Oleh pada 04 Oct 2021 kategori

Dalam dunia yang sempurna, keadilan pasti akan ditegakkan bagi setiap kesalahan terutamanya jenayah berat seperti rogol atau bunuh. Hakikatnya, masih ramai yang kecewa dengan sistem undang-undang dalam dunia nyata.

Ramai penjenayah yang masih bebas atau menerima hukuman ringan yang tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Keadaan ini membuatkan segelintir orang mengambil keputusuan untuk menegakkan keadilan dengan cara tersendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 individu yang menghukum sendiri penjenayah yang membunuh ahli keluarga mereka.

1. Marianne Bachmeier

marianne bachmeier

Pada 5 Mei 1980, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun bernama Anna ditemui mati dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di tebing sebuah sungai di Jerman. Polis tidak mengambil masa yang lama untuk menahan seorang lelaki berusia 35 tahun bernama Klaus Grabowski.

Klaus mempunyai rekod jenayah mencabul kanak-kanak dan tinggal berhampiran rumah Anne. Walaupun Klaus mengaku membunuh Anne tetapi mendakwa dia tidak mencabul kanak-kanak itu.

Malah, Klaus membuat dakwaan pelik dengan mengatakan punca dia membunuh Anna adalah kerana gadis itu mengugut untuk memberitahu orang ramai bahawa dia dicabul jika Klaus tidak memberikannya wang.

Ibu kepada Anna iaitu Marianne Bachmeier yang sedih atas kematian anaknya menjadi berang apabila mendengar cerita pembunuh itu. Pada hari ketiga Klaus dibicarakan, Marianne telah menyeludup sepucuk pistol di dalam beg tangannya ketika masuk ke mahkamah.

Wanita itu kemudian melepaskan lapan tembakan dan enam daripadanya mengenai Klaus yang mati di tempat kejadian. Berita itu menjadi sensasi di Jerman dengan sebahagian orang yang memuji tindakan Marianne manakala sebahagian lagi mengecamnya.

Marianne didapati bersalah kerana membunuh tetapi hanya dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun sahaja atas perbuatannya. 

2. Tityana Coppage

tityana coppage

Pada 10 Januari 2021, seorang remaja berusia 16 tahun bernama telah ditembak mati di Missouri, AS. Apabila kakaknya iaitu Tityana Coppage mendengar berita menyedihkan itu, perasaan ingin membalas dendam membuak-buak di dalam hatinya.

Ia bukanlah kali pertama Tityana melalui pengalaman seumpama ini. Pada tahun 2016, dua ahli keluarga Tityana mati ketika tidur apabila peluru sesat menembusi dinding rumah mereka dipercayai berpunca daripada kejadian tembak-menembak di kejiranan mereka.

Ketika pihak berkuasa masih lagi menjalankan siasatan kes pembunuhan itu, mereka terkejut apabila seorang suspek yang berusia 36 tahun bernama Keith Lars ditemui mati.

Pihak polis menahan Tityana tidak lama selepas itu setelah meneliti beberapa rakaman CCTV yang menunjukkan wanita itu berada berhampiran tempat kejadian.

Pihak berkuasa kemudian menemui lagi bukti apabila Tityana menghantar mesej kepada satu kenalan bernama "Auntie" untuk membeli senjata api. Malah, Tityana juga menghantar mesej kepada nombor adiknya yang telah mati dengan mengatakan dia telah membalas dendam.

Tityana yang mendapat maklumat mengenai pembunuh adiknya daripada penduduk tempatan itu rela ditangkap dan mengaku bersalah atas perbuatannya.

3. Gary Plauché

gary plauche

Seorang guru karate dari Louisiana bernama Jeff Doucet telah membawa lari salah seorang pelajarnya bernama Jody Plauche yang berusia 11 tahun pada 19 Februari 1984. Bagi mengelak daripada disyaki, Doucet telah mencukur jambangnya dan mewarnakan rambut Jody.

Doucet telah membawa Jody lari ke California dan menyewa sebuah bilik motel di Anaheim. Di situ, Doucet telah merogol Jody beberapa kali sebelum melepaskannya. Pihak polis kemudian menahan guru karate itu.

Pada 16 Mac 1984, pihak polis membawa Doucet menaiki kapal terbang untuk dibicarakan di Louisiana. Ketika tiba di lapangan terbang, sesuatu yang mengejutkan telah berlaku.

Bapa Jody iaitu Gary Plauche sedang menunggu di sebuah telefon awam dengan memakai topi berwarna putih dan berkaca mata hitam. Gary kemudian melepaskan tembakan ke kepala Doucet dan membunuh perogol anaknya itu.

Malah, kejadian itu turut dirakam jurukamera berita tempatan yang ada di tempat kejadian. Doucet mati di tempat kejadian dan Gary telah dijatuhkan hukuman ringan iaitu penjara selama tujuh tahun.

4. André Bamberski

andre bamberski

Pada 10 Julai 1982, Kalinka Bamberski berusia 14 tahun ditemui mati di rumah bapa tirinya di Lindau, Jerman. Bapa tirinya iaitu Dieter Krombach merupakan seorang doktor yang dihormati.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat Kalinka juga mencurigakan kerana Krombach turut hadir pada waktu itu. Malah, Krombach hanya disoal siasat oleh polis sekali sahaja.

Bapa kandung Kalinka iaitu Andre Bamberski yang tinggal di Perancis sedih dan marah atas berita itu. Ketika dia menerima keputusan bedah siasat anaknya berbulan-bulan selepas itu, kes telahpun ditutup dan polis mendakwa anaknya mati mengejut.

Andre percaya anaknya telah dirogol, diseksa dan dibunuh tetapi pihak berkuasa melepaskan individu berpengaruh seperti Krombach. Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama dia terlepas.

Isteri pertama Krombach juga mati secara mengejut pada usia 24 tahun. Beberapa tahun selepas dilepaskan daripada sebarang tuduhan atas kematian Kalinka, Krombah didapati bersalah kerana merogol seorang pesakit berusia 16 tahun.

Andre bertindak sendiri apabila dia merancang agar Krombach diculik dan dibawa ke Perancis. Krombach ditinggalkan di sebuah balai polis dan akhirnya mengaku membunuh Kalinka. Doktor itu dihukum penjara selama 15 tahun manakala Andre pula dihukum setahun kerana menculik.

5. Barry Gilton dan Lupe Mercado

barry gilton

Pada tahun 2012, sepasang suami isteri mendapati anak perempuan mereka berusia 17 tahun dilacurkan oleh teman lelakinya bernama Calvin Sneed. Sneed telah mengiklankan teman wanitanya di internet.

Gilton dan Mercado merayu anak mereka untuk meninggalkan Sneed tetapi gadis itu enggan. Mereka melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tetapi seolah-olah tiada maklum balas.

Kecewa dan marah, pasangan itu merancang untuk membunuh Sneed. Pada percubaan pertama, Gilton menghampiri kereta Sneed dan melepaskan 9 tembakan tetapi tidak mengenai Sneed.

Sneed hanya cedera ringan akibat terkena serpihan kaca cermin kereta. Walaupun Sneed cuba dibunuh, anak mereka masih enggan pulang ke rumah. Dalam cubaan kali kedua, Gilton mengekori kereta Sneed dan menembaknya sebanyak empat kali.

Kenderaan Sneed terbabas dan dia dibawa ke hospital akibat kecederaan dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Pasangan Gilton dan Mercado ditahan dan disabitkan atas kesalahan membunuh.




Hakcipta iluminasi.com (2017)