Oleh pada 31 Aug 2018 kategori

Di Malaysia, lambakan ubat kurus dan pil melangsingkan badan semakin menular lewat kebelakangan ini. Kata orang, di mana ada permintaan, di situlah adanya penawaran.

Ketaksuban sesetengah pengguna untuk mendapatkan bentuk badan idaman adakalanya hingga sanggup mengabaikan risiko kesihatan. Mereka tidak endahkan ketiadaan kelulusan pihak kementerian dan juga tidak hiraukan kandungan yang terdapat dalam ubatan yang diambil. Natijahnya, ramai pesakit yang terlantar di hospital akibat kerosakan buah pinggang dan sebagainya.

teknik menguruskan badan secara ekstrem diet

Keinginan untuk berbadan langsing persis seorang model bukanlah suatu perkara yang baru dan ia bukanlah masalah yang melanda masyarakat kita sahaja. Sejak dari dahulu lagi manusia sudah disogokkan dengan pemikiran standard bahawa 'kurus itu cantik'. Disebabkan tidak ingin menjaga pemakanan sihat dan kurang bersenam, pelbagai cara yang manusia sudah lakukan untuk kurus.

Kami kongsikan 10 cara ekstrem yang pernah digunakan untuk mengurangkan berat badan:

10. Memakan cacing pita

Zaman Victoria, iaitu sekitar tahun 1830-an hingga 1900, merupakan zaman yang sangat mementingkan standard kecantikan. Wanita bangsawan ketika itu sering mengenakan skirt berlapis berbentuk sarang lebah.

Para wanita pada zaman itu memaksa diri mereka memakai korset yang ketat untuk mendapatkan pinggang yang diidamkan ramai iaitu bersaiz 16 inci. Mereka tidak kisah jika organ dalaman mengalami masalah akibat pinggang dijerut korset. Selain itu, mereka juga mengamalkan sejenis 'diet' dengan memakan cacing pita.

diet pil cacing pita menguruskan badan secara ekstrem

Konsepnya amat 'mudah'. Mereka hanya memakan pil yang berisi telur cacing pita. Selepas telur itu ditetas, parasit itu akan membesar dan tinggal dalam badan hos dengan memakan apa sahaja yang hos makan. Mereka yang percaya dengan teori ini dikatakan boleh mengurangkan berat badan tanpa risau akan pengambilan kalori.

Walaupun tiada bukti yang menyokong dakwaan ini, namun teori ini masih wujud sehingga ke hari ini dengan sokongan daripada selebriti seperti Kim Kardashian. 

9. Makan cuka untuk kekal kurus

Lord Byron merupakan seorang penyair dan ahli politik British yang terkenal sekitar tahun 1800. Ketika zaman kegemilangannya, Lord Byron sangat pentingkan penampilan dan bentuk badannya. Dia mengamalkan diet berasaskan cuka untuk mengekalkan berat badan.

lord byron makan cuka untuk kekal langsing

Walaupun diet ini mempunyai kesan sampingan seperti muntah dan cirit-birit, Byron tetap meminum cuka setiap hari dan memakan ubi kentang yang direndam dalam cecair tajam itu. Menurut Byron, amalan itu dapat mencuci bahagian dalaman tubuh.

Tabiat Byron itu kemudian diketahui umum dan mula menjadi ikutan para wanita. Mereka memulakan diet berasaskan cuka dan beras untuk meniru jejak langkah idola mereka sehingga sanggup kelihatan kurus dan pucat.

8. Meracun diri sendiri dengan arsenik 

Ini mungkin pelopor kepada 'pil ajaib' yang sering diiklankan untuk mengurangkan berat badan. Pada abad ke-19, industri ubat kurus sangat pesat dan disebabkan tiada badan berkanun seperti FDA, peniaga menggunakan pelbagai ramuan berbahaya termasuklah arsenik. Untuk pengetahuan anda, arsenik adalah racun membunuh tikus yang mampu membunuh manusia jika diambil secara berlebihan.

magic pill mengandungi arsenik teknik menguruskan badan cepat

Banyak kajian yang telah mengaitkan kesan terdedah dan penggunaan arsenik dengan penyakit kanser, diabetes, penyakit hati dan sebagainya. Namun, tidak dipastikan mengapa pengamal diet masih percaya bahan ini boleh membantu mereka mengurangkan berat badan. Beberapa pakar berkata ia mungkin kesan strategi pemasaran yang menyatakan arsenik mampu mempercepatkan metabolisme seperti amphetamina.

Walaupun kandungan arsenik dalam dadah dan pil kurus ini agak kecil, namun ia sangat berbahaya untuk pengguna, terutama sekali mereka yang gemar mengambil dos berlebihan kerana terlalu ingin cepat kurus.

7. Kunyah dan ludah makanan

Pada awal abad ke-20, Horace Fletcher muncul dengan satu program baru untuk menurunkan berat badan. Dia menekankan bahawa aktiviti kunyah dan ludah adalah paling berkesan untuk mengurangkan berat badan.

horace fletcher diet fletcherism teknik menguruskan badan ekstrem

Program ini dikenali sebagai "Fletcherism" di mana seorang pengamal diet perlu mengunyah makanan sehingga segala "kebaikan" dalam makanan dirembeskan. Kemudian sisa/hampas makanan diludah semula untuk dibuang. Makanan seperti bawang kecil dilaporkan perlu dikunyah lebih 700 kali dan jamuan makan malam pada zaman itu menyaksikan para hadirin mengira bilangan kunyahan sesama sendiri.

Fletcherism menjadi sangat popular sehingga penulis terkemuka seperti Henry James dan Franz Kafka turut memberikan sokongan. Namun, diet ini membuatkan seseorang hanya membuang air sekali sahaja dalam masa beberapa minggu. Fletcher menegaskan itu adalah kesan yang positif dan mengatakan najisnya berbau harum seperti "biskut yang panas".

6. Membasmi obesiti menggunakan sabun

Jika anda rasa iklan penjual zaman kini banyak yang menipu dan melampau, bayangkanlah ada pengusaha sabun yang mendakwa produk mereka boleh membuang lemak. Pada tahun 1920, jenama sabun La-Mar telah mengeluarkan satu iklan di akhbar dengan menyatakan produk itu mampu "mencuci lemak dan membuatkan anda nampak lebih muda." Material iklan itu membuat pelbagai dakwaan dengan menjanjikan pengguna tidak perlu bersenam atau berdiet untuk kurus.

sabun la mar menguruskan badan

Banyak sebenarnya produk 'overclaim' seperti La-Mar yang wujud pada hari ini. Namun, La-Mar lebih hebat dengan janji yang tidak mampu dibuat orang lain. Antaranya ialah sabun bertindak menghilangkan dagu berlapis, kesan penggunaan yang pantas dan menakjubkan serta mengecilkan bahagian tubuh yang diingini tanpa memberi kesan pada bahagian yang lain.

Ketika itu La-Mar tidak bersendirian. Satu lagi jenama lain iaitu La Parle wujud di Amerika Syarikat dengan janji manis yang sama.

5. Diet Breatharian

Mungkin diet yang paling teruk dalam senarai ini bukan hanya 'diet' semata-mata, malah ia dianggap sebagai falsafah hidup dan juga gerakan kerohanian. Penyokong diet ini percaya yang kita semua hanya memerlukan satu perkara sahaja untuk hidup iaitu cahaya matahari.

Pengamal diet "breatharianism" ini mendakwa bahawa manusia yang menunjukkan kesucian spiritual mampu hidup hanya dengan air, cahaya matahari dan kuasa kehidupan (Prana). Walaupun ia seolah-olah dongeng purba, diet ini masih dipraktikkan di Amerika Syarikat.

jasmuheen breatharian diet teknik menguruskan badan cepat

Ketua gerakan di AS, Wiley Brookes dan pengasasnya, Jasmuheen (nama sebenar Ellen Greve) telah mengetuai perkembangan dan populariti kepercayaan ini. Jasmuheen mendakwa dia boleh hidup seperti biasa selama beberapa bulan dengan hanya meminum secawan teh dalam tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam satu wawancara dengan rancangan 60 Minutes di mana Jasmuheen bersetuju untuk tinggal dalam sebuah bilik hotel dan menunjukkan kebolehannya, dia nyata tidak mampu bertahan walau sehari tanpa tanda-tanda penyahhidratan.

Pelakon terkenal Michelle Pfeiffer mengaku pernah menyertai gerakan itu semasa pembabitan awal kerjayanya di Hollywood. Dia menggelar kumpulan itu sebuah kultus dengan pengikut yang gemar mengongkong dan suka memanipulasi.

4. Korset getah

Satu iklan mempromosikan pakaian dalam yang diperbuat daripada getah menjanjikan produk-produk itu mampu mengurangkan isi tubuh badan tanpa senaman atau diet.

pakaian getah teknik diet ekstrem menguruskan badan

Antara produk itu adalah korset, pendakap leher dan pendakap buku lali. Dikatakan perpeluhan yang terhasil daripada pemakaian alatan getah itu boleh mengurangkan berat badan pengguna.

Apa yang melucukan, pengasasnya adalah seorang 'doktor' bernama Dr. Jeanne B. Walter. Kadang-kadang namanya berubah menjadi Dr. Jeanne PH Walter, Dr. Jeanne J. Walter atau Dr. Jeanne P.C. Walter. Mengelirukan?

3. Spot Reducer

Seperti sabun La-Mar, produk Spot Reducer juga dipromosikan sebagai alat yang mampu mengurangkan inci di bahagian-