Oleh pada 11 Apr 2023 kategori

Kuih Raya merupakan tradisi wajib ada semasa meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Setiap tahun pastilah kuih raya menjadi antara sajian yang paling dinantikan oleh ramai di seluruh Malaysia, khususnya mereka yang beraya. Tanpa kuih raya, kemeriahannya tak sama kan?

Berikut adalah lima kuih raya berstatus legenda wajib ada semasa musim perayaan Aidilfitri di negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Tat Nenas

tat nenas bunga

Tat nenas merupakan kuih raya yang popular di Malaysia walaupun sudah dimodenkan sedikit rupa bentuknya. Penulis lagi suka yang bentuk bunga, anda pula?

Rasanya pula adalah gabungan rasa manis, masam dan garing, terhasil daripada kombinasi antara isi nenas yang lembut dan tepungnya yang sedikit rangup.

Warna kuning keemasan kuih ini pasti akan memberikan sentuhan klasik yang menarik pada meja hidangan anda semasa Hari Raya.

2. Kuih Makmur

kuih raya wajib ada

Dikatakan popular terlebih dahulu di negeri-negeri pantai timur, kuih makmur atau biskut makmur adalah kuih raya yang biasa ditemui di seluruh Malaysia.

Kuih berbentuk bebola ini berisi kacang yang disalut dengan gula, mempunyai rasa yang manis dengan lapisan luar yang lembut dan empuk.

Secara peribadi, penulis kurang gemarkan rasanya maklumlah tak berapa suka manis tapi orang yang suka memang mampu habiskan setalam kuih ni segera.

3. Kuih bangkit

kuih raya yang ikonik

Setiap kali terlihat kuih ini, penulis pasti teringat pengalaman lama tengok nenek buat kuih ni di dapur.

Mempunyai rasa yang manis dan lemak, dengan tekstur yang lembut dan renyah. Kuih Bangkit dibuat daripada tepung ubi yang dicampur dengan santan dan gula, sebelum dibakar sehingga masak.

Corak atau paten kuih ini berbeza-beza mengikut negeri, ramai membentuknya menjadi corak bunga bersudut lima. Di Johor pula rekaannya sedikit berbeza, dengan penambahan corak tetapi mempunyai rasa yang serupa.

4. Kuih Kapit

kuih kapit goreng eo855

Kuih kapit unik kerana kuih ini dikatakan terhasil daripada asal-usul yang berbeza. Ada yang mengatakan orang Belanda memperkenalkan kuih ini kepada masyarakat kita.

Ada juga pendapat menyebut masyarakat Cina yang memperkenalkan dan mempopularkan kuih kapit di Malaysia.

Sangat nipis seperti keropok dan rangup bila dimakan, kuih kapit dihasilkan daripada adunan tepung, gula, santan dan telur yang dibentuk dalam acuan khas menghasilkan bentuknya yang sangat mudah dikenali. 

Walaupun sedap, makan kuih kapit memang akan mengakibatkan lantai penuh cebisannya yang jatuh. Jadi kena rajin menyapu kalau kita suka kuih kapit ni.

5. Kuih bahulu

bahulu tradisional lembut bekas

Kuih bahulu adalah raja kepada semua kuih raya yang ada, pada pandangan penulis. Apatah lagi kalau kita ada peluang makan bahulu panas-panas. Nikmatnya memang tak terkata.

Bahulu merupakan salah satu kuih paling ikonik dihidangkan semasa Hari Raya Aidilfitri mempunyai tekstur yang lembut dan berongga, dengan rasa yang manis.

Dengan bentuk buah ceremai dan ikan menjadi bentuk paling diingati masyarakat Malaysia, kuih bahulu biasanya dihidangkan bersama kopi-o panas. Cicah bahulu dengan kopi-o sambil dengar lagu raya memang mengimbau nostalgia.

Bagaimanapun, rasa bahulu ni mesti seimbang. Penulis paling tak boleh tahan kalau kita makan bahulu tapi rasa telurnya terlalu kuat. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)