Oleh pada 27 Dec 2021 kategori

Terdapat kira-kira 100 puak orang asli yang tidak berhubung dengan dunia luar. Namun, tiada yang lebih terpencil berbanding puak orang asli yang tinggal di Pulau Sentinel Utara (North Sentinel Island) di India.

puak sentinel

Puak orang asli yang dikenali sebagai Puak Sentinel ini mengasingkan diri mereka hampir 100% daripada dunia luar dan akan menyerang sesiapa sahaja yang cuba mendekati mereka.

Pengasingan ini sebenarnya adalah sesuatu yang baik untuk mereka sendiri kerana puak orang asli di kepulauan berhampiran mengalami pelbagai masalah setelah terdedah kepada kemodenan dan dunia luar. Berikut adalah beberapa fakta mengenai puak paling terpencil di dunia ini.

1. Membunuh mana-mana penceroboh

Puak Sentinel ini hampir tidak percayakan dunia luar selain daripada puak mereka sendiri. Banyak kejadian di mana penceroboh dibunuh ketika mendarat di pulau itu sama ada secara sengaja atau tidak. Malah, mereka turut menembak helikopter yang membuat pemantauan menggunakan anak panah.

Dalam kes terbaru, seorang mubaligh Kristian bernama John Allen Chau dipercayai telah dibunuh pada 17 November 2018 ketika cuba untuk berdakwah di pulau itu walaupun diharamkan kerajaan India.

john allen chau

John Allen Chau (gambar kecil)

Chau dipercayai telah dibunuh menggunakan panah. Beberapa nelayan berhampiran mendakwa mereka terlihat puak Sentinel mengheret mayat dan menanamnya di pantai tidak lama selepas Chau dilaporkan mendarat di pulau itu.

Puak Sentinel hanya pernah berhubung dengan orang luar sebanyak dua kali sahaja iaitu pada awal 1990-an apabila sepasukan ahli antropologi mencuba beberapa kali untuk memberikan buah kelapa kepada mereka.

2. Diharamkan melawat Pulau Sentinel Utara

Sejak dari dulu, ramai penjelajah cuba untuk berhubung dengan Puak Sentinel. Namun, kebanyakan cubaan ini berakhir dengan perkara tidak diingini. Sebagai contoh, pada tahun 1980-an, ramai Puak Sentinel maut dalam satu pertempuran kecil apabila sekumpulan penjelajah singgah di pulau itu akibat kapal mereka karam.

Bahkan, Puak Sentinel dipercayai mempunyai sistem imunisasi yang sangat rendah dan amat berbahaya jika terdedah dengan penyakit yang dibawa oleh orang luar.

Disebabkan ini, kerajaan India telah mengharamkan sebarang bentuk lawatan ke pulau ini pada tahun 1997. Jika penceroboh tidak dapat dikesan pihak berkuasa sekalipun, mereka mungkin akan disambut dengan batu atau anak panah daripada Puak Sentinel. 

3. Puak Sentinel pernah diculik penjelajah

Pada Januari 1880, penjelajah British telah mendarat di Pulau Sentinel Utara untuk melakukan tinjauan. mereka turut menculik beberapa puak orang asli di pulau itu untuk dibawa belayar.

maurice vidal portman

Ekspedisi yang diketuai oleh Maurice Vidal Portman itu membawa pulang enam orang asli Sentinel ke Port Blair di Pulau Andaman Selatan, India. Dua daripada tahanan yang lebih tua meninggal dunia manakala empat lagi kanak-kanak terselamat.

Menurut Portman, pendedahan Puak Sentinel dengan dunia luar tidak membawa apa-apa manfaat selain kemudaratan kepada mereka sendiri. Menyedari puak ini semakin pupus, Portman membawa pulang empat Puak Sentinel ini kembali ke pulau mereka.

4. Bahasa mereka masih menjadi misteri

Tidak seperti orang asli di kepulauan Andaman yang lain, Puak Sentinel begitu merahsiakan bahasa yang mereka tuturkan. Bahkan, orang asli di kepulauan berhampiran juga tidak memahami bahasa yang dituturkan Puak Sentinel.

Menurut seorang penduduk pulau berhampiran bernama Dharmendra Kumar, adalah mustahil untuk berkomunikasi dengan jiran mereka. Sebarang bentuk komunikasi terhalang oleh bahasa kerana tiada siapa yang memahami bahasa Sentinel.

5. Cara hidup yang tidak banyak berubah

Walaupun tidak banyak yang diketahui mengenai Puak Sentinel, pengkaji percaya mereka masih memburu dan mencari hasil seperti ribuan tahun yang lalu. 

north sentinel island

Pengkaji juga percaya bahawa mereka tidak tahu bagaimana untuk menghidupkan api. Sebaliknya, mereka akan menunggu kilat menyambar dan cuba menyalakan api itu selama mungkin.

Mereka juga tidak tahu mengenai pertanian, penulisan atau mengira. Mereka mungkin tahu mengira secara ringkas seperti jumlah satu, dua atau "banyak" tetapi tidak secara terperinci.

Walaupun masih menjalani hidup seperti dahulu, mereka mempunyai beberapa kemajuan. Puak Sentinel kini menggunakan besi atau peralatan lain yang hanyut ke pulau mereka untuk dijadikan senjata atau alat memburu.

6. Imunisasi yang rendah

Puak Sentinel mungkin tidak akan bertahan lama jika berhubung dengan orang luar. Sistem pertahanan tubuh mereka tidak pernah mengenali atau membina sistem imun terhadap kuman dari luar. Sentuhan, bersin atau bersalaman mungkin membawa maut kepada mereka.

Jadi, sebarang penyakit atau wabak biasa sekalipun boleh menjadi sangat berbahaya kepada Puak Sentinel. Menurut penganalisa Sophie Grig, ia adalah salah satu kelemahan pengasingan ekstrem yang diamalkan puak orang asli ini.

7. Bernasib baik berbanding jiran sekeliling

Walaupun tidak terdedah dengan dunia luar dan masih hidup secara primitif, Puak Sentinel sebenarnya lebih bernasib baik berbanding puak orang asli di sekeliling mereka.

jarawa

Puak Orang Asli Jarawa di kepulauan Andaman dieksploitasi pelancong luar

Puak orang asli di kepulauan Andaman lain tidak begitu bernasib baik. Mereka tidak dilindungi kerajaan seperti Puak Sentinel. Apabila didedahkan dengan dunia luar, banyak puak orang asli mengalami kesan negetif akibat kemajuan, penyakit, keganasan dan lain-lain lagi.

Namun, bilangan pemburu haram dan pelancong haram menjadi ancaman bagi Puak Sentinel dari masa ke masa.



Hakcipta iluminasi.com (2017)