Ada kalanya sesuatu produk itu hanya dengan sekilas pandang, mampu membuatkan kita tertanya-tanya "wow! Kenapa tak pernah lagi ada orang terfikir nak cipta benda ni?"

Ada sesetengah produk lain pula tidak layak menerima reaksi serupa, malahan memerlukan pemikiran yang amat dalam untuk memahami kenapa produk itu dicipta. Apa yang lebih membingungkan, bagaimana pengeluar produk itu terlalu yakin dengan produk mereka sehinggakan mereka berani memasarkannya untuk dibeli orang ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernah dengar produk-produk yang layak dikatakan 'tak ada guna' seperti ini? Berikut adalah enam produk yang mampu membuatkan penulis tertanya-tanya - berapa serius sebenarnya pengeluar produk ni meniaga?

1. 'Jumpsnap'

jump snap

Adakah anda seorang yang gemar bersukan? Jika ya, pasti anda tahu salah satu aktiviti paling mencabar untuk bersenam adalah melakukan lompat tali. Fuh! Memang mencabar aktiviti ini kerana ia memerlukan koordinasi di antara tangan dengan kaki yang sangat tepat.

Untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka yang sukar untuk lompat tali, pengeluar Jumpsnap mengambil keputusan membuang tali yang menjadi penghalang orang ramai dan menjualnya pada orang ramai.

2. Payung kasut

payung kasut

Salah satu masalah yang dihadapi oleh ramai orang ketika hujan, adalah kasut yang basah disebabkan hujan yang turun. Jadi sebuah syarikat dari Jepun cuba menyelesaikan masalah itu dengan mencipta payung kecil yang boleh dipasangkan pada bahagian depan kasut anda untuk mengelakkannya basah.

Setelah dipasangkan, kasut yang anda sayangi sudah tentulah tidak lagi akan kena hujan serta kekal kering - melainkan angin sangat kuat menolak air hujan kepada kasut anda atau lapisan air yang berada di tanah, terpercik mengena kasut. Sekurang-kurangnya, kasut anda tak kena hujan dari atas.

3. DVD Rewinder

dvd rewinder

Kami tidak tahu sama ada produk ini dikeluarkan sebagai satu bahan lawak bagi mereka yang mudah terpedaya atau pengeluarnya benar-benar percaya DVD perlu diputar semula selepas dimainkan.

Yang kami tahu, produk ini benar-benar wujud.

4. Coli lelaki

pencipta coli lelaki

Kita tahu salah satu halangan untuk kaum wanita dalam melakukan aktiviti lasak, adalah berikutan saiz buah dada yang kerap kali menjadi penghalang. Masalah sama turut dihadapi golongan lelaki yang menghadapi masalah lemak berlebihan, sehingga mempunyai 'buah dada' mereka sendiri.

coli lelaki

Atas masalah inilah, sebuah syarikat dari Jepun bernama Wish Room mengeluarkan siri baju dalam khas untuk lelaki, yang memerlukan sokongan pada 'payudada' mereka. Sekiranya anda merasakan produk ini boleh membantu anda, apa salahnya anda mencuba? Kami janji kami takkan kata apa-apa.

5. Kasut vakuum

denso vacuum shoe

Salah satu rekaan terbaru yang dilancarkan, kasut ini diperbuat oleh gergasi kejuruteraan dunia, syarikat Denso dari Jepun. Ya, Denso. Besar kemungkinan sistem pendingin hawa kenderaan anda diperbuat oleh syarikat ini.

Kasut ini yang masih lagi dalam proses prototaip mampu menyedut habuk yang ada, setiap kali tapak kasutnya ditekankan ke tanah. Buat masa sekarang, habuk yang dikumpulkan tidak mampu dikeluarkan lagi tetapi harapnya di masa akan datang Denso boleh mencari jalan untuk membolehkan habuk dibuang. Bersihlah jalan kita selepas ni kalau semua orang menggunakannya. (rujukan)

6. Tali leher 'flask'

flask tie minum dari tali leher

Ada masanya ekoran mesyuarat yang terlalu panjang, kopi dan teh pun dah habis namun anda tidak dibenarkan keluar kerana perbincangan sedang berjalan. Tekak yang dahaga sudah tidak tahan lagi jadi apa boleh anda buat untuk menghilangkan dahaga anda?

flask tie

Itulah agaknya yang difikirkan pencipta produk 'FlaskTie' di mana tali leher yang anda pakai, sebenarnya menyimpan uncang yang mampu menampung 235ml air di dalamnya. Dengan 'FlaskTie,' anda tidak lagi perlu risau dahaga semasa bekerja. Yang lebih penting, anda kelihatan tampan memakainya.

7. Seluar dalam penapis kentut

seluar dalam penapis kentut

Anda kerap kentut? Selalu takut orang lain terbau kentut anda? Sebuah syarikat bernama Shreddies mengeluarkan produk yang sangat sesuai untuk anda.

Semua produk Shreddies datang dengan sistem penapis karbon yang mampu memerangkap bau busuk kentut, yang akan dineutralisasikan apabila pakaian itu dibasuh. Sistem penapis karbon itu mempunyai jangka hayat di antara 2 ke 3 tahun sebelum seluruh pakaian itu perlu digantikan.

Mereka cukup yakin dengan kemampuan produk mereka sehingga tidak segan silu untuk menggunakan slogan 'kentutlah dengan yakin' untuk mereka yang menggunakannya.

8. Uro Club

uro club

Bagi peminat sukan golf, salah satu masalah yang kerap melanda mereka adalah tempoh permainan yang panjang serta perlu berada agak jauh daripada fasiliti yang disediakan. Rasa ingin terkencing pasti menyerang ketika sedang bermain namun takkanlah nak kencing di tepi pokok begitu saja pula kan?

Uro Club dicipta untuk menyelesaikan masalah ini. Direka agar menyerupai sebatang kayu golf, Uro Club mempunyai tangki air di dalamnya dan bahagian atasnya boleh dibuka untuk pemain boleh menunaikan hajat, sambil kelihatan seperti sedang berlatih untuk pukulan berikutnya.

Kami pasti produk ini hanya sesuai untuk pemain golf lelaki sahaja kerana agak mustahil pemain wanita mampu menggunakan produk ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)