Biasanya kita selalu dengar bahawa terdapat banyak keburukan bermain permainan video terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan remaja. Antara kes yang pernah berlaku adalah bunuh diri, bunuh rakan kerana balas dendam, mati kerana bermain permainan video dalam tempoh yang lama tanpa henti dan lain-lain lagi.

Ketahuilah semua kes tersebut adalah disebabkan kerana ketagihan terhadap permainan video. Permainan video jika dikawal, sebenarnya boleh memberikan beberapa kebaikan kepada manusia. Berikut adalah antara beberapa kajian sains yang membuktikan permainan video juga mempunyai kesan positif ke atas manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Meningkatkan Mood Gembira dan Mengurangkan Sifat Hiperaktif Kanak-Kanak

Siapa yang tidak gembira apabila bermain permainan video? Dalam kajian yang dilakukan oleh Dr. Andrew Przybylski terhadap 5000 kanak-kanak mendapati mereka yang bermain permainan video sekurang-kurangnya selama satu jam didapati lebih gembira, kurang hiperaktif dan lebih bermudah bergaul dengan orang disekeliling jika dibandingkan dengan mereka yang lansung tidak bermain permainan video.

Hasil kajian itu juga menunjukkan bahawa bermain permainan video bukanlah faktor utama yang mendorong seseorang itu berlakuan negatif, sebaliknya faktor lain seperti faktor orang sekeliling dan faktor keluarga juga mempunyai impak yang besar terhadap kelakuan kanak-kanak. Selain itu, bermain permainan video juga dapat mengurangkan perangai hiperaktif kanak-kanak kerana ianya membantu kanak-kanak lebih fokus dan menggunakan tenaga lebihan mereka itu untuk bermain permainan video.

2. Lebih Cepat Berfikir dan Membuat Keputusan

game pada smartphone

Setiap permainan video biasanya akan memerlukan pemain untuk membuat keputusan, seterusnya melatih mereka lebih cekap dan cepat membuat keputusan. Hal ini ada kaitannya dengan neuron yang terdapat pada otak manusia. Sekumpulan pengkaji dari University of Rochester yang diketuai oleh Professor Daphne Bavelier telah menjalankan satu kajian untuk mengkaji adaptasi sistem neuron kepada beberapa jenis permainan video. 

Responden kajian ini yang berumur 18 – 25 tahun telah diminta untuk bermain permainan video selama 50 jam. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan bergantung kepada jenis permainan. Daripada kajian ini, didapati peserta yang bermainan permainan video aksi seperti ‘Call of Duty’ dan ‘Unreal Tournament’ berkeupayaan membuat keputusan 25% lebih pantas berbanding kumpulan yang diminta bermain permainan video yang berentak lebih perlahan seperti ‘The Sims 2’.

3. Mengurangkan Keinginan Terhadap Makanan, Dadah dan Seks

permainan tetris

Kebanyakan keinginan kita terhadap makanan, dadah ataupun seks adalah kerana faktor psikologi dan nafsu yang selalunya berpunca daripada otak. Untuk mengelakkan keinginan terhadap makanan (bukan disebabkan lapar), dadah atau ketagihan terhadap seks adalah dengan mengalihkan perhatian kita daripada keinginan tersebut, salah satunya dengan permainan video.

Satu kumpulan ahli psikologi daripada Plymouth University dan Queensland University of Technology telah menjalankan kajian terhadap 31 orang pelajar. Responden telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan dimana sesetengah kumpulan dikehendaki bermain permainan video Tetris. Setiap responden kemudiannya diminta melaporkan tahap keinginan mereka kepada 3 perkara, makanan, dadah dan seks. Kumpulan responden yang bermain Tetris didapati mempunyai kurang keinginan terhadap perkara-perkara tersebut.

4. Terapi Yang Lebih Berkesan Merawat Depresi Berbanding Kaunseling

kurangkan depresi dengan video games

Alasan biasa yang diberikan anak-anak untuk bermain permainan video adalah untuk keseronokan ataupun melepaskan stress. Sejauh manakah keberkesanan permainan video dalam mengurangkan tahap depresi ini? Adakah kajian yang menyokong pendapat ini? 

Satu kajian yang dijalankan terhadap 168 orang remaja menyokong pendapat ini. Dalam kajian ini, separuh daripada responden diminta bermain permainan SPRAX manakala sebahagian yang lain perlu menjalani rawatan konvensional, iaitu melalui kaunseling. Didapati mereka yang bermainan permainan video tersebut lebih cepat pulih dimana 44% daripadanya didapati telah pulih sepenuhnya berbanding hanya 26% daripada mereka yang mengikuti rawatan kaunseling.

Beberapa kajian yang dinyatakan di atas adalah antara sebahagian daripada kajian yang pernah dilakukan untuk mengetahui kesan-kesan permainan video kepada kanak-kanak. Apa yang boleh difahami adalah permainan video juga mampu memberi kesan positif kepada manusia. Walau bagaimanapun, tetapkan masa untuknya agar tidak sampai ketagih.

Kredit:

  1. Medical Express
  2. Vocativ
  3. Time.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)