Sebelum ini, penulisan Mesir Kuno merupakan satu rahsia besar bagi kalangan manusia moden. Namun akhirnya, dengan bantuan batu Rosetta, Jean-François Champollion telah berjaya menyelesaikan dan merungkaikan misteri purba ini.

Sejak itu, terdapat banyak percubaan lain untuk merungkai bahasa kuno lain atau memecahkan kod yang telah dibuat dengan tujuan keseronokan atau mencari kekayaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan senarai 5 kod dan sistem penulisan paling terkenal yang masih gagal dirungkai manusia.

5. D’agapeyeff Cipher

d agapeyeff cipher

Kod D'Agapeyeff adalah kod yang muncul dalam edisi pertama "Codes and Ciphers", sebuah buku asas mengenai kriptografi terbitan seorang kartografer Inggeris kelahiran Rusia, Alexander D'Agapeyeff pada tahun 1939.

Ditawarkan sebagai "cipher cabaran" pada penghujung buku tersebut, ia tidak termasuk dalam edisi seterusnya dan D'Agapeyeff kemudiannya dikatakan telah mengakui bahawa dia terlupa bagaimana dia mengenkripsi kod ini.

Perdebatan wujud tentang fakta bahawa kegagalan semua percubaan dekripsi adalah disebabkan oleh D'Agapeyeff tersalah mengenkripsi teks asal.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan bahawa kod ini mungkin masih boleh dirungkai menggunakan kaedah pengiraan seperti algoritma genetik.

4. Kryptos

kryptos

Kryptos adalah arca yang dibina oleh seorang artis Amerika, James Sanborn, terletak di dataran Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Langley, Virginia, di Amerika Syarikat.

Sejak dihasilkan pada 3 November 1990, terdapat banyak spekulasi mengenai makna mesej enkripsi pada arca ini.

Arca ini terus menjadi tanda-tanya dan membuatkan para kakitangan CIA dan penganalisa mesej yang lain untuk cuba mendekripsi mesej ini.

Jika dihitung, tulisan rahsia pada separuh daripada arca utama mengandungi 869 aksara secara keseluruhan. Namun, pada April 2006, James Sanborn menyatakan bahawa satu huruf pada separuh bahagian utama arca tersebut telah hilang.

Ini menjadikan jumlah bilangan huruf pada bahagian utama arca ini kepada 870. Separuh lagi arca ini terdiri daripada jadual enkripsi Vigenère, terdiri daripada 869 aksara, jika setiap jarak antara huruf diambil kira.

Pada tahun 1999, orang pertama yang yang mengumumkan berjaya menyelesaikan tiga bahagian pertama pada arca ini adalah James Gillogly, seorang saintis komputer dari California selatan, yang menguraikan 768 aksara.

Bahagian yang tidak dapat diselesaikannya iaitu baki 97 atau 98 aksara lagi adalah bahagian yang sama yang mana menjadi kebuntuan kepada para penganalisa mesej kerajaan AS sendiri.

3. Linear A

linear a

Linear A adalah salah satu daripada dua skrip linier yang digunakan di Crete purba (skrip ketiga adalah Hieroglif Cretan). Skrip-skrip ini telah ditemui dan dinamakan oleh Arthur Evans.

Linear B telah berjaya dirungkai pada tahun 1952 oleh Michael Ventris dan digunakan untuk menulis Mycenaean Greek.

Namun, proses untuk merungkai Linear A dikatakan masih jauh namun sebahagiannya difahami dan ia mungkin boleh dibaca menggunakan Linear B.

Walaupun kedua-dua skrip itu berkongsi banyak simbol yang sama, namun dengan menggunakan suku kata yang berkaitan dengan Linear B dalam tulisan Linear A menghasilkan kata-kata yang tidak berkaitan dengan mana-mana bahasa yang diketahui.

Bahasa ini telah digelar sebagai Minoan atau Eteocretan, dan sepadan dengan tempoh dalam sejarah Cretan sebelum berlakunya satu siri pencerobohan oleh orang Yunani Mycene sekitar 1450 SM.

Adalah dipercayai bahawa terdapat hubungan dan kaitan di antara Linear A dan Cakera Phaitos.

2. Dorabella Cipher

dorabella cipher

Dorabella Cipher adalah surat tersirat yang ditulis oleh komposer Edward Elgar kepada Dora Penny, yang disertakan dengan tarikh 14 Julai 1897.

Kod ini yang terdiri daripada 87 aksara yang tersebar dalam 3 baris, kelihatan seperti dihasilkan daripada 24 simbol.

Setiap simbol terdiri daripada 1, 2, atau 3 separuh bulatan berorientasikan pada salah satu daripada 8 arah (orientasi beberapa aksara tidak jelas).

Satu titik kecil muncul selepas karekter kelima pada baris ketiga. Terdapat beberapa percubaan untuk menyelesaikannya tetapi semuanya kelihatan sangat tidak memuaskan.

Malah, Dora Penny sendiri tidak pernah berjaya menguraikan makna surat ini dan ia kekal sebagai satu misteri hingga ke hari ini. 

1. Cakera Phaistos 

phaistos disk

Cakera dari Phaistos adalah contoh ukiran hieroglif paling penting dari Crete (pulau di Greece) dan ditemui pada tahun 1903 bersama dengan tablet Linear A dan tembikar bertarikh dari awal zaman Neo-palatial (1700-1600 SM).

Kedua-dua permukaan cakera liut ini dipenuhi dengan hieroglif yang diatur dalam bentuk lingkaran, terkesan pada tanah liat apabila lembap.

Tanda-tanda ini membentuk kumpulan yang dibahagikan antara satu sama lain dengan garis menegak dan setiap kumpulan ini dikatakan mewakili satu perkataan.

Empat puluh lima jenis tanda berlainan telah dibezakan, di mana beberapa daripadanya boleh dikenalpasti dengan hieroglif yang digunakan dalam tempoh Proto- palatial.

Sesetengah urutan hieroglif berulang-ulang yang kelihatan seperti lirik nyanyian kegamaan. Ini membuatkan ahli arkeoligi Itali yang menemui cakera ini, Luigi Pernier, beranggapan bahawa kandungan teks ini adalah satu jenis ritual kegamaan.

Para pakar yang lain telah mencadangkan bahawa teks itu adalah senarai askar dan akhir-akhir ini mereka telah mencadangkan bahawa ia merupakan dokumen dalam bahasa Hittic di mana seorang raja membincangkan tentang pembinaan Istana Phaistos.

Rujukan:

1. Ancient Scripts

2. Cipher Mysteries

3. MSN




Hakcipta iluminasi.com (2017)