Ibu adalah insan yang sangat istimewa dalam hidup semua individu. Tidak ada sesiapa pun dapat menggantikan kasih sayang seorang ibu.

Kedudukan ibu dalam sistem sosial masyarakat kita sudah termaktub sangat penting dengan golongan ibu memainkan peranan yang sangat besar melahirkan serta mendidik generasi akan datang.

Tahukah anda beberapa fakta menarik tentang golongan ibu di seluruh dunia? Berikut adalah 6 fakta menarik tentang ibu yang dapat kami kongsikan untuk anda hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Siapakah ibu termuda di dunia?

lina medina dengan anaknya

Sehingga kini, rekod individu paling muda pernah melahirkan anak dipegang oleh seorang kanak-kanak bernama Lina Marcela Media de Jurado atau lebih dikenali dengan nama Lina Medina.

Dia lahir pada 23 September 1933 dan melahirkan anaknya melalui pembedahan, ketika baru berusia 5 tahun 7 bulan dan 21 hari. Pembedahan terpaksa dilakukan disebabkan saiz pelviknya yang terlalu kecil untuk melakukan prosedur bersalin normal.

Sehingga kini bagaimana Lina boleh mengandung tidak didedahkan, dengan desas-desus mengatakan dia mangsa rogol ayah kandung sendiri namun perkara itu tidak dibuktikan. Anak yang lahir diberi nama Gerardo, membesar menjadi seorang lelaki yang sihat dan meninggal dunia pada tahun 1979 ketika berusia 40 tahun.

Lina pula masih hidup sehingga kini, sudah berusia 85 tahun. (rujukan)

2. Siapa pula ibu tertua di dunia?

ibu paling tua di dunia

Walaupun terdapat beberapa percanggahan dalam rekod, ibu tertua di dunia yang melahirkan anak dipegang oleh Daljinder Kaur dari Haryana, India. Berusia 72 tahun semasa melahirkan anaknya yang diberi nama Arman pada 19 April 2016, Arman merupakan anak pertama beliau selepas menunggu sekian lama.

Perkahwinannya dengan suami yang berumur 79 tahun ketika itu tidak memberikan mereka cahaya mata, jadi Daljinder mendapatkan rawatan persenyawaaan benih dengan teknik IVF.

Bagaimanapun, berikutan perubahan corak hidup mereka pada usia tua, kesihatan Daljinder mula terjejas disebabkan keperluan menjaga Arman. Dia kini menghadapi masalah tekanan darah tinggi dan kepenatan untuk memenuhi tanggungjawab menjadi ibu kali pertama pada usia yang agak lanjut. (rujukan)

3. Negara manakah mempunyai ibu kali pertama paling tua secara purata?

greece ibu paling tua

Apabila dilakukan perbandingan di antara semua usia ibu kali pertama, wanita di negara Greece mempunyai purata paling lambat berjaya menjadi ibu dengan purata usia 31.20 tahun, diikuti oleh Australia 30.50 tahun. Korea Selatan, Jepun dan Itali berkongsi tempat ketiga dengan mempunyai purata usia 30.30 tahun. (rujukan)

4. Di mana masyarakat yang mempunyai ibu paling muda?

wanita angola ramai anak bersalin muda

Berbeza dengan negara paling tua yang banyak meliputi negara-negara barat, negara Afrika mendominasi rekod ibu paling muda di dunia.

Negara Angola mencatatkan usia ibu paling muda secara purata, dengan umur 18.00 tahun adalah usia wanita mereka menjadi ibu. Niger dan Bangladesh berkongsi kedudukan kedua dengan 18.10 tahun, Chad dengan 18.20 tahun dan Mali dengan 18.60 tahun.

Amat berbeza sekali kan corak hidup masyarakat dunia di merata-rata tempat, dengan perbezaan hampir 12 tahun memisahkan purata ibu paling tua dan paling muda.

5. Siapakah ibu paling rajin beranak?

vassilyeva anak 69 orang

Rekod ibu yang paling bekerja keras beranak sehingga kini dipegang oleh seorang wanita Russia yang hidup pada abad ke 18, bernama Valentina Vassilyeva.

Dia dikatakan telah melahirkan 69 orang anak sepanjang hidupnya yang datang dalam beberapa kandungan kembar. Valentina dikatakan mengandung 16 kali kembar dua, 7 kali kembar 3 dan 4 kali kembar empat orang.

Daripada rekod yang ada, hanya dua orang anak beliau meninggal dunia semasa kecil. Walau demikian, rekod itu disangkal oleh pihak-pihak yang skeptik dengan kelemahan sistem rekod maklumat kelahiran yang digunakan. (rujukan)

6. Berapakah rekod paling ramai untuk sekali kelahiran oleh seorang ibu?

octomom anak lapan orang

Rekod bersalin paling ramai setakat ini dipegang oleh seorang wanita bernama Nadya Suleman, seorang warganegara Amerika Syarikat. Dia berjaya melahirkan 8 orang bayi, 2 perempuan dan 6 lelaki menerusi teknik persenyawaan IVF.

Kelahiran 8 orang bayi itu memecah rekod seorang lagi ibu bernama Nikem Chukwu, yang turut sama melahirkan 8 orang bayi namun salah seorang daripadanya meninggal semasa belum cukup usia seminggu. Selepas kelahiran anak-anaknya, Nadya berdepan kontroversi yang teruk berikutan status kewangannya yang amat runcing, selain daripada tanggungjawab menjaga 6 orang anaknya yang sedia ada.

Tindakan pihak perubatan meletakkan 12 embrio bayi ke dalam rahim Nadya dikritik kerana keterlaluan serta melanggar garis panduan badan perubatan. Atas tindakan itu, lesen pengamal perubatan doktor yang melakukan prosedur itu ditarik balik sehingga kini.

Walau bagaimanapun, tindakan doktor itu membuka peluang kepada Nadya untuk menggemparkan dunia, mempromosikan dirinya sehingga dikenali dengan nama 'Octomum.' (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)