Kita sudah biasa melihat banyak perniagaan yang menawarkan perkhidmatan yang berguna kepada kita. Bagaimanapun, kadangkala wujud beberapa idea yang kelihatan seperti tak masuk akal - namun tetap mempunyai pelanggan yang membeli atau melanggannya. Berikut adalah 6 jenis perniagaan yang dijalankan secara sah, menawarkan perkhidmatan atau jualan yang sangat ganjil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. DIRTY ROTTEN FLOWERS

dirty rotten flowers perniagaan pelik

Anda menghadapi kekecewaan ditinggalkan kekasih? Tidak tahu apa yang anda boleh lakukan untuk menggambarkan kekecewaan anda? Mahu cara yang kejam tetapi selamat dan sah di sisi undang-undang, untuk 'membalas dendam'? Mahu menunjukkan kepada seseorang anda bencikan dia? Pilih jambangan bunga daripada Dirty Rotten Flowers dan jambangan bunga yang buruk dan hampir layu itu akan dihantar kepada sesiapa saja yang anda bencikan. (rujukan)

2. AFTERMATH

charlie in john wick

Aftermath adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan yang sangat berguna- mereka akan mencuci lokasi seperti kediaman atau pejabat anda, selepas berlakunya kes pembunuhan. Mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini, kadar upah yang dikenakan Aftermath bergantung kepada berapa lokasi kejadian. (rujukan)

3. SESI URUTAN TATA

menampar muka perniagaan pelik

Sesi urutan yang berasal dari Thailand ini adalah satu perkhidmatan urutan unik. Mereka yang mahu menerima rawatan akan ditampar beberapa kali oleh pengurut, yang dikatakan mampu melicingkan kulit muka serta mengembalikan keremajaan seseorang. Mengenakan bayaran RM1350 untuk satu sesi 15 minit atau pakej berbaloi RM3800 untuk 4 sesi. Bagaimanapun, perniagaan ini sudah ditutup pada 2014. Ah, ruginya. (rujukan)

4. ALGORDANZA

berlian abu mayat perniagaan pelik

Algordanza adalah sebuah syarikat dari Switzerland yang akan menukarkan apa saja lebihan yang ada daripada proses pembakaran mayat orang kesayangan kita, kepada berlian yang cantik. Dikatakan berlian yang dihasilkan melalui proses yang digunakan oleh Algordanza jauh lebih baik kualitinya berbanding berlian tiruan yang dihasilkan dalam makmal. Prosesnya agak rumit. Abu mayat yang disimpan akan diekstrak karbon di dalamnya lalu ditukarkan kepada bentuk graphite. Graphite itu akan dipanaskan selama beberapa minggu sebelum ditukar menjadi berlian yang boleh kita pakai, sebagai kenang-kenangan. (rujukan)

5. CELESTIS

tabur abu mayat diangkasa perniagaan pelik

Apabila kami menulis berkenaan sampah angkasa, kami sebenarnya tidak menyangka akan mengetahui berkenaan servis yang ditawarkan oleh Celestis ini. Menawarkan servis untuk menerbangkan beberapa gram abu mayat individu yang mahu dikenang ke angkasa, Celestis akan menumpangkan pakej tersebut dengan roket-roket yang dilancarkan dan dibiarkan terapung di angkasa. Salah seorang individu paling awal yang disemadikan di angkasa adalah pencipta siri televisyen popular Star Trek, Gene Roddenberry yang menjadi antara mendiang terawal di 'angkasakan' di angkasa. Kami tak tahu sama ada penggunaan 'dikebumikan' betul atau tidak, dalam situasi ini. (rujukan)

6. KHIDMAT MEMOHON MAAF DI JEPUN

memohon maaf perniagaan pelik

Mempunyai perasaan takut selepas melakukan kesalahan? Takut berdepan dengan individu tersebut? Kini anda tidak perlu lagi risau. Telah wujud beberapa agensi di Jepun yang menawarkan perkhidmatan memohon maaf secara terus, sekiranya kita tidak sanggup melakukannya.

Beberapa syarikat seperti Shazaiya Aiga Pro atau Nihon Shazai Daikokao akan mengenakan bayaran dan melakukan permohonan maaf bagi pihak anda. Anda boleh memilih sama ada mahu memohon maaf secara bersemuka, melalui email atau telefon. Anda juga boleh memilih sama ada permohonan maaf anda disertai dengan tangisan atau sekadar penuh penyesalan. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)