Berapakah kelajuan yang anda fikir mampu dihasilkan apabila seorang pemain menyepak bola? Seperti yang kita tahu, pemain-pemain menyepak bola dengan sangat kuat, yang mampu mencapai kelajuan 100 km/j dengan mudah. Sebagai perbandingan, kelajuan tertinggi yang dilakukan seorang pemukul dalam sukan kriket adalah 161.3 km/j.
Pemain-pemain seperti Roberto Carlos, Zlatan Ibrahimovic, David Beckham dan lain-lain sangat dikenali dengan kualiti sepakan mereka, dengan gol umpama kilat yang dihasilkan Carlos ketika menentang Perancis dalam Piala Konfederasi apabila beliau menyepak dalam situasi bola mati yang menghasilkan kelajuan yang menakjubkan iaitu 138 km/j. Manakala Ibrahimovic pula, menjaringkan gol ketika menentang Anderlecht dalam Liga Juara-Juara dengan kelajuan setinggi 150 km/j! Beckham juga tidak terkecuali apabila beliau menghasilkan gol yang sangat 'kuat' ketika menentang Chelsea pada bulan Februari 1997 dalam Liga Perdana. Kelajuan sepakannya ketika itu mencapai setinggi 157.5 km/j! Namun nama-nama besar ini masih belum mampu untuk menandingi 5 nama berikut yang merekodkan sepakan dengan kelajuan tertinggi dalam bola sepak:
BESARKAN TEKS A- A+
1) David Hirst – 183 km/j
Pemain Sheffield Wednesday ini merekodkan sepakan umpama roket apabila beliau membuat percubaan yang menghasilkan kelajuan 183 km/j ketika menentang Arsenal di Highbury pada bulan September 1996. Walaupun sepakan itu sangat kuat, malangnya ia tidak menghasilkan gol apabila terkena palang gol. Ia adalah satu percubaan yang sangat bertenaga dan pasti tiada siapa yang sanggup menahan bola tersebut.
Apa yang menarik adalah pengurus lagenda Manchester United, Alex Ferguson pernah 'memancing' pemain Sheffield Wednesday ini sebanyak enam kali, dan semuanya gagal. Sebaliknya, mereka beralih kepada Eric Cantona dan selebihnya adalah sejarah.
Beliau kemudian berpindah ke Southampton dengan nilai perpindahan yang menjadi rekod kelab ketika itu, dan beliau bersara di sana selepas hanya bermain sebanyak 30 perlawanan liga dalam tempoh tiga tahun.
2) Ronald Koeman – 188 km/j
Disebalik posisinya sebagai pemain pertahanan, Koeman berjaya tersenarai dalam senarai ini apabila beliau menjaringkan gol umpama peluru yang mencapai kelajuan setinggi 188km/j. Beliau mewakili Barcelona ketika beraksi dalam perlawanan akhir Champions Cup pada tahun 1992 menentang Sampdoria. Ia dihasilkan dari sepakan percuma apabila rakan sepasukannya 'menyungkit' bola terlebih dahulu sebelum beliau berlari dan melakukan voli yang menerjah ke bahagian bawah kiri gawang.
Pemain Belanda ini adalah watak penting dalam pasukan Barcelona setelah berjaya membantu mereka merangkul empat takhta La Liga dan satu kejuaraan Liga Juara-Juara. Selepas berjaya membawa Southampton untuk berada di posisi keenam dalam Liga Perdana, yang terbaik pernah dicapai, beliau kemudian berpindah ke kelab Merseyside, Everton namun dipecat apabila The Toffees menampilkan persembahan yang buruk kebelakangan ini.
3) Steven Reid – 189 km/j
Pemain Blackburn Rovers, Steven Reid melakukan sepakan yang sangat laju apabila beliau menjaringkan gol yang menakjubkan ketika menentang pasukan yang bakal diwakilinya selepas itu, Wigan Athletic dalam Liga Perdana dengan kelajuan setinggi 189 km/j. Cuba bayangkan reaksi penjaga gol pihak lawan apabila bola ibarat peluru tersebut melintasinya dan menerjah jaring?
Malah ada sesetengah penyokong yang mengatakan jika penjaga gol tersebut terkena sepakan itu, Reid mungkin boleh dihantar ke penjara kerana membunuh! Reid adalah sebahagian daripada pasukan Ireland pada Piala Dunia 2002 dimana mereka terkeluar pada peringkat 16 terbaik apabila tewas kepada Sepanyol. Bekas pemain pertahanan kanan tersebut kini bertindak sebagai jurulatih pasukan utama pasukan Reading.
4) Arjen Robben – 190 km/j
Pemain Bayern Munich, Arjen Robben menjaringkan gol melalui satu voli yang padu ke atas musuh ketat Borussia Dortmund dengan kelajuan yang menakjubkan iaitu 190 km/j! Dengan kelajuan yang sangat tinggi itu, penjaga gol tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya melihat bola tersebut menerjah ke jaring gawang gol.
Robben sangat cemerlang dalam pasukan Bayern Munich yang memonopoli Bundesliga dan memainkan peranan penting dalam pasukan tersebut yang menjuarai Liga Juara-Juara. Pemain serangan ini sangat prolifik untuk pasukan Bavarians di mana beliau menjaringkan 77 gol dalam 142 penampilan liga. Beliau pasti membuatkan rakan senegaranya Ronald Koeman berasa sangat bangga!
5) Ronny Heberson – 210 km/j
Pemain bola sepak dengan sepakan yang paling laju pernah direkodkan seorang manusia adalah Ronny Heberson! Pemain pertahanan Sporting Lisbon tersebut menjaringkan gol melalui satu sepakan yang sangat dahsyat dari situasi bola mati ketika menentang Associacao Naval de Maio dengan keluan yang mencapai 211 km/j!
Ya! Ia adalah benar. Apa yang melucukan adalah setiap satu keretapi di India hanya berkelajuan 140 km/j. Setiap seorang dan semua pemain dalam senarai ini menjaringkan gol dengan kelajuan yang lebih tinggi daripada itu! Sepakan Ronny telah dianggap umpama kilat yang menyambar. Rekodnya dilihat tidak akan dapat dipecahkan dalam masa yang terdekat. Walaupun kariernya tidaklah begitu berjaya, sepakannya tetap akan kekal dalam sejarah sebagai yang terlaju pernah dihasilkan.
Rujukan: sportskeeda.com