Oleh pada 15 Dec 2019 kategori

nsync pakai baju overalls

Satu ketika dulu semasa zaman kemuncak trend boyband dalam industri muzik antarabangsa, pasti ramai yang menyampah dengan kemunculan 'boyband-boyband' yang macam cendawan.

Walaupun demikian, selepas lebih 20 tahun mereka berjaya menjadi ikutan industri muzik, kebanyakan lagu popular kumpulan boyband ini layak dikatakan masih sedap untuk didengari. Melodinya yang ringkas serta hantaran vokalnya yang mudah, mampu membuatkan kita sendiri rasa seakan berbakat besar dalam bidang nyanyian bila terikut-ikut lagu mereka.

Ada sesuatu aura yang unik mampu membuatkan lagu klasik kumpulan boyband masih kekal relevan, walaupun citarasa muzik dunia sudah berubah. Bagi mereka yang dapat merasai era 90-an hingga awal 2000, hendak tak hendak mesti ada satu atau dua lagu daripada 5 kumpulan di bawah yang anda hafal - walaupun anda benci. Hebat sebenarnya penangan lagu mereka!

1. Westlife

westlife dari ireland

Westlife menjadi fenomena pada era milenium selepas berjaya menguguli carta di seluruh, serta menjadi salah satu boyband kegilaan rakyat Malaysia ketika kemuncaknya. Negara kita menjadi salah satu persinggahan mereka pada tahun 2000, sebelum mereka kembali sekali lagi pada tahun 2019, selepas bersatu semula.

Ditubuhkan hasil cetusan idea produser terkenal Simon Cowell, Westlife mula dipopularkan selepas menandatangani kontrak pada tahun 1998 seterusnya melancarkan single pertama mereka 'Swear It Again' pada tahun 1999. Selepas era milenium, Westlife menjadi artis nombor 1 di UK selepas mampu menewaskan kumpulan lejen Spice Girls di takhta carta.

Pada tahun 2011, Westlife akhirnya mengumumkan perpisahan mereka dengan label rekod mereka dan akhirnya berpecah pada 19 Oktober 2011. Selepas 7 tahun, kumpulan ini kembali mengumumkan bahawa mereka kini kembali bersatu dengan pelancaran album baru pada awal tahun 2019, seterusnya melepaskan rindu peminat mereka di Malaysia dengan dua konsert pada bulan Ogos tahun yang sama.

2. Boyzone

boyzone bawa imej matang

Sama seperti Westlife, Boyzone juga berasal dari Ireland dan kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat, berikutan kerjasama keduanya semasa Westlife mahu menapak naik. Dibentuk oleh produser besar Louis Walsh yang mahu mempunyai sebuah boyband mirip kumpulan legenda Take That di dalam labelnya - sesi uji bakat diadakan yang diadakan menemukan mereka pada tahun 1993.

Bagaimanapun, nasib Boyzone untuk dikenali ramai mengambil masa yang panjang selepas gagal mendapat tawaran kontrak memaksa mereka melakukan persembahan di kelab-kelab, sebelum ditawarkan untuk menjadi artis rakaman pada tahun 1994. Nasib Boyzone mula berubah selepas berjaya melancarkan album pertama mereka seterusnya menjadi antara kumpulan boyband paling berjaya di UK.

Pada tahun 2000, Boyzone mengumumkan mereka akan mengambil keputusan untuk berhenti sementara sebelum kembali bergabung pada tahun 2008 namun kehilangan seorang anggota selepas diserang sakit jantung. Tiinggal berempat, Boyzone terus aktif serta meraikan ulang tahun mereka yang ke 25 bersama pada 2018 - sebelum mengumumkan Boyzone bakal dibubarkan secara muktamad.

3. NKOTB

nkotb kegilaan nostalgia

NKOTB atau New Kids on the Block menjadi antara kumpulan terawal yang digabungkan, selepas kejayaan produser Maurice Starr bersama kumpulan New Edition. Pada awalnya turut sama dianggotai aktor terkenal Hollywood, Mark Wahlberg malang bagi beliau - dia memilih untuk meninggalkan NKOTB semasa awal.

