usia matang apabila berusia 9 hingga 24 bulan. Ia mempunyai tekstur yang rapuh dan tergolong di dalam kumpulan keju yang mempunyai kekerasan separa-keras. Warna asalnya adalah daripada putih ke kuning pudar. Adakalanya juga pewarna digunakan untuk memberikan warna kuning keemasan pada keju jenis ini.
Mesti ada antara anda yang gemar untuk letakkan kepingan keju Cheddar ini di atas roti sebagai sarapan pagi. Hal ini kerana teksturnya yang padat dan tidak mudah cair. Oleh itu, ia amat sesuai digunakan sebagai topping biskut, roti, dan pelbagai masakan yang lain.
#2 Keju Mozzarella
Keju yang terkenal ini berasal dari Itali kerana ia banyak digunakan dalam penyediaan pizza. Mozzarella merupakan keju yang lembut dan boleh digunakan untuk jangka waktu yang singkat dan tahan lebih lama dengan pengendalian yang betul jika ia menggunakan bekas simpanan vakum. Tetapi, kebiasaannya Mozzarella ini akan digunakan sehari selepas penyediaannya.
Bagi penggemar keju, sudah tentu mereka akan meminta pesanan pizza bersama extra cheese. Mesti anda pernah menarik pizza dan keju yang melekat bersama dan semakin panjang apabila anda menariknya bukan? Selain daripada digunakan dalam penyediaan pizza, Mozzarella juga digunakan dalam variasi makanan seperti roti ‘nan cheese’ dan lain-lain.
Oleh itu, keju jenis ini sesuai digunakan disebabkan ia amat mudah cair pada suhu yang tinggi dan keju ini juga mudah didapati di mana-mana pasaraya kerana harganya juga berpatutan.
#3 Krim Keju
Krim keju ini merupakan bahan yang sangat popular dalam baking kek. Ia adalah keju segar yang lembut dan mempunyai rasa yang ringan serta memiliki kandungan lemak yang tinggi. Oleh disebabkan teksturnya yang lembut, ia juga sesuai digunakan untuk sapu atas permukaan roti, dijadikan sebagai inti tart atau pai, atau dimakan bersama-sama buah-buahan.
Krim keju atau cream cheese adalah keju yang sudah ditambah dengan krim yang mempunyai kuantiti lemak susu hampir separuh dari berat bersih sekotak cream cheese. Selain itu, ia juga terdapat dalam dua jenis iaitu double cream cheese yang mengandungi 65% susu dan yang biasa mengandungi 45% susu sahaja.
#4 Keju Parmesan
Parmesan juga merupakan keju yang berasal dari salah sebuah daerah di Itali iaitu Parma dan beberapa kawasan lain. Keju terbaik daripada daerah ini dikenali sebagai "Parmigiano-Reggiano" dan ia merupakan satu pengiktirafan yang dikeluarkan oleh kerajaan Itali itu sendiri. Untuk pengetahuan anda, keju ini dibuat daripada susu segar yang mengandungi protein yang tinggi serta berkarbohidrat, lemak dan zat besi.
Jadi, keju Parmesan yang biasa digunakan di kebanyakan pasaraya adalah dari jenis yang sama tetapi bukan yang berasal daripada daerah Parma ini. Parmesan tergolong dalam kumpulan keju yang keras kerana ia melalui proses pemeraman yang panjang sehingga 2 tahun.
Oleh kerana parmesan merupakan keju yang keras, ia biasanya digunakan dalam bentuk parutan atau dicampur di dalam masakan. Jadi, tidak hairanlah mengapa keju jenis ini banyak digunakan dalam hidangan pasta terutamanya.
#5 Keju Edam
Keju Edam ini berasal dari Belanda iaitu sebuah kawasan yang bernama Edam. Ia merupakan antara keju yang tertua iaitu dari tahun 1300 sehingga 1700. Keju ini unik kerana disaluti dengan lilin paraffin dibahagian luarnya. Ia mampu bertahan lama dan menjadi semakin keras mengikut masa.
Oleh demikian, keju ini mudah bagi kegunaan sama ada untuk pelayaran di laut ataupun bagi mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Ia biasa digunakan ketika masih baru dimana teksturnya masil lagi kenyal manakala rasanya lebih lembut, manis dan seperti kekacang. Salutan lilin yang berwarna gelap menunjukkan Edam telah mencapai usia matang sekurang-kurangnya 17 minggu.
#6 Keju Gouda
Inilah keju Gouda yang berasal dari Belanda dan namanya pula diambil sempena nama sebuah kota di Belanda iaitu Gouda. Ia merupakan keju kuning yang dibuat daripada susu lembu dan dipasarkan di seluruh dunia.
Gouda eksport mempunyai dua jenis iaitu Gouda muda yang berumur antara 1 sehingga 6 bulan, berwarna kuning tua dan disalut dengan lilin parafin berwarna merah atau kuning. Keju ini mudah dipotong dengan alat pemotong keju.
Bagi Gouda eksport yang lebih tua pula memiliki rasa pahit tersembunyi yang tajam, namun masih dianggap lebih berkrim dan dapat juga dilihat jika warna salutan lilin parafin tersebut adalah hitam. Keju dengan rasa kuat ini agak keras dan sukar untuk dipotong dengan alat pemotong keju, tetapi dapat dipotong dengan pisau atau disajikan dalam bentuk potongan dadu bersama berbagai minuman.
#7 Keju Emmental
Bentuk keju ini mengingatkan kita pada cerita kartun popular suatu ketika dahulu iaitu Tom & Jerry di mana Jerry sangat obses dengan keju tersebut. Comel betul kan?Keju Emmental ini berasal dari Switzerland dan merupakan salah satu keju keras yang cukup popular di seluruh dunia.
Keju ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana ia memiliki bentuk yang unik. Jika dipotong, kita akan dapat lihat lubang-lubang besar yang terbentuk. Selain itu, keju ini juga banyak diminati ramai orang kerana rasanya yang lembut dan aromanya yang lazat.
Keju Emmental dibuat dengan menggunakan susu lembu. Proses pematangan pula dilakukan di ruangan yang cukup dingin selama dua minggu. Kemudian, keju-keju dipindahkan ke ruangan yang lebih hangat selama enam hingga lapan minggu agar terjadi proses fermentasi.
Sepanjang proses fermentasi, keju-keju tersebut akan menghasilkan gas karbon dioksida disebabkan ia tidak dapat keluar melalui kulit keju yang tebal. Oleh itu, lubang-lubang yang terbentuk daripada keju Emmental ini adalah hasil dari gas karbon dioksida tersebut.
Di samping itu, warna keju ini adalah krim pucat atau kuning, manakala kulitnya berwarna coklat kekuning-kuningan. Oleh kerana ia mudah meleleh, keju Emmental sering digunakan untuk roti lapis bakar, fondue, quiche dan burger keju.
Ini sahaja yang dapat kami kongsikan kepada anda. Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda.
Rujukan :