Oleh pada 26 Dec 2017 kategori

Walaupun tidak se-popular sukan bola sepak, namun permainan ini mempunyai peminat tersendiri. Ada yang menggelarkan ia sebagai sukan, dan ada yang tidak. Namun, tak dapat disangkal permainan papan selaju mendapat tempat di hati ramai orang.

Apa yang menarik mengenai skateboard ini adalah ia nampak mudah, dan trik-triknya kelihatan menyeronokkan. Namun, apabila meletakkan kedua-dua kaki di atasnya, barulah menyedari akan kesukaran untuk mengawal skateboard, apatah lagi beraksi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini iluminasi.com ingin berkongsi 6 atlet papan selaju yang paling berpengaruh dan terhebat dalam sejarah.

6. Padin Musa

pa din musa

Tak lengkap senarai ini kalau tak ada nama Pa'din Musa. Penulis harus memasukkan nama beliau dalam senarai ini kerana beliau adalah antara atlet papan selaju yang paling berpengaruh dalam sejarah Malaysia. Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali dengan nama Pa'din Musa merupakan anak kelahiran Pulau Pinang.

Beliau mula menceburkan diri dalam sukan ini sejak remaja lagi. Beliau mencipta sejarah apabila memenangi dua pingat emas di kejohanan sukan lasak Asian X Games di Phuket pada tahun 2000, dan di Kuala Lumpur pada tahun 2004. 

vans padin musa

Kejohanan sukan lasak tempatan juga didominasi oleh Pa'din dari tahun 1994 sehingga 2004. Tak lupa kepada masyarakat, Pa'din membina beberapa gelanggang sukan ekstrem di Malaysia.

Terbaru, Pa'din menyifatkan hidupnya sebagai seorang skateboarder sudah sempurna, selepas kasut Vans signature Pa'din Musa dilancarkan. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan mengetahui kasut tersebut habis dijual dalam beberapa jam sahaja selepas pelancaran.

5. Nyjah Huston

nyjah huston

Beliau digelar sebagai "wonder boy. Nyjah mula bermain papan selaju ketika berusia 4 tahun. Lahir dalam keluarga Rastafari, beliau harus mengikut peraturan ketat seperti menjadi vegetarian dan memiliki rambut dreadlock.

Nyjah diajar oleh bapanya yang juga peminat sukan papan selaju. Ketika berusia 21 tahun, Nyjah telah memenangi hadiah wang tunai melebihi semua atlet sukan ini. Beliau juga merupakan pemenang keseluruhan Street League Skateboarding sebanyak 5 kali dan menggondol beberapa pingat di Sukan X. 

4. Danny Way

danny way

Apa yang boleh menggambarkan pemilik syarikat papan selaju "Plan B" ini adalah atlet yang sangat tangkas dan hebat. Beliau telah memenangi anugerah "Skater of the Year" oleh majalah Thrasher sebanyak 2 kali, serta mempunyai beberapa rekod dunia. 

Danny juga sangat terkenal dengan aksi-aksi ekstrem dan berbahaya. Beliau merupakan manusia pertama yang melompat turun ke ramp dari helikopter dan melakukan lompatan melepasi Tembok Besar China.

Banyak kecederaan dialami Danny seperti patah leher dan menjalani beberapa pembedahan. 

3. Bob Burnquist

bob burnquist

Bob merupakan seorang pemain papan selaju kelahiran Brazil. Beliau terkenal dengan cara meluncur atas angin. Bob muncul dalam kesemua Sukan-X iaitu sebanyak 52 kali dan memenangi 26 pingat. 

Walaupun Bob berjaya melakukan pendaratan "50-50" di Grand Canyon, namun kejayaan terbesarnya adalah menjadi manusia pertama yang berjaya melakukan "fakie 900". Bob juga merupakan skater kegemaran Tony Hawk dan satu-satunya skater Brazil yang pernah dinobatkan "Skater of the Year" oleh Thrasher.

2. Tony Hawk 

tony hawk

Siapa tak kenal dengan nama Tony Hawk? Berasal dari San Diego, California, Tony digelarkan sebagai "The Birdman" adalah antara atlet papan selaju terhebat atas muka bumi. Beliau mempunyai bakat semulajadi sejak kecil dan menjadi profesional ketika berusia 14 tahun.

Tony adalah skater paling berpengaruh dan perintis sukan papan selaju moden. Beliau memenangi juara dunia National Skateboard Associatian sebanyak 12 kali berturut-turut, dan kejuaraan lain yang tidak terkira. 

Antara pencapaian paling diingati adalah menjadi manusia pertama menyempurnakan "900 flip". Permainan video "Tony Hawk Pro Skater" merupakan antara yang paling berjaya dalam sejarah, dan juga Yayasan Tony Hawk telah membina lebih daripada 400 skatepark di seluruh Amerika Syarikat.

Tony Hawk juga merupakan skateboarder paling kaya di dunia dengan kekayaan mencecah RM490 juta.

1. Rodney Mullen

rodney mullen 125

Jika anda fikirkan tentang sukan papan selaju, pasti nama ini akan bermain di fikiran anda. Rodney Mullen boleh dikatakan sebagai raja dalam sukan ini dan pengaruhnya tidak dapat diukur.

Rodney mula melibatkan diri seawal usia 10 tahun selepas rakannya memperkenalkan papan selaju kepadanya buat kali pertama, dan menjadi atlet papan selaju paling berbakat dalam sejarah.

rodney mullen

Beliau boleh dikatakan individu yang bertanggungjawab mencipta sukan ini, dengan mencipta lebih daripada 30 trik, termasuklah "360 flip", "backside flip", "one-footed ollie", "impossible" dan banyak lagi. Rodney merupakan pakar dalam teknikal, artis yang hebat serta sukakan kesempurnaan dalam setiap trick.

Rodney berada di tangga ke-9 skateboarder terkaya di dunia dengan kekayaan RM143 juta.




Hakcipta iluminasi.com (2017)