gospel kitab sihir lama solomon

Salah satu kepercayaan berkenaan Nabi Sulaiman as. atau lebih dikenali penganut agama lain sebagai King Solomon, menyebut berkenaan keupayaan beliau dalam bidang sihir - sama ada sihir yang mempunyai keupayaan berbuat baik atau berbuat perkara keji.

Tidak dapat dinafikan, kisah-kisah berkaitan Nabi Sulaiman as. memang mempunyai unsur-unsur yang agak mistikal termasuklah daripada perspektif Islam sendiri. Kepercayaan Islam sendiri menyebut bahawa Nabi Sulaiman as. diberikan kuasa untuk memerintah kaum jin, mampu mengarahkan jin-jin membina bangunan dan perhiasan bagi kegunaan kerajaan beliau.

Oleh kerana itu, amat mudah sekali untuk Nabi Sulaiman as. dikaitkan dengan penggunaan sihir namun sudah diperjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat ke 102, yang menyebut bahawa tidak ada sebarang ilmu sihir digunakan Nabi Sulaiman as. semasa dia hidup.

Kompilasi 'ilmu sihir Solomon'

grimoire buku sihir lama

Pendapat yang secara jelas satu fitnah ini tetap dipegang penganut agama lain dan hasil daripada pendapat inilah, banyak usaha penerbitan fitnah berlaku dalam usaha untuk membuktikan Nabi Sulaiman as. adalah seorang pengamal ilmu sihir.

Walaupun ada banyak penerbitan kitab-kitab sihir yang dikaitkan dengan Nabi Sulaiman as. atau Solomon, secara amnya ada empat buku yang sering disebut sebagai 'kitab utama' ilmu sihir Nabi Sulaiman dan seringkali dikaitkan dengan Baginda, walaupun jelas tiada bukti yang mengaitkan Baginda sebagai penulis asal manuskrip-manuskrip ini.

Dikenali dengan nama 'grimoire' atau 'buku sihir', kitab-kitab ini terus disebarkan dan dinamakan sempena nama Baginda, sebagai usaha untuk membuktikan bahawa Nabi Sulaiman as. adalah seorang pengamal sihir yang sangat berkuasa.

Hygromanteia

tulisan jawi terjemahan lesser key of solomon

'Hygromanteia' atau Hygromancy of Solomon dan lebih dikenali sebagai 'The Magical Treatise of Solomon' merupakan sebuah kompilasi teks berkaitan ilmu sihir yang didakwa ditulis oleh Nabi Sulaiman, untuk diwarisi oleh anaknya yang bernama Rehoboam sebelum kematian Baginda.

Nabi Sulaiman dikatakan memberikan arahan kepada anaknya itu agar menyorokkan tulisan beliau itu di dalam pusaranya selepas dia meninggal dunia - sebelum ditemui oleh seorang individu dalam masyarakat Babylon yang 'diberikan petunjuk' untuk menemuinya dan menyimpannya, daripada tangan pihak yang keji.

Didakwa ditulis dalam bahasa Ibrani/Hebrew sebelum diterjemahkan ke bahasa Greek, - menjadi salah satu sumber rujukan terawal berkaitan ilmu-ilmu pemujaan dan mistik yang digunakan oleh Nabi Sulaiman as.

Versi bahasa Greek itu kekal digunakan sehinggalah seorang penterjemah Greek bernama Ioannis Marathakis menerbitkan versi bahasa Inggeris, dengan nama 'The Magical Treatise of Solomon.' 'Hygromanteia' dikatakan menjadi sumber rujukan utama kepada dua buah lagi penerbitan berkait yang turut disentuhkan dalam artikel ini.

Clavicula Salomonis/Clavicula Salomonis Regis

ars goetia syaitan sihir

Selain nama Latinnya, dua manuskrip ini kerap kali dirujuk sebagai 'Key of Solomon' dan 'Lesser Key of Solomon', merupakan kompilasi ilmu-ilmu sihir yang didakwa diamalkan Nabi Sulaiman sendiri, tetapi kajian menunjukkan bahawa buku 'Key of Solomon' sebenarnya ditulis sekitar abad ke 16 dan 'Lesser Key of Solomon' pula sekitar abad ke 17, dengan beberapa penambahan berlaku.

Dua versi ini agak berbeza isi kandungannya, dengan 'Key of Solomon' merangkumi kaedah-kaedah eksperimen mistik yang boleh dilakukan manusia - semuanya dibahagikan kepada dua jilid berbeza. Jilid pertama mengandungi ilmu menyeru roh dan semangat ghaib serta cara mengawal semangat itu. Jilid kedua pula mengandungi amalan yang perlu diamalkan dalam melindungi diri daripada roh-roh jahat.

'Lesser Key of Solomon' pula merupakan koleksi lima jilid yang berbeza, dinamakan sebagai Ars Goetia, Ars Theurgia, Ars Paulina, Ars Almadel dan Ars Notoria.

Di antara kelima-lima jilid ini, Ars Goetia merupakan jilid yang paling kerap menjadi rujukan - berikutan kandungannya menceritakan tentang sistem hirarki makhluk ghaib syaitan, berdasarkan kepada pangkat dan kedudukan syaitan itu. Merangkumi 72 nama syaitan, nama yang terkandung dalam jilid ini serta penerangannya kerap kali menjadi asas kepada watak-watak makhluk ghaib bersifat jahat, seringkali dipaparkan dalam media kita.

Grand Grimoire

red dragon buku sihir

Mempunyai banyak nama tetapi sangat dikenali dengan nama Grand Grimoire, manuskrip ini turut sama dikenali dengan nama 'Le' Dragon Rouge' atau 'The Red Dragon', berikutan muka depannya yang memaparkan seekor makhluk mirip naga berwarna merah.

Banyak pengkaji percaya Grand Grimoire sebenarnya ditulis agak lambat, sekitar abad ke 18 atau 19 walaupun ada pihak menyifatkan buku itu telahpun wujud lebih awal daripada itu. Ini kerana banyak isi kandungan dalam 'Grand Grimoire' merupakan cedokan daripada Clavicula Salomonis dan adiknya, Clavicula Salomonis Regis.

Pihak yang percaya dengan kebenaran buku ini mengakui bahawa sihir yang ada di dalam buku ini, sebenarnya ditulis oleh seorang lelaki bernama Honorius semasa dirasuk oleh jin atau syaitan. Namun, tidak ada bukti menyokong dakwaan ini.

Didakwa ditemui sekitar tahun 1520 atau 1750 (banyak percanggahan) di sekitar pusara Nabi Sulaiman as., manuskrip ini sangat popular kerana menjadi satu-satunya manuskrip yang mengajarkan manusia cara menyeru syaitan serta bagaimana hendak menundukkannya - supaya syaitan boleh berkhidmat untuk manusia.

Versi yang dijual ketika ini dikatakan bukan versi sebenar dengan hanya pihak Vatican City sahaja menyimpan versi asal buku ini. Bagi kami, terlalu banyak hiperbola dikaitkan dengan 'Grand Grimoire,' mungkin untuk menutup lompong-lompong asal-usulnya serta mahu membuatkan orang ramai mudah berasa takjub dengannya.

Rujukan

Lemegeton Clavicula Salomonis

Ars Goetia (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)