Oleh pada 14 Jul 2017 kategori

pasangan

Setiap perhubungan romantis tidak terlepas daripada masalah, sama ada kecil atau besar. Hubungan di antara lelaki dan wanita adalah hubungan di antara dua makhluk yang diciptakan sangat berbeza dan naluri yang tidak sama. Jadi, pastinya dari masa ke masa akan berlaku perbalahan atau pertengkaran. Ini adalah normal.

Namun, terdapat perkara yang boleh mengelakkan sebuah pasangan daripada sentiasa mengalami masalah yang sama atau sentiasa bergaduh tanpa sebab yang jelas. Salah satunya adalah dengan berkomunikasi dengan baik. Komunikasi adalah salah satu tiang yang sangat penting dalam sesebuah perhubungan. Ramai hubungan yang hancur ditengah jalan akibat komunikasi yang tidak baik.

bergaduh dan bertengkar

iluminasi.com ingin berkongsi 5 cara yang terbukti berkesan untuk membuatkan pasangan anda mendengar apa yang ingin anda sampaikan. (Anggapan bahawa kedua-dua pihak jujur antara satu sama lain)

1. Tahu cara menyetujui untuk tidak bersetuju (agree to disagree)

Walaupun anda sehati sejiwa dengan pasangan, pastinya terdapat perbezaan dari beberapa segi. Antaranya dari segi selera makan, cara berpakaian, muzik yang digemari sehinggalah kepada pemilihan perabut dalam rumah. Pasangan yang saling mencintai pun akan berasa tidak selesa jika berselisih pendapat mengenai kehendak peribadi seperti ini.

Menurut Dr. Leon Seltzer, ketika perbalahan berlaku anda akan merasakan diri anda diabaikan oleh pasangan anda yang mana ia boleh menjadi hal yang serius. Jelasnya lagi, "inner child" kita yang akan selalu mengawal emosi kita, dan apa yang logik yang sepatutnya dilakukan itu dikawal oleh diri kita yang dewasa. Jadi, kita perlu bijak buat keputusan, dan bersedia untuk mengalah serta bertolak ansur. 

Yang penting, anda perlu ingat bahawa kedua-dua pendapat anda dan pasangan anda adalah benar.

2. Anda perlu mendengar pendapat orang untuk orang mendengar pendapat anda

Jika setiap kali dalam pertengkaran anda sering bercakap mengenai apa yang anda rasa dan memotong percakapan pasangan anda ketika mana anda sepatutnya diam dan mendengar, bagaimana anda rasa orang lain akan mendengar pendapat anda? Dengar apa yang pasangan anda hendak perkatakan, anda akan dapat melihat pasangan anda akan memberikan respon yang sepatutnya terhadap apa yang ada perkatakan juga. 

3. Cakap apa yang perlu dan jangan berlebih-lebih

berkata kesat

Ini yang selalu diendahkan dalam sesuatu pertengkaran atau perbincangan. Anda hanya perlu mengutarakan apa yang perlu sahaja dan tahu bila untuk berhenti. Jika anda asyik bercakap tiada batasan, anda hanya menampakkan diri anda menekankan apa yang anda hendak perkatakan sahaja, dan bukan mahu berbincang mengenai masalah tersebut sebagai orang dewasa. 

Sentiasa beringat untuk berhenti, dan berikan sedikit masa kepada pasangan anda untuk hadam apa yang cakapkan supaya dia boleh memberikan respon yang baik.

4. Jangan gunakan perkataan yang keras atau kesat

Biasanya ketika pertengkaran berlaku, anda pastinya berasa marah dan sukar untuk mengawal perasaan. Ini menyebabkan anda menggunakan perkataan yang keras dan kasar walaupun anda sebenarnya tidak bermaksud langsung. Apabila ini berlaku, perbincangan yang sepatutnya membuahkan hasil terus akan terbantut dan akan menyebabkan pergaduhan yang lebih teruk. 

Gunakan perkataan seperti "tolong" daripada menggunakan "sekarang". Walaupun anda mempunyai kuasa, adalah lebih baik dengan menggunakan pendekatan yang lembut. Disebabkan anda boleh, tak semestinya anda perlu. Satu lagi adalah dengan bertanyakan soalan berkali-kali seolah-olah ingin memprovokasi pasangan anda. Elakkan tindakan ini, melainkan ianya sangat perlu.

5. Elakkan dari menyalahkan

bergaduh

Anda dan pasangan anda berada dalam satu hubugan romantis, jadi, ia amat lah bertentangan dengan perkara yang akan terjadi jika anda menyalahkan satu sama lain. Ia hanya akan membunuh keromantisan yang wujud di antara anda. Jika anda menyalahkan bermakna anda cuba untuk memalukan pasangan anda yang dianggap bersalah. 

Jika anda benar-benar cinta dan sayang, bagaimana anda mempunyai hati untuk memperlakukan pasangan anda sebegitu rupa. Tujuan anda berbincang dan bertengkar bukanlah ingin mencari siapa yang salah tetapi mahu mencari penyelesaian supaya anda boleh hidup dengan bahagia. Jika setiap perkara anda akan mencari kesalahan siapa dan "keeping score", ia akan menjadi tabiat dan menjadikan hubungan anda sebagai sebuah perlumbaan yang akhirnya akan hancur di tengah jalan.

Cakap apa yang anda mahu dan rasa tetapi jangan menyalahkan dan memalukan pasangan anda hanya disebabkan anda ingin si dia mendengar dan memberi respon kepada anda.

Walau apa pun yang berlaku, berbincang dan bertengkarlah dengan berhemah dan sebagai orang dewasa. Anda perlu ingat, setelah tamatnya pertengkaran, pasangan anda lah yang akan menjadi peneman anda setiap masa dari bangun pagi sehinggalah ke tidur. Tak memberi apa pun faedah jika anda menang dalam perbalahan tetapi ianya menyakitkan pasangan anda dan memberikan impak negatif kepada hubugan anda.

Wallahualam.


tags : , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)