hotel aneh ganjil yang boleh anda lawati

Tidak ramai tahu dari aspek pengajian bahasa, hotel dan hospital sebenarnya pernah membawa makna yang sama membawa makna 'tempat menginap.' Bagaimanapun perubahan bahasa akhirnya memisahkan kedua-dua perkataan sehinggakan maknanya juga berubah.

'Hotel' yang ada sekarang diambil daripada perkataan bahasa Perancis 'ostel' mula merujuk kepada rumah agam yang dijadikan lokasi penginapan. Sementara hospital pula yang pada asalnya merujuk kepada rumah tetamu kini digunakan untuk merujuk kepada lokasi pesakit mendapatkan rawatan.

Terdapat beberapa hotel pelik yang wujud di serata dunia, menawarkan penginapan tetapi datang dengan syarat pelik untuk penghuninya. Berikut adalah lima hotel paling pelik yang ada dan boleh anda kunjungi, jika anda mahu.

1. Kabin kayu pergunungan Julian Alps di Itali

kabin percuma di kawasan pergunungan itali

Kabin kayu ini yang terletak pada ketinggian 8,300 kaki di kawasan pergunungan Julian Alps menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada sesiapa saja yang dapat hadir ke situ.

Dibina bermula pada tahun 2012 sebagai memorial kepada seorang pendaki Itali bernama Luca Vuerich yang terkorban oleh ahli keluarganya, kabin ini dibangunkan menggunakan bahan-bahan yang diangkut naik menggunakan helikopter sebanyak 18 kali, selamat disiapkan dalam hari yang sama.

Rekaannya yang berbentuk segi tiga direka untuk memudahkan salji jatuh, mampu menempatkan 9 orang dalam satu-satu masa.

2. Dua hotel aneh di Sweden

ooops hotel sweden

Seorang ahli perniagaan dan pereka Sweden bernama Mikael Genberg cukup gemar mencipta gimik dalam menggabungkan kediaman untuk hotel dan rekaan aneh.

Salah satu rekaan beliau yang paling terkenal adalah Hotel Oops yang terletak 'dalam' Tasik Malaren di Vasteras, Sweden. Keunikan hotel ini adalah separuh daripada rumah dua tingkat itu terletak di bawah air.

Walau bagaimanapun, hanya bahagian atas rumah itu digunakan sementara bahagian bawahnya pula hanyalah tapak rumah, yang direka seakan-akan tingkat bawah rumah sebenar.

utter inn sweden hotel aneh

Jika pengunjung benar-benar mahu 'duduk' dalam air, satu lagi rekaan Genberg yang terkenal adalah The Utter Inn - sebuah hotel satu bilik yang terletak tidak jauh dari Hotel Oops.

Dibina untuk terapung di sekitar tasik, bilik atas hotel tersebut terletak di atas permukaan air.

hotel utter inn bawah air

Sementara bilik bawahnya pula berada di bawah air, membolehkan pengunjung menikmati pemandangan dalam air tasik tersebut 24 jam sehari.

Seram rasanya kalau tiba-tiba kita nampak makhluk gergasi lalu depan tingkap, tatkala kita sedang baru nak terlena. Untuk mengakses kedua-dua hotel, pengunjung perlu menaiki bot terlebih dahulu.

3. Hotel penjara di Sweden

hotel penjara sweden

Terdapat banyak kompleks penjara yang akhirnya ditukarkan menjadi hotel di seluruh dunia. Satu kompleks yang paling terkenal adalah Hotel Langholmen, yang terletak di Stockholm, Sweden. Orang Sweden memang suka hotel-hotel aneh agaknya?

Di buka pada awalnya sebagai sebuah residen pada tahun 1649, kerajaan Sweden terdahulu menukarkan residen itu sebagai penjara untuk pesalah wanita pada tahun 1724 dinamakan penjara Kronohäktet.

Bangunan itu diperbesarkan bagi menampung jumlah banduan yang meningkat pada tahun 1840 dan penjara itu kekal digunakan selama beberapa dekad sebelum ditutup pada tahun 1975.

