jangka hayat madu selama lamanya 277

Sebelum anda mengemas dapur anda dan membuang makanan berdasarkan tarikh luput, anda perlu tahu terlebih dahulu bahawa bagi sesetengah makanan tarikh yang tertulis hanyalah sebagai cadangan.

Sesetengah makanan boleh bertahan selama-lamanya dan ada makanan yang masih boleh dimakan walaupun telah melepasi tarikh luput. 

makanan paling tahan lama bertahun

Sudah tentu anda tak perlu menyimpan makanan selama-lamanya kecuali berlaku kecemasan seperti bencana alam, namun untuk mengetahui senarai makanan yang mempunyai jangka hayat yang lama adalah satu pengetahuan bermanfaat.

iluminasi.com kongsikan 5 makanan yang mempunyai jangka hayat paling panjang dan bertahan selama-lamanya.

5. Beras putih

beras putih tahan lama

Nasi, makanan ruji manusia di Asia. Mudah untuk dimasak, mengenyangkan dan sudah tentu sangat lazat jika dimakan dengan lauk seperti kari ayam kan?

Semua orang tahu bahawa nasi perang lebih sihat dan berkhasiat berbanding nasi putih, namun ia hanya boleh bertahan dari 4 hingga 6 bulan sebelum rosak.

Jadi, jika anda ingin jimat wang dan menyimpan stok beras untuk jangka masa panjang, pilihan terbaik adalah beras putih.

Apabila beras putih disimpan di tempat yang sejuk dan kering di dalam bekas kedap udara, ia dianggarkan akan kekal dalam keadaan baik selama 30 tahun.

Sesetengah percaya membuat spekulasi bahawa jika beras putih disimpan dalam peti sejuk, ia sebenarnya boleh kekal segar selama-lamanya.

Disebabkan beras amat mudah didapati, maka kita tak perlu lakukan sebegini. Namun jika berlakunya bencana alam atau sesuatu yang tak diingini, maka anda tahu bagaimana untuk mengekalkan kesegaran beras.

4. Kopi segera

kopi segera tahan lama

Seperti beras, kopi juga boleh bertahan sangat lama. Bayangkan jika berlaku bencana, pastinya anda tak dapat untuk ke Starbuck bagi mendapatkan kopi untuk pagi anda.

Berita baik untuk peminat kopi di mana kopi segera boleh bertahan dari 2 hingga 20 tahun dalam suhu bilik. Dan jika anda simpan di dalam peti sejuk, ia boleh bertahan selama-lamanya.

Dan memandangkan kopi segera juga memerlukan gula, anda tak perlu risau kerana gula putih juga mempunyai jangka hayat yang panjang iaitu sekitar 2 tahun dan selamanya jika diletakkan dalam bekas kedap udara di tempat yang kering.

Serbuk krim kopi hanya boleh bertahan di antara 18 hingga 24 bulan.

3. Pasta kering

jangka hayat pasta panjang 129

Siapa tak suka makan pasta kan? Ia merupakan antara makanan paling popular di seluruh dunia yang berasal dari Itali.

Pasta kering dianggap sebagai makanan biasa bagi mereka yang membuat senarai makanan kecemasan jika berlakunya bencana alam.

Tapi sebelum anda ingin membeli dan menyimpan pasta dalam jumlah yang banyak. jangka hayat makanan ini hanyalah dari 2 hingga 3 tahun di dapur anda.

Namun jangka hayatnya boleh ditambah kepada 8 hingga 10 tahun jika diletak dalam bekas kedap udara dan disimpan di tempat kering.

Akan tetapi, anda mungkin terpaksa memakan pasta tanpa kuahnya kerana sos tomato atau tomato dalam tin hanya boleh bertahan selama 18 hingga 24 bulan sahaja.

2. Susu tepung

jangka hayat susu tepung panjang

Susu lembu sebenar biasanya hanya boleh bertahan sekitar 2 minggu di dalam peti sejuk. Dan jika anda tidak memiliki lembu untuk tujuan tenusu, anda mungkin terpaksa berharap kepada susu tepung.

Susu tepung penuh lemak boleh bertahan dari 2 hingga 5 tahun dan susu tanpa lemak boleh bertahan sehingga 25 tahun.

Seperti makanan dalam senarai ini, jangka hayatnya boleh dilanjutkan jika disimpan di tempat sejuk dan kering terutamanya dalam peti sejuk.

Ini hanya untuk susu tepung dan bukan susu formula untuk bayi, yang hanya boleh bertahan selama setahun. Jangan beri bayi anda minum susu tepung yang lebih daripada setahun kerana ia boleh membahayakan si kecil.

1. Madu

madu boleh bertahan selama lamanya

Dan yang terakhir dalam senarai makanan jangka hayat selamanya adalah madu, yang merupakan satu-satunya makanan yang tak akan pernah luput.

Madu telah ditemui di dalam periuk tanah liat yang bertarikh dari zaman Mesir kuno, membuktikan bahawa ia masih mempunyai rasa yang baik walaupun sudah beribu tahun berlalu.

Rahsia di sebalik jangka hayat yang kekal adalah kandungan gula yang tinggi. Ia juga sangat berasid, jadi bakteria tidak mempunyai peluang untuk berkembang.

Madu telah dikenali sebagai "makanan super" dengan banyak manfaat kesihatan. Ia tinggi dalam antioksidan, membantu menyekat batuk dan ia juga terbukti dapat membantu menyembuhkan luka dan luka terbakar.



Hakcipta iluminasi.com (2017)