Anak muda yang menyumbang kepada negara merupakan tulang belakang kepada masa depan kita semua. Di negara kita, dengan mengambil kira jumlah pekerja muda adalah mereka yang berumur 15 hingga 25 tahun, jumlah individu muda yang tidak bekerja masih tinggi dengan peratusannya mencecah 10.5% daripada seluruh tenaga kerja golongan muda di seluruh negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, kadar pengangguran tinggi di kalangan anak muda di negara kita masih boleh dikira sebagai normal berbanding negara-negara lain yang dibandingkan, seperti Indonesia yang mencatatkan 19.4%, Korea Selatan 10.7% dan Amerika Syarikat yang mencatatkan 20.9%.

Bagaimana pula datanya apabila melihat statistik dalam negeri kita pula? Berikut adalah 5 negeri terbaik di Malaysia yang mempunyai kumpulan anak muda menyara hidup sendiri dengan mempunyai pekerjaan sendiri.

5. Pahang

anak muda pahang

Negeri yang menjadi tulang belakang kepada kegiatan ekonomi di bahagian pantai timur Malaysia, Pahang mampu menyediakan peluang pekerjaan yang banyak berikutan kewujudan East Coast Economic Region atau ECER yang sudahpun dirancang sejak 2007 lagi. Pahang adalah tempat bertapaknya syarikat-syarikat kejuruteraan berat seperti Isuzu HICOM Malaysia dan Mercedes Benz. Tidak hairanlah Pahang mampu mencatatkan kadar pengangguran golongan muda pada kadar 9.0% bagi tahun 2016.

4. Selangor

anak muda selangor

Negeri paling maju di Malaysia, Selangor mencatatkan kadar pengangguran 8.8% bagi golongan muda. Diiktiraf sebagai penyumbang terbesar ekonomi Malaysia, negeri Selangor merancang untuk memberi fokus kepada bidang aero angkasa, perniagaan atas talian, servis dan biotek dalam terus membuka ruang pekerjaan baru untuk memenuhi permintaan masyarakat.

3. Negeri Sembilan

anak muda negeri sembilan

Di bawah pentadbiran Menteri Besar yang masih lagi digantung dalam sebarang perlawanan bola sepak di negerinya sendiri, Negeri Sembilan mencatatkan kadar pengangguran 8.1% pada tahun 2016. Lebih dikenali sebagai negeri pertanian, pembukaan beberapa kawasan perindustrian di Senawang, Sungai Gadut, Nilai dan Port Dickson sedikit sebanyak mengubah lanskap ekonomi Negeri Sembilan. Tahukah anda, banyak komponen televisyen Samsung sebenarnya dibuat di Senawang?

2. Pulau Pinang

anak muda pulau pinang

Sejarah memang menunjukkan Pulau Pinang merupakan pesaing terdekat Selangor dalam bidang ekonomi, sejak zaman sebelum merdeka lagi. Mempunyai fasiliti pembangunan ekonomi lengkap dengan kemudahan lapangan terbang, pelabuhan dan jalinan jalan keretapi, banyak syarikat menjadikan Pulau Pinang sebagai markas operasi seperti Bosch, Osram dan Hitachi. Dengan pertumbuhan ekonomi yang mantap dan peluang kerjaya yang banyak, Pulau Pinang mempunyai kadar pengangguran golongan muda pada kadar 5.5% bagi tahun 2016.

1. Melaka

pengangguran anak muda pekerjaan

Kecil-kecil cili api. Itulah kehebatan Melaka dalam menjana peluang pekerjaan kepada penduduk mereka. Diiktiraf sebagai negeri maju pada tahun 2010, Melaka mempunyai 23 kawasan perindustrian seperti di Ayer Keroh, Batu Berendam, Cheng dan Tanjung Kling. Selain itu Petronas juga mempunyai kilang penapisan minyak di Sungai Udang yang menyumbang kepada ekonomi penduduk.

Selain itu rasanya kita semua sudah sedia maklum berkenaan industri pelancongan di Melaka, yang saban hari akan menyebabkan kesesakan teruk di bandar Melaka, ekoran kemasukan orang ramai berkunjung ke situ.

Berbanding tahun 2015 di mana Melaka mencatatkan kadar pengangguran 4.1%, bagi tahun 2016 Melaka berjaya mencapai kadar 2.8% yang membuktikan Melaka sepatutnya turut sama dijadikan alternatif yang cukup baik berbanding negeri-negeri lain yang lebih ternama.

Sebagai rujukan, 4 negeri yang mempunyai kadar pengangguran anak muda paling tinggi adalah negeri Johor (11.6%), Terengganu (12.8%), Sabah (13.0%) dan Kelantan (13.8%).

Rujukan

MIDF (Versi PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)