Oleh pada 24 Oct 2022 kategori

Zaman kanak-kanak mendedahkan kita kepada bermacam pengaruh yang sukar kita tahu baik dan buruknya, benar atau salahnya. 

Pengaruh psikologi yang terjadi akibat perbuatan kanak-kanak atau anak muda, boleh juga menghantui mereka sehinggalah mereka merangkap dewasa.

Masih ingatkah anda tentang beberapa cara tilik nasib yang popular satu masa dulu, tetapi akhirnya disedari dongengnya? Berikut adalah lima yang popular serta sering dimainkan kita. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Garis tangan huruf M miskin, K kaya

garis pada tangan ramalan hidup

Gambaran tangan orang miskin

Kami yakin ada di antara anda ada kawan yang suka melihat garisan tapak tangan kita dan membaca 'huruf' yang ada.

Jika garis tapak tangan kita menyerupai huruf M, dia kata itu tanda kita bakal miskin di masa depan. Jika K? Itu petanda awal anda bakal bergelar jutawan!

Ada juga pandangan yang kata kalau garis tangan kita terputus, itu tanda kita usia pendek. Kalau bersambung, kita akan panjang umur. 

Perkara ini memang mampu menghantui kanak-kanak. Apatah lagi bila kita baru mula kerja, gaji kita kecil. Rasa merana saja sambil merenung tapak tangan sambil teringat ramalan kawan kita dulu.

Bila dah dewasa kita pun tahu kepercayaan ini hadir daripada 'ilmu membaca tapak tangan' yang popular di kalangan masyarakat, 'dibaca' berdasarkan kepercayaan sesetengah masyarakat India atau Cina.

2. Ada tahi lalat di tangan tanda kita rajin

tahi lalat pengaruhi personaliti

Siapa dulu masa kecil ada dipuji orang hanya kerana dia ada tahi lalat pada bahagian tangan? Orang tu kata kita seorang yang rajin.

Malangnya bila ada tahi lalat di tangan kiri pula - dia dikatakan bakal melakukan sesuatu yang kurang elok di masa hadapan.

Bila dah besar, barulah tahu semuanya dongeng belaka.

'Ilmu' bacaan tahi lalat atau 'mole reading' ini cukup popular di kalangan mereka yang biasanya mempercayai ilmu astrologi dalam hidup. 

Bukan saja kedudukan tahi lalat didakwa mempengaruhi masa depan dan personaliti kita; saiz, warna dan bentuk tahi lalat juga memberikan pengaruh yang berbeza faktornya ke atas tahap kejayaan, nasib dan sifat peribadi kita, baik dan buruk.

Bila tahu saja kita ada tahi lalat yang kedudukannya menggambarkan nasib buruk, memang tak tidur malam kita selepas itu.

Masa mandi, habis sabun kita gosok tahi lalat yang ada walhal tahi lalat hanyalah kerosakan semulajadi yang berlaku kepada pigmen kulit.

3. Bentuk muka gambaran masa depan kita

bentuk muka tentukan masa depan

Selain dimomokkan dengan garisan tangan dan kedudukan tahi lalat, satu lagi kepercayaan tilik nasib yang sering dikongsi adalah ilmu bacaan bentuk muka kita. 

Ilmu membaca bentuk muka dikatakan mampu menceritakan bermacam perkara tentang sifat dan personaliti kita.

Diasaskan masyarakat Cina, kepercayaan ini membahagikan wajah manusia kepada 10 jenis; memgambil kira bentuk dan saiz dahi, pipi dan dagu yang didakwa mampu menggambarkan kita dengan tepat.

Wajah berbentuk bulat dengan dagu juga bulat dikatakan seorang yang periang serta pandai mengambil hati orang lain namun terlalu mudah percaya orang lain, sehingga dia senang cuai.

Orang yang mempunyai bentuk muka panjang dikatakan degil serta tidak toleran dengan pendapat berbeza, tetapi rajin dan mampu fokus dalam apa yang dilakukannya.

Begitulah gambaran kasarnya. Siapa sini masa kecil dulu teringin sangat nak bentuk muka berbeza hanya kerana tak suka dengan 'bacaan personaliti' kita?

4. Nasib berkait tarikh lahir dan nombor

numerologi ilmu personaliti berasaskan angka

Setiap bulan pasti ada mesej dalam media sosial atau aplikasi mesej yang penulis terima menceritakan tentang pengaruh nombor dalam pembentukan personaliti kita, dikongsi orang lain.

Masa kecil dulu, mesti ada sesama kawan kita berbincang kalau lahir bulan ini, perangai dia sebegini. Kalau lahir tarikh ini, personaliti mereka akan jadi begini kan?

Akan ada seorang kawan kita terlebih rajin jadi tukang kira angka-angka tarikh lahir kita, untuk dapat satu nombor akhir yang dikatakan mewakili sifat kita.

Iilmu' ini masih popular dikongsikan walaupun jelas tak ada maknanya, kerana amalannya masih kuat dipegang kuat sesetengah kelompok masyarakat dunia.

5. Origami peramal nasib

cootie catcher permainan kanak kanak tilik nasib

Hahaha! Anda mungkin ketawa dengan permainan origami kanak-kanak ini sekarang setelah dewasa.

Kami yakin ada di antara dulu yang jadi takut dan dihantui keputusannya selepas bermain permainan ini.

Apatah lagi jika soalan yang kita tanya soalan sensitif, melibatkan perkara peribadi hidup kita masa itu seperti: 'adakah aku akan berkahwin bila besar?' atau 'adakah aku miskin bila tua?'

Imaginasi kanak-kanak ni, macam-macam kita mampu fikirkan. Tahukah anda apakah tujuan sebenar origami kertas ini dibuat?

Rekaannya diperkenalkan di Eropah untuk orang ramai menggunakan lipatan kertas bagi memerangkap serangga yang masuk ke dalam rumah, digelarkan masyarakat mereka sebagai 'cootie catcher.' 

Tidak jelas kenapa kertas origami ini boleh menjadi salah satu alat permainan kanak-kanak yang digunakan untuk bermain ramalan nasib dan menjawab persoalan seseorang.

Apa yang penulis tahu, ramalan bahawa penulis tidak akan berkahwin yang dibuat origami kertas ini berdekad-dekad dahulu, salah sama sekali.

Hahaha! Ambik kau!




Hakcipta iluminasi.com (2017)