Kisah-kisah fiksyen seringkali memberikan masyarakat dunia idea untuk memperkembangkan teknologi yang kita ada. Idea-idea yang pada mulanya hanya bersifat dongeng, diusahakan sehingga berjaya menjadi realiti.

Bagaimanapun, ada ketikanya idea fiksyen itu mempunyai visi yang dikatakan terlalu jauh ke depan dan teknologi yang ada belum mampu menyokong idea itu. Salah satu idea yang seringkali dikatakan sedemikian, adalah baju perisai watak 'Iron Man.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sut itu perlu dikawal oleh seorang individu dibantu menggunakan kepintaran buatan memberikan penggunanya banyak kelehihan. Dibentuk menggunakan besi yang tahan impak,sut itu nampak tidak realistik untuk dibangunkan - namun jangan pula anda anggap tidak ada pihak mencubanya.

1. Raytheon XOS 2

raytheon xos 2 askar

XOS 2 dikeluarkan oleh syarikat teknologi Sarcos Research bagi kegunaan Tentera US, merupakan siri generasi kedua dalam pembangunan rangka luaran (exo-skeleton) yang boleh dipakai.

Dibangunkan sejak tahun 2001 dengan kerjasama DARPA US, ciri-ciri model XOS 2 ini mempunyai berat hanya 95 kg sahaja. Dibuat menggunakan bahan aluminium serta besi padu, seluruh sistem kawalan XOS 2 menggunakan sistem aktuator dan saluran cecair bagi memudahkan pergerakan.

Kuasa XOS 2 dijana oleh sebuah enjin berkuasa elektrik yang memberikan tenaga pada sut tersebut, membolehkan seseorang askar mengangkat beban seberat 100kg dalam tempoh yang lama. Walaupun memberikan kekuatan yang agak besar kepada pemakainya, XOS 2 setakat ini direka hanya untuk membantu petugas tentera mengangkat peralatan mereka yang berat seperti peluru berpandu dan sebagainya. (rujukan)

2. HULC

sut ringan hulc

Selain daripada XOS 2, sebuah lagi syarikat yang sedang membangunkan teknologi serupa adalah Lockheed Martin. Mereka memperkenalkan sut yang dikenali dengan nama Human Universal Load Carrier atau HULC bagi membolehkan beban yang ditanggung tentera semasa mengangkut barangan berat - dipindahkan.

Berbeza dengan XOS 2, HULC mempunyai kerangka yang lebih kecil dengan berat sekitar 24 kg - namun memerlukan bateri bagi menjana pergerakannya.

Setakat ini teknologi HULC membolehkan seorang individu mengangkat beban seberat 91 kg, dengan sistem litar yang ada pada HULC akan memindahkan bebanan itu ke tanah melalui sensor yang dipasang pada bahagian kaki HULC. (rujukan)

3. Ratnik-3

ratnik 3 kerajaan russia

Tidak mahu ketinggalan, kerajaan Russia melalui syarikat TsNiiTochMash (kami tak tahu macam mana nak sebut) telah pun mengumumkan kejayaan mereka membangunkan sebuah sut rangka luaran yang dinamakan sebagai Ratnik-3.

Fungsi sut ini lebih fokus untuk tujuan menggempur serta direka bagi membantu tembakan. Ratnik-3 dikatakan mampu membantu pemakainya menyerang musuh dengan lebih tepat, membolehkan penggunanya berlari dan menembak hanya dengan sebelah tangan.

Kekangan terbesar dalam membangunkan Ratnik-3 yang sudah melalui 3 generasi adalah isu berkenaan bekalan kuasanya, kerana sut ini dibina bagi tujuan menggempur - memerlukan fleksbiliti dan kelincahan pergerakan. Teknologi yang dimiliki Russia ketika ini belum membolehkan mereka menyimpan sumber kuasa dalam bentuk lebih mudah. (rujukan)

4. ONYX

exoskeleton onyx kerajaan us

Kembali kepada syarikat gergasi Lockheed-Martin, mereka turut sama bekerjasam dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk terus membangunkan sebuah lagi sut berkuasa yang diberi nama ONYX.

ONYX merupakan sistem rangka luaran paling ringkas dalam senarai ini, hanya dipakai pada bahagian bawah pusat bertujuan untuk menampung beban pada bahagian belakang badan dan kaki. Selain itu, ONYX juga dibina bagi menambah daya ketahanan seseorang tentera dalam menjalankan tugasnya.

Dalam beberapa siri percubaan yang telah berlangsung, didapati sistem ONYX mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi pada badan, membolehkan seseorang berlari, berjalan atau mendaki jauh lebih lama berbanding seorang askar terlatih. (rujukan)

5. TALOS

talos socom sut tentera

Diperkenalkan pada tahun 2013, sut TALOS atau Tactical Assault Light Operator Suit milik pasukan SOCOM Tentera Amerika Syarikat dibangunkan untuk memudahkan pertempuran jarak dekat. Menggunakan pelbagai teknologi yang digabungkan ke dalam satu sut, TALOS merupakan projek yang dikatakan paling mirip dengan visi baju perisai Iron Man.

Idea untuk membangunkannya datang selepas satu operasi menyelamat di Afghanistan pada tahun 2012, berakhir dengan tragedi. Pembangunannya diklasifikasikan sebagai salah satu projek paling penting untuk masa depan tentera Amerika Syarikat dan maklumat tentangnya, tidak banyak dikeluarkan.

Malangnya, kelambatan projek serta pertambahan kos menyebabkan banyak pihak mula mengkritik projek ini. Pada pertengahan tahun 2018, kenyataan rasmi pasukan SOCOM menyebut sut tersebut yang sudah masuk generasi ke lima iaitu TALOS Mk.5 memerlukan setahun lagi tempoh pembangunan. Bagaimanapun, kerajaan Amerika Syarikat mengambil keputusan menghentikan pembangunannya pada Februari 2019.

Teknologi sut TALOS yang telah dibangunkan dalam tempoh 5 tahun itu bukan calang-calang - setakat ini beberapa fungsi yang telah beroperasi sepenuhnya adalah perisai ringan yang diperbuat daripada bahan polyethylene, sistem pengawalan suhu sut, sensor pembacaan bebanan pada sut serta penstabil gerakan untuk menembak.

Beberapa teknologi TALOS lain yang belum sempurna adalah sistem audio 3 dimensi yang akan memberikan maklum balas pada pemakai, sistem pembaca biomekanik dan sistem sensor pengesan tembakan balistik pada sut. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)