Oleh pada 15 May 2017 kategori

Pernah tak anda dengar ungkapan peribahasa melayu iaitu  "pucuk dicita ulam mendatang" ? Maksudnya adalah anda memperolehi sesuatu melebihi daripada apa yang dikehendaki.

Dari zaman dahulu lagi telah disebut tentang ulam-ulaman ini. Ulam merupakan sejenis sayur-sayuran  yang boleh dimakan secara mentah,dicelur,direbus dan juga terdapat pelbagai variasi masakan menggunakan ulam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ulam diambil dari pelbagai bahagian sesuatu pokok yang boleh dimakan. Antaranya termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan bunga. Biasanya ulam-ulaman ini dicicah dengan sambal belacan, air asam, budu atau cencaluk dan dimakan bersama nasi panas sebagai pembuka selera. Selain itu juga, ulam-ulaman ini  boleh dijadikan sebagai bahan dalam penyediaan masakan zaman berzaman iaitu nasi ulam dan nasi kerabu.

Memakan ulam-ulaman merupakan suatu amalan yang baik, selain daripada pembuka selera makan, ulam-ulaman amat digalakkan kerana ia mempunyai khasiat yang bernilai dari segi kebaikan, kesihatan dan juga awet muda. Khasiat yang terkandung pada ulam-ulaman dapat dikekalkan tanpa mengalami kehilangan zat disebabkan oleh proses memasak yang dikenakan haba. 

Di Malaysia terdapat lebih kurang 120 jenis tumbuhan dikenal pasti boleh dimakan sebagai ulam iaitu yang terdiri daripada tumbuhan kecil dan melata jenis semusim seperti pegaga,kacang sirih sehingga  pokok-pokok renek seperti putat, mengkudu dan pokok- pokok besar jenis saka seperti petai, jering dan kerdas. 

Kebaikan Petai

petai yang sudah diproses

Petai adalah tumbuhan jenis saka atau nama saintifiknya dikenali sebagai Parkia Speciosa yang tumbuh didalam hutan atau ditanam secara komersial. Buah petai telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk membantu merawat tekanan darah tinggi dan kencing manis . Petai juga tidak boleh dimakan terlalu banyak kerana ia menyebabkan angin didalam badan kerana proses penghadaman yang lambat.

Petai kaya dengan sumber-sumber mineral yang amat tinggi seperti kalsium, fosforus, zat besi dan kalium. Petai merupakan antara ulam yang berkhasiat kerana mempunyai jumlah serat yang tinggi dan kaya dengan Vitamin A, B1, B2, B3, C dan E. Petai memang sedap apabila dimasak bersama sambal udang dan direbus atau dibakar makan bersama sambal belacan.

sambal tumis udang petai

Kesan yang berlaku setelah makan petai adalah terdapat bau yang busuk pada urin. Ia telah lama menjadi misteri dan ramai yang bertanya kenapa ia menghasilkan bau yang busuk. Beberapa kajian menyatakan bahawa terdapat sebatian pada biji petai yang mengandungi sulfur yang menghasilkan bau busuk tersebut. 

Kelebihan Jering

jering

Jering atau nama saintifiknya Archidendron Pauciflorum merupakan tumbuhan yang berasal dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan beberapa kawasan Asia. Jering merupakan sejenis ulam-ulaman yang kurang mendapat sambutan kerana baunya yang tidak begitu menyenangkan dan baunya lebih kuat berbanding petai.

Buah jering mengandungi sumber-sumber galian seperti protein, lemak, karbohidrat, kalsium, fosforus, zat besi, dan vitamin A, B, dan C. Ia juga mengandungi sejenis sebatian alkoloid yang boleh memberi rangsangan membuang air besar. Tetapi biji jering juga mengandungi bahan toksid yang dikenali sebagai asid jenkolik.

Sekiranya kita memakan terlalu banyak ia boleh menyebabkan kemudaratan pada kesihatan. Ini disebabkan oleh asid jenkolik iaitu sejenis bahan toksik yang banyak terkumpul dalam badan akan membentuk hablur dalam ginjal dan akhirnya boleh menyebabkan saluran pada pundi kencing tersumbat.

Jering boleh menjadi penawar yang berkesan untuk membantu merawat pesakit diabetis kerana kandungan sebatian alkoloid mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.  

sambal jering amie s little kitchen

Jering sesuai direbus serta dimakan bersama sambal belacan atau di masak jering masak lemak, sambal jering ikan bilis dan beraneka jenis lagi. Walaupon berbau agak busuk tetapi ia mempunyai rasa yang enak dan berkhasiat untuk anda.

Manfaat Kerdas

kerdas kredit gambar siti fatimah abdullah

Kerdas atau nama lain yang lebih dikenali sebagai Genuak merupakan sejenis ulam-ulaman yang mempunyai nama saintifiknya iaitu Archidendron Bubalinum. Pokok kerdas merupakan pokok besar rendang yang tumbuh meliardidalam hutan dan boleh mencapai ketinggian sehingga 25 meter. Ia tumbuh subur di kawasan tropika terutama di Asia Tenggara dan dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia.

Kerdas sering dijadikan sebagai ulam pembuka selera makan namun baunya agak kuat hingga melekat pada bau nafas selepas memakan ulam ini menyebabkan sesetengah orang tidak mengemarinya. Kerdas boleh bertahan lama jika disimpan bersama kulitnya. Kerdas juga boleh dijadikan masakan seperti sambal kering dan juga masak lemak.

sambal kerdas resepi kak nor

Disebalik baunya yang busuk seperti petai dan jering, buah kerdas ini mengandungi banyak khasiat dalam membantu menjaga kesihatan diri. Antara khasiat buah kerdas adalah mengandungi zat galian seperti protin, kabohidrat, lemak dan pelbagai zat galian seperti Fe, P dan Ca. Ia juga kaya dengan vitamin A,B dan C 

Kerdas dikatakan mampu membantu membersihkan buah pinggang, melawaskan kencing serta menghindar dari penyakit kencing manis. Selain dari itu buah kerdas juga dikatakan dapat membantu meneutralkan kandungan gula dalam darah serta mampu membantu dalam mengawal darah tinggi dan juga dikatakan awet muda. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)