Hanya pada tahun 1989 selepas beberapa bahagian kompleks penjara itu rosak dan mula mereput, bangunan itu diubah suai menjadi hotel yang dinamakan Långholmen’s Hotel and Youth Hostel lengkap dengan kemudahan dewan persidangan.

langholmen hotell sweden

Semua pengunjung hotel ini akan menginap di salah satu lokap banduan yang telah diubah suai, disertakan kemudahan televisyen, meja dan kerusi - serta paparan rekod-rekod pesalah yang pernah tinggal di situ terlebih awal.

4. Hotel Henn-na, Jepun

tokyo henn na hotel ginza

Hotel unik ini dibuka pada tahun 2015. Tidak ada apa-apa yang aneh berkenaan kompleks hotel ini dari segi luarannya tetapi hanya apabila anda melangkah ke dalam hotel tersebut - anda akan menyedari keganjilannya.

250 pekerja yang menguruskan hotel tersebut adalah robot, direka bentuk menyerupai manusia dan juga ada yang dibuat ibarat seekor dinosaur.

Mampu menempatkan 250 orang pengunjung dalam satu-satu masa, hotel tersebut menjadi antara ujian eksperimen proses automasi yang dijalankan dalam mengkaji keberkesanan robot untuk melakukan tugas manusia.

Malangnya kos mengendalikan hotel ini dikatakan meningkat tahun demi tahun, disebabkan oleh masalah yang dihadapi pihak pengurusan yang perlu memperbetulkan ketidaksempurnaan robot-robot dalam menyelesaikan tugasan mereka, memerlukan campur tangan manusia.

henn na hotel

Pada tahun 2019, pengurusan hotel tersebut 'memecat' lebih separuh pekerja robot yang ada digantikan dengan manusia sebenar bagi merendahkan kos.

Antara masalah yang dihadapi pengunjung adalah penyambut tetamu yang tidak faham bahasa semasa melakukan tempahan dan pekerja hotel robotik yang sering mengganggu tetamu di waktu pagi, kerana tidak tahu membezakan bunyi dengkuran atau panggilan.

5. Hotel RM3.85 satu malam di Jepun

bilik hotel paling murah di tokyo

Berbanding semua hotel dalam senarai ini, hotel yang terletak di Asahi Ryokan, Jepun ini adalah yang paling murah. Hanya dengan bayaran RM3.85 untuk satu hari penginapan, anda dapat duduk di bilik yang selesa walaupun agak ringkas fasilitinya.

DENGAN SYARAT - anda membenarkan semua aktiviti anda dalam bilik anda distrim secara langsung tanpa henti ke saluran Youtube hotel tersebut!

Gimik perniagaan itu diperkenalkan oleh pemilik hotel tersebut yang mendapati perniagaan keluarganya mula merosot.

Bagaimanapun syarat itu hanya terhad kepada satu bilik sahaja iaitu bilik nombor 8 kompleks penginapan itu. Tidak ramai pengunjung yang sanggup menerima tawaran tersebut.

Untuk mereka yang berani, mereka tidak perlu risau dengan privasi mereka. Hanya video saja distrim tanpa rakaman audio. Semua aktiviti bersifat seksual tidak dibenarkan berlaku.

Walaupun kurang digunapakai, populariti bilik nombor 8 ini menyebabkan banyak pihak cuba menggodam kamera yang terpasang memaksa pengurusan hotel berkali-kali mencipta saluran baru di Youtube.

Bilik ini juga semakin hari semakin mendapat tempat di kalangan anak muda Jepun yang mahu mencari jalan mencipta populariti di media sosial, menggunakannya sebagai platform untuk berinteraksi dengan pengikut secara langsung bersandarkan gimik hotel yang dilaksanakan.

Jika anda nak lihat aksi pengunjung bilik hotel itu, anda boleh buka saluran rasmi hotel tersebut di Youtube.



Hakcipta iluminasi.com (2017)