Ini kerana NKOTB mencipta demam di seluruh dunia pada tahun 1988, berikutan kegilaan anak gadis ketika itu yang benar-benar meminati mereka. Produk berasaskan mereka, poster, animasi dan bermacam lagi cara digunakan, bagi mengambil peluang fenomena yang mereka cetuskan. Malangnya, selepas cuba membawa imej lebih dewasa dan 'edgy', sambutan peminat terhadap karya mereka mula menurun. Mereka memilih untuk berpecah pada tahun 1994 membawa haluan masing-masing.

Hasil cetusan idea untuk menggabungkan NKOTB dengan sebuah lagi kumpulan iaitu Backstreet Boys pada tahun 2010 mendapat sambutan hangat. NKOTB kembali aktif walaupun sudah berusia 50-an. Peminat mereka pula kini bukan lagi anak-anak gadis, tetapi golongan wanita usia pertengahan yang masih lagi tergilakan mereka.

4. N'Sync

nsync kumpulan popular justin timberlake

Walaupun berasal dari Amerika Syarikat, N'Sync sebenarnya terlebih popular di Eropah, khasnya Jerman terlebih dahulu berikutan ditawarkan kontrak di negara tersebut melalui label rekod BMG Munich pada tahun 1996. Mereka menjadi terkenal selepas album pertama mereka berjaya mendahului carta muzik Eropah dan hanya berjaya memecah masuk pasaran negara mereka sendiri pada tahun 1998.

Bagaimanapun jualan album mereka agak mengecewakan. N'Sync bernasib baik selepas ditawarkan menggantikan kepada Backstreet Boys pada tahun 1998, dalam sebuah konsert melalui saluran Disney yang memperkenalkan mereka kepada orang ramai. Jualan album mereka mula melonjak dan nama N'Sync mula menjadi sebutan.

Tahun 2000, album kedua mereka menjuarai carta di seluruh dunia, dinobatkan sebagai album paling banyak terjual tahun tersebut. Selepas melancarkan album ketiga dan menamatkan siri konsert pada tahun 2002, N'Sync mengumumkan akan berehat sementara. Ini membuka ruang kepada Justin Timberlake bergerak sebagai artis solo dan pelakon yang sangat berjaya.

5. Backstreet Boys

bsb backstreet boys boyband

Backstreet Boys atau BSB bermula secara sendirian, menerusi beberapa orang rakan yang gemar menyanyi bersama-sama pada awal tahun 1990 sebelum Lou Perlman, seorang produser tempatan melakukan pencarian bakat bagi penubuhan sebuah kumpulan vokal. Hasilnya kumpulan itu yang telah pun sedia ada, terpilih dan mereka dinamakan sebagai 'Backstreet Boys' hasil nama sebuah pasar yang terletak di Orlando, Florida yang menjadi pusat aktiviti anak muda.

BSB cuba mendapatkan kontrak rakaman namun berdepan banyak kesukaran sehinggalah pada tahun 1994, membolehkan mereka merakamkan lagu pertama mereka pada awal tahun 1995. Mereka mula dikenali di Amerika Syarikat dan Eropah, meneruskan siri persembahan kecil-kecilan di sana sebelum berjaya menerbitkan album pertama pada tahun 1996.

Album itu melonjakkan nama mereka sebelum album kedua yang terbit setahun selepas yang pertama, menjulang BSB sebagai ikutan baru dunia muzik dengan lagu "As Long As You Love Me' ciptaan komposer handal Max Martin menghantui ramai peminat muzik.

Tidak pernah berpecah sehingga kini, BSB masih lagi mengeluarkan album dengan album terakhir mereka diterbitkan pada tahun 2019. Era boyband mungkin sudah berlalu dan kumpulan-kumpulan boyband tidak lagi dapat mengecapi apa yang pernah mereka capai sebelum ini, tetapi sekurang-kurangnya mereka tetap berjaya mewarnai era 90-an dan awal 2000 dengan sangat berkesan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)