Oleh pada 20 Sep 2018 kategori

Sebelum tahun 1992, UEFA Champions League atau Liga Juara-Juara Eropah masih belum wujud. European Cup yang dimainkan sejak tahun 1955 adalah merupakan liga utama bola sepak Eropah, sebelum ianya dijenamakan semula kepada UEFA Champions League pada tahun 1992. Namun, di dalam artikel ini, European Cup, UEFA Champions dan Liga Juara-Juara Eropah merujuk kepada kejohanan yang sama. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Benfica

benfica menang uefa champions league

Sport Lisboa e Benfica, atau lebih dikenali sebagai Benfica adalah sebuah kelab sukan yang berpangkalan di Lisbon, Portugal. Kelab ini terkenal dengan pasukan bola sepak mereka yang bermain di Primeira Liga, liga utama Portugal. Kelab ini adalah kelab bola sepak paling berjaya di negara itu berdasarkan jumlah piala yang dimenangi. 

Diasaskan pada 28 Februari 1904 sebagai Sport Lisboa, Benfica adalah antara pasukan tiga terbesar di Portugal yang tidak pernah diturunkan daripada Primeira Liga ke liga bawahan. Dengan keseluruhan 81 piala yang dimenangi, 82 termasuk Latin Cup, Benfica adalah kelab paling berjaya di Portugal.

Namun di mata peminat bola sepak Eropah, Benfica jarang diminati oleh peminat luar, termasuklah daripada Malaysia. Kejayaan mereka di liga Portugal tidak diketahui umum, dan siapa sangka kelab ini adalah antara kelab yang berjaya memenangi UEFA Champions League sebanyak 2 kali, daripada 7 penyertaan pada peringkat akhir (final). Berikut adalah edisi perlawanan akhir Champions League (European Cup) yang pernah disertai oleh Benfica:

  1. 1960/61 di Berne - Benfica (3) - Barcelona (2)
  2. 1961/62 di Amsterdam - Benfica (5) - Real Madrid (3)
  3. 1962/63 di London - Milan (2) - Benfica (1)
  4. 1964/65 di Milan - Internazionale (1) - Benfica (0) - 
  5. 1967/68 di London - Manchester United (4) - Benfica (1) 
  6. 1987/88 di Stuttgart - PSV (0) - Benfica (0) - (Penalti 6-5) 
  7. 1989/90 di Vienna - Milan (1) - Benfica (0)

2. Nottingham Forest

nottingham forest menang uefa champions league

Nottingham Forest Football Club, atau kerap kali dirujuk sebagai Forest, adalah sebuah kelab bola sepak profesional yang berpangkalan di West Bridgford, Nottinghamshire, England. Kelab ini telah diasaskan pada tahun 1865, dan kini bermain di liga Championship, iaitu liga kedua selepas English Premier League. 

Sejak diasaskan, kelab ini kebanyakannya bermain di liga kedua England, kecuali 5 musim di liga ketiga. Forest pernah memenangi FA Cup sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1898 dan 1959. Zaman kegemilangan kelab ini antara tahun 1976 hingga 1982, ketika berada di bawah pengurusan Brian Clough dan Peter Taylor.

Forest hari ini tidak dikenali peminat bola sepak, namun dahulunya kelab ini gah dengan kejayaan mereka merangkul Piala Eropah sebanyak 2 kali iaitu pada edisi:

  1. 1978/79 di Munich - Nottingham Forest (1) - Malmo (0)
  2. 1979/80 di Madrid - Nottingham Forest (1) - Hamburg

3. Crvena Zvezda (Red Star Belgrade)

crvena zvezda red star belgrade menang uefa champions league

Fudbalski klub Crvena zvezda, atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Red Star Belgrade adalah merupakan sebuah kelab bola sepak profesional yang berpangkalan di Belgrade, Serbia. Kelab ini adalah satu-satunya kelab Serbia dan bekas Yugoslavia yang pernah memenangi European Cup. 

Menurut sebuah undian yang dijalankan pada tahun 2008, Red Star Belgrade adalah kelab bola sepak paling popular di Serbia, dengan undian 48.2 peratus menyokong mereka. Musuh utama mereka adalah kelab bola sepak Partizan. Perlawanan antara keduanya dikenali sebagai 'The Eternal Derby'.

Crvena Zvezda mungkin terkenal antara penyokong tempatan di Serbia, namun di mata dunia, kelab ini bukanlah gergasi bola sepak yang setanding dengan Real Madrid mahupun Barcelona. Namun, siapa sangka mereka pernah memenangi kejohanan utama Eropah pada edisi 1990/91 menewaskan Marseille dengan jaringan penalti 5-3.

4. Fotbal Club Steaua București (FCSB)

fcsb menang uefa champions league

Lebih dikenali sebagai Steaua, FCSB adalah sebuah kelab bola sepak profesional yang berpangkalan di Bucharest, Romania. Diasaskan pada tahun 1947 sebagai Asociația Sportivă a Armatei București, kelab ini hanya bermain di Liga I, liga utama Romania, dan tidak pernah diturunkan ke liga bawahan. 

Pasukan ini sebelumnya adalah sebahagian daripada CSA Steaua București yang dimiliki oleh Tentera Romania, namun mereka berpisah pada tahun 1998. Tentera telah menyaman kelab bola sepak ini pada tahun 2011, dan sejak itu berlaku konflik berkenaan hak pemilikan jenama Steaua, yang akhirnya menyebabkan mereka menukarkan nama kepada akronim FCSB pada awal tahun 2017. 

Mungkin tidak ramai peminat bola sepak di Malaysia yang mengenali pasukan ini, namun siapa sangka mereka pernah menewaskan sebuah gergasi bola sepak dunia bagi memenangi European Cup pada edisi 1985/86. Berikut adalah 2 kejohanan Liga Juara-juara yang disertai mereka:

  1. 1985/86 di Seville - FCSB (0) - Barcelona (0) - (Penalti 2-0)
  2. 1988/89 di Barcelona - FCSB (0) - A.C. Milan (4)

5. Feyenoord Rotterdam

feyenoord menang uefa champions league

Feyenoord, atau Feyenoord Rotterdam adalah sebuah kelab bola sepak profesional yang berpangkalan di Rotterdam, Belanda. Diasaskan pada tahun 1908 sebagai Wilhelmina, kelab ini menukar nama kepada SC Feijenoord pada tahun 1912, SC Feyenoord pada tahun 1974 dan akhirnya Feyenoord Rotterdam pada tahun 1978. 

Kelab ini secara konsistennya telah bermain di liga utama Belanda sejak dinaikkan ke liga berkenaan pada tahun 1921. Feyenoord adalah antara kelab bola sepak yang paling berjaya di Belanda, memenangi 15 piala Eredivisie, 13 KNVB Cups dan 4 Johan Cruyff Shields. 

Dikenali sebagai kelab rakyat dengan sokongan kuat dari seluruh negara, kelab ini melalui zaman kegemilangannya antara tahun 1960an hingga 1970an di bawah kendalian Coen Moulijn dan Ove Kindvall. Feyenoord adalah kelab pertama Belanda yang berjaya memenangi European Cup dan Intercontinental Cup. Dalam Liga Juara-Juara Eropah edisi 1969/70, Feyenoord berjaya menewaskan Celtic pada perlawanan akhir dengan jaringan 2-1.

Sumber:

  1. uefa.com
  2. wikipedia.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)