Sukan bola sepak merupakan satu sukan fizikal, dengan kekasaran sudah jadi satu kebiasaan. Terjahan, pelanggaran atau bentesan kerap dilakukan dalam perebutan dengan aksi yang keras tidaklah menjadi satu kesalahan, melainkan pemain itu sendiri dilihat cuba mengasari pihak lawan dengan sengaja.
Sistem kad kuning dan kad merah yang diperkenalkan jelas membantu dalam mengawal disiplin pemain. Walaupun begitu, ada jenis-jenis pemain tertentu yang dilihat memang gemar bermain dalam corak yang lebih keras berbanding pemain lain sehingga mendapat kritikan atau jolokan nama tertentu.
BESARKAN TEKS A- A+
Bukan semua kekerasan layak untuk diberikan kad dengan hanya situasi tertentu sahaja memerlukan pengadil menyeluk poket mengeluarkan kad kepada pemain - berikut adalah lima pemain yang sudah pasti anda tidak menyangka memegang rekod penerima kad paling banyak dalam kejohanan Piala Dunia sehingga kini.
5. Tim Cahill (Australia)
Penyerang veteran Australia ini telah pun menyertai tiga kejohanan Piala Dunia sebelum ini dengan mula menyertainya pada tahun 2006, 2010 dan 2014. Tetap terpilih sebagai pemain dalam skuad Australia untuk kejohanan 2018 namun Cahill bukan lagi berada dalam kesebelasan utama. Mengumpul 4 kad kuning dan 1 kad merah, Cahill berada di tempat kelima pemain paling banyak mengumpul kad sepanjang zaman dengan rekodnya itu dibuat dalam lapan kali penampilan.
4. Rigobert Song
Pemain terkenal dari Cameroon antara pemain Afrika paling ikonik ini, adalah seorang yang terkenal dengan reputasi pemain keras di atas padang. Bermain dalam empat kejohanan Piala Dunia pada kejohanan 1994, 1998, 2002 dan 2010. Beliau terkena penyakit angin ahmar yang menyebabkan tubuhnya koma selama 2 hari sehingga ada pihak yang tersilap melaporkan kematian beliau.
Kini cergas semula, rekod kekerasannya dalam Piala Dunia dengan 3 kad kuning dan 2 kad merah yang diperolehinya, hanya dalam sembilan perlawanan.
3. Cafu (Brazil)
Pemain legenda Brazil yang terkenal sebagai satu-satunya pemain di dunia yang menyertai 3 perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut pada tahun 1994, 1998 dan 2002, rekod disiplinnya di atas padang sayangnya kurang menyinar. Bermain dalam Piala Dunia sejak edisi 1994 hingga 2006 dalam 20 perlawanan, Cafu berjaya mengelakkan dirinya daripada di buang padang namun rekod 6 kad kuning yang dikutip menjadikan dia antara pemain paling kasar di atas padang, sepanjang zaman.
2. Rafael Marquez (Mexico)
Rafael Marquez terkenal sebagai pemain tegap yang mengetuai barisan pertahanan pasukan Mexico serta menjadi pemain Mexico pertama bermain dengan kelab Barcelona di Sepanyol. Dalam kejohanan Piala Dunia 2018, Marquez menjadi pemain ketiga sepanjang zaman pernah bermain dalam lima edisi Piala Dunia iaitu 2002, 2006, 2010, 2014 dan 2018.
Pada usia 39 tahun, inilah peluang terakhir untuk Marquez memintas pemain nombor 1 dalam jumlah pungutan kad Piala Dunia. Marquez mengumpul 5 kad kuning dan 1 kad merah dalam semua kejohanan yang disertai sebelum ini, belum cukup untuk memintas pendahulu senarai ini.
1. Zinedine Zidane (Perancis)
Legenda Perancis ini terkenal sebagai seorang pemain yang mempunyai kemahiran bermain yang cukup cantik. Kemahiran gelecekan Zidane menjadi ikutan ramai. Begitu juga detik-detik yang dihasilkan oleh beliau dalam mengemudi pasukan Perancis memenangi dua kejohanan besar iaitu Piala Dunia 1998 dan Euro 2000. Bagaimanapun, prestasi buruk pasukan Perancis pada tahun 2002 membawa kepada kebangkitan mereka dalam edisi 2006 di mana Perancis berjaya melayakkan ke perlawanan akhir berdepan Itali.
Dalam satu insiden masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, Zidane yang marah terhadap provokasi Marco Materazzi bertindak menanduk Materazzi lalu dibuang padang. Karier Piala Dunia Zidane berakhir pada detik itu, menjadikan Zidane pemegang rekod disiplin paling teruk dalam semua kejohanan Piala Dunia dengan 4 kad kuning dan 2 kad merah dalam 12 perlawanan.