Oleh pada 09 Jul 2018 kategori

Melihat 2 orang pemain bola sepak profesional yang mempunyai hubungan adik-beradik bermain dalam satu pasukan bukanlah suatu perkara yang pelik sama ada diperingkat kelab mahupun negara. Sebagai contoh, Gary dan Phil Neville yang bukan sahaja bermain di kelab yang sama iaitu Manchester United, tetapi keduanya juga pernah mewakili England.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kes terpencil dimana adik-beradik pemain bola sepak profesional mewakili 2 negara yang berbeza. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Perkara ini biasanya terjadi apabila pemain ini mempunyai salasilah keturunan (ibu dan bapa) dari dua negara berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 pasangan adik-beradik pemain bola sepak profesional yang mewakili 2 negara berbeza.

1. Paul Pogba (Perancis) dan Mathias Pogba (Guinea)

Hubungan adik-beradik antara Paul Pogba dan Mathias Pogba sememangnya sudah diketahui ramai. Paul Pogba merupakan seorang pemain bintang bagi pasukan kelab Manchester United. Bermain di posisi pemain tengah, beliau merupakan antara pemain utama bagi kelab kebangsaan Perancis.

Sementara itu, Mathias pula merupakan pemain penyerang bagi kelab Sparta Rotterdam di Liga Belanda dan pernah dipanggil beberapa kali mewakili pasukan Guinea. Beliau memilih Guinea kerana merasakan negara tersebut lebih dekat dengan dirinya, selain mengetahui sukar untuk dipilih mewakili Perancis yang memiliki ramai pemain bintang. Kedua pemain ini meminati bola sepak kerana diberi galakan oleh bapa mereka semenjak daripada kecil lagi.

2. Thiago Alcantara (Sepanyol) dan Rafinha Alcantara (Brazil)

thiago rafinha 514

Thiago dan Rafinha merupakan dua adik-beradik yang menjadi pemain profesional melalui Akademi Bola Sepak Barcelona sebelum terpilih memasuki pasukan utama. Thiago (abang) merupakan pemain pilihan Barcelona ketika berada di bawah kendalian Pep Guadiola. Beliau bermain di posisi pemain tengah dan dikenali sebagai pemain yang memiliki kemahiran teknikal yang tinggi. Beliau berpindah ke Sepanyol bersama bapanya semasa berusia 5 tahun dan sudah beberapa kali mewakili skuad Sepanyol.

Sementara itu, Rafinha juga berjaya menjadi pemain profesional melalui Akademi Bola Sepak Barcelona. Juga bermain sebagai pemain tengah, beliau lebih terkenal dengan corak permainan menyerang. Walaupun pernah bermain untuk pasukan Sepanyol di peringkat remaja, beliau memilih untuk mewakili pasukan Brazil untuk penampilan seniornya. Keputusan ini dibuat memandangkan beliau lahir di Sao Paolo selain mahu mengikut jejak bapanya yang pernah mewakili skuad negara Brazil.

3. Christian Vieri (Itali) dan Massimilano Vieri (Australia)

christian vieri massimilano vieri 597

Christian Vieri merupakan pemain lagenda Inter Milan. Beliau memulakan karier seniornya bersama kelab Torino dan bermain untuk beberapa kelab lain seperti Juventus dan Atletico Madrid. Kehebatannya sejak peringkat remaja membolehkan beliau terpilih mewakili skuad negara Itali. Beliau pernah mendapat panggilan untuk mewakili Australia tetapi menolak tawaran tersebut.

Sementara itu, Massimilano Vieri pula memulakan karier di Juventus sebelum berpindah ke beberapa buah kelab lain. Pada tahun 2004, beliau mendapat panggilan untuk mewakili skuad Australia. Beliau menerima pelawaan tersebut untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi memandangkan peluang yang sukar untuknya untuk mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan Itali.

4. Granit Xhaka (Switzerland) dan Taulant Xhaka (Albania)

granit xhaka taulant xhaka

Granit Xhaka merupakan seorang pemain hebat yang memulakan karier di Switzerland. Beliau pernah bermain untuk kelab FC Basel sebelum ke beberapa kelab lain seperti Borussia Monchengladbach dan Arsenal. Walaupun sudah menyatakan keinginan untuk mewakili Albania, beliau mengambil keputusan untuk mewakili Switzerland memandangkan beliau tidak pernah mendapat panggilan untuk bermain untuk Albania.

Taulant Xhaka pula merupakan pemain utama FC Basel dan pernah menjadi pemain pinjaman untuk kelab Grasshopper Club Zurich. Walaupun pernah mewakili Switzerland bagi pasukan Bawah 17 dan Bawah 21, di peringkat senior beliau mengambil keputusan untuk mewakili pasukan kebangsaan Albania. Kedua pemain ini pernah bertembung antara satu sama lain apabila Switzerland bertemu Albania dalam EURO 2016 dimana perlawanan ini juga disaksikan ibu mereka.

5. Tim Cahill (Australia) dan Chris Cahill (Samoa)

tim cahill

Tim Cahill merupakan pemain lagenda sepanjang zaman Australia dan merupakan pemegang rekod gol paling banyak pasukan Australia. Antara kelab terawalnya adalah Milwall sebelum berpindah ke beberapa kelab lain seperti Everton dan New York Red Bulls sebelum kembali ke Liga Australia pada usia 38 tahun mewakili kelab Melbourne City FC.

Sementara itu, karier Chris Cahill tidak begitu menyerlah dan beliau hanya bermain dalam beberapa kelab kecil Australia sepanjang kariernya. Kerana emaknya berasal dari Samoa, maka beliau telah mendapat panggilan untuk bermain mewakili skuad kebangsaan Samoa. Peluang ini diterimanya memandangkan peluangnya untuk mewakili Australia agak tipis.




Hakcipta iluminasi.com (2017)