Oleh pada 06 Mar 2018 kategori

ketahui hak anda sebagai penumpang kapal terbang

Pernah tak anda ditipu secara halus mengenai harga tiket kapal terbang? Atau penerbangan anda ditunda pada saat-saat akhir dan terpaksa menunggu berjam-jam di lapangan terbang? 

Sebagai pengguna, kita mempunyai hak-hak yang tertentu dan untuk menuntut jika berlaku keadaan yang tidak diingini, anda perlulah mengetahui terlebih dahulu apa hak-hak tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com ingin berkongsi 4 hak dan peraturan penerbangan yang anda perlu tahu sebagai penumpang.

Penambahan automatik

penambahan automatik ketika beli tiket kapal terbang

Bagi setiap sen yang dibelanjakan untuk membeli tiket, anda tahu apa yang anda perolehi. Dan sebagai pengguna, anda mempunyai hak untuk membayar hanya apa yang anda pohon atau persetujui.

Dengan kata lain, syarikat penerbangan tidak dibenarkan dengan secara lick menambah apa-apa tawaran atau perkhidmatan ke dalam harga tiket, tanpa pengetahuan pelanggan. 

Contoh perkhidmatan adalah pilihan tempat duduk, penambahan bagasi, makanan dan minuman serta insurans perjalanan.

Pemberitahuan jelas perlulah dibuat oleh syarikat penerbangan mengenai tawaran dan bagi setiap pertambahan harga, dari mula proses tempahan. Pelanggan juga mempunyai hak untuk menambah sebarang perkhidmatan atau tidak.

Hubungi syarikat penerbangan tersebut atau MAVCOM dengan segera jika apa-apa perkhidmatan tanpa persetujuan anda ditambahkan ke dalam harga tiket.

Kenaikan harga selepas pembelian

Tidak dibenarkan sama sekali bagi syarikat penerbangan untuk menaikkan harga ke atas tiket yang telah dibayar. Hanya satu sahaja pengecualian yang dibenarkan iaitu apa-apa cukai atau bayaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan, atau fi yang dikenakan oleh Suruhanjaya.

Penundaan dan Pembatalan Penerbangan

apa perlu buat jika penerbangan ditangguhkan

Sesuatu yang sangat penting namun ramai yang tidak mengetahui akan hak ini. Besar kemungkinan syarikat penerbangan yang anda pilih perlu memberikan pampasan dalam bentuk tertentu bagi membantu anda meneruskan perjalanan, jika berlaku penundaan atau pembatalan penerbangan.

Pampasan yang mungkin diterima bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Penangguhan 2 jam atau lebih - pampasan seperti makanan, panggilan telefon dan akses internet
  2. Penangguhan 5 jam atau lebih - penginapan hotel dan pengangkutan
  3. Penerbangan dibatalkan - penerbangan alternatif atau pembayaran balik wang secara penuh

Namun, syarikat penerbangan dikecualikan daripada membayar pampasan, jika penangguhan atau pembatalan berlaku akibat sesuatu yang luar biasa yang mana tidak dapat dijangka, termasuk risiko keselamatan atau cuaca buruk yang ekstrem.

penerbangan ditangguhkan

Aduan rasmi boleh dibuat kepada syarikat penerbangan tersebut jika pampasan yang diberikan dirasakan tidak wajar. Jika tidak berhasil, anda boleh menghubungi MAVCOM.

Situasi : Bart menempah dua penerbangan berasingan. Pertama dari Kuala Lumpur ke Dubai daripada Syarikat A, dan keduanya dari Dubai ke London daripada Syarikat B. Penerbangan Syarikat A mengalami gangguan dan ditunda selama 10 jam, menyebabkan Bart terlepas penerbangan daripada Syarikat B.

Adakah pampasan harus diberikan kepada Bart oleh Syarikaat B disebabkan penundaan Syarikat A?

Jawapan : Syarikat A hanya perlu bertanggungjawab ke atas penundaan penerbangan mereka dimana pampasan nombor 1 dan 2 harus diberikan. Disebabkan penerbangan kedua ditempah daripada Syarikat B, maka Syarikat A tidak bertanggungjawab ke atas situasi tersebut kerana tidak berkaitan.

Dan Bart juga tidak boleh meminta pampasan daripada Syarikat B kerana kegagalan mengikuti pesawat Syarikat B adalah kecuaian sendiri.

Kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi

ketahui hak anda jika bagasi lewat atau hilang

Selepas mendarat, penumpang pasti akan menunggu untuk mengambil bagasi. Penumpang berhak mendapat pampasan bagi sebarang kesulitan yang dialami jika :

  1. Beg tidak sampai dengan penerbangan anda
  2. Beg yang hilang atau rosak semasa penerbangan

Aduan bertulis harus dikemukakan kepada syarikat penerbangan pada :

  1. Semasa ketibaan atau dalam masa 7 hari dari tarikh ketibaan jika beg rosak; atau
  2. Semasa ketibaan atau dalam masa 21 hari dari tarikh ketibaan jika beg terlewat sampai

Bagi mengesahkan tuntuan, resit atau bukti nilai barangan dalam bagasi anda haruslah disimpan. Pembelian barangan keperluan asas yang dibeli selama tempoh bagasi lewat sampai harus disimpan untuk penilaian syarikat penerbangan. Tuntutan yang dibuat juga haruslah munasabah dengan tahap kerugian atau tempoh kelewatan.

Pampasan disebabkan kerosakan bagasi akibat haus dan lusuh seperti calar kecil atau potongan tidak akan dipertanggungjawabkan ke atas syarikat penerbangan. Anda sendiri perlu memastikan beg anda dibalut atau diberikan perlindungan yang sepatutnya.

Hubungi MAVCOM dan hantarkan salinan aduan bertulis, bersama maklum balas syarikat penerbangan jika pampasan yang tidak adil diterima.




Hakcipta iluminasi.com (2017)