United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) adalah sebuah organisasi di bawah Kesatuan Eropah (EU - European Union) yang berperanan untuk memelihara keamanan dengan mempromosikan kerjasama antarabangsa melalui pendidikan, saintifik, dan budaya untuk meningkatkan kestabilan antarabangsa, keadilan, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Bagi memastikan lokasi-lokasi penting dan menarik untuk pelancongan di seluruh dunia kekal terpelihara, pihak UNESCO telah mewujudkan senarai Tapak Warisan Dunia atau dalam Bahasa Inggeris World Heritage Sites. Senarai Tapak Warisan Dunia ini dibina pada tahun 1978 selepas persidangan mengenainya telah dilakukan pada tahun sebelumnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap tapak yang diletakkan dalam senarai ini mempunyai keunikan dalam bidang kebudayaan atau kepentingan fizikal seperti runtuhan purba atau struktur sejarah, bangunan, bandar, kompleks, padang pasir, hutan, pulau, tasik, monumen, gunung dan lain-lain. Ketika artikel ini ditulis, terdapat 1073 lokasi yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia.

Setiap Tapak Warisan Dunia ini mempunyai keunikan masing-masing dan penyenaraian tapak-tapak ini dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO secara tidak langsung akan mempromosikannya untuk tujuan pelancongan antarabangsa. Kali ini, kami ingin berkongsi 5 Tapak Warisan Dunia yang menjadi tempat paling banyak dilawati pelancong setiap tahun.

1. Forbidden City (China) - 15 Juta pelancong setiap tahun

Forbidden City di China menduduki senarai teratas Tapak Warisan Dunia UNESCO yang paling banyak dilawati. Tapak ini mendapat purata 15 juta pelancong setiap tahun semenjak tahun 2012 lagi. Pada tahun 2016 sahaja, tapak ini menerima 16 juta pelancong.

Forbidden City merupakan kompleks istana yang digunakan semasa zaman pemerintahan Dinasti Ming pada tahun 1420 sehingga penghujung zaman pemerintahan Dinasti Qing pada tahun 1912. Kawasan ini adalah rumah bagi pihak pemerintah dan keluarga mereka serta merupakan pusat politik dan kebudayaan kerajaan China suatu ketika dahulu.

Dibina antara tahun 1406 dan 1420, kawasan ini mempunyai keluasan 180 ekar dan 980 buah bangunan secara keseluruhannya. Kini, Forbidden City dijadikan sebagai sebuah muzium dan dibuka untuk lawatan orang ramai.

2. Kulangsu (China) - 12 Juta pelancong setiap tahun

kulangsu

Kulangsu mungkin kurang popular daripada Tapak Warisan lain seperti Machu Picchu (Peru) dan Angkor Wat (Kemboja). Walau bagaimanapun kawasan ini berada di tangga kedua tapak UNESCO yang paling ramai dilawati selepas Forbidden City. Kawasan ini mencatat purata 12 juta pelancong setiap tahun.

Kulangsu merupakan sebuah pulau kecil di daerah Fujian,China. Hanya 20,000 orang penduduk mendiami pulau ini dan menariknya, tiada kenderaan seperti kereta, basikal dan motosikal yang boleh digunakan di pulau ini. Hanya kenderaan berdaftar sahaja boleh boleh digunakan dalam kawasan ini.

Pulau ini boleh diakses dengan menaiki feri dari Xiamen. Kulangsu popular dengan keindahan pulaunya dan rekabentuk bangunan yang dibina disini. Di pulau ini juga terdapat satu-satunya muzium piano di China.

3. Great Smoky Mountains - 11 Juta pelancong setiap tahun

great smoky mountains

Great Smoky Mountains yang terletak di bahagian selatan timur Amerika Syarikat ini menduduki tangga ketiga dengan mencatatkan jumlah pelancong sebanyak 11 juta orang setahun. Kawasan pergunungan ini juga membentuk sempadan bandar Tennessee - North Carolina dan merupakan sebahagian daripada kawasan pergunungan Appalachian.

Dikenali juga sebagai Smokies, kawasan ini menempatkan Great Smoky Mountains National Park iaitu sebuah taman negara yang dibina pada tahun 1934. Smokies juga merupakan taman negara paling popular di Amerika Syarikat. Jajaran gunung ini meliputi kawasan seluas kira-kira 187,000 ekar hutan tua yang terbesar di bahagian timur Sungai Mississippi.

4. Tembok Besar China - 10 Juta pelancong setiap tahun

tembok besar china

Penyenaraian Tembok Besar China dalam senarai ini tidak dapat dipertikaikan lagi kerana mengambil kira popularitinya. Dibina sebagai benteng pertahanan daripada serangan musuh, tembok ini dibina daripada batu, kayu, bata dan pelbagai bahan binaan lain.

Tembok Besar China telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1987 dan secara puratanya menerima 10 juta pelancong setiap tahun. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai binaan mega ini, sila baca artikel 5 Fakta Menarik Mengenai Tembok Besar China.

5. Gyeongju (Korea Selatan) - 9 Juta pelawat tahunan

gyeongju

Gyeongju merupakan sebuah bandar pesisir pantai yang terletak di kawasan tenggara dalam daerah Gyeongsang. Disini terdapat pelbagai kawasan pelancongan seperti Gua Seokguram, Kuil Bulguksa, Kawasan Bersejarah Gyeongju dan Kampung Yangdong telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Kemunculan tapak-tapak bersejarah ini membolehkan Gyeongju mencatat purata 9 juta pelancong setiap tahun. Sektor pelancongan merupakan penyumbang utama ekonomi penduduk setempat tetapi sektor pembuatan juga semakin meningkat memadangkan kawasan ini terletak berhampiran kawasan perindustrian di bandar Ulsan dan Pohang.

Kredit:

UNESCO

WikiPedia

Britannica Encyclopaedia




Hakcipta iluminasi.com (2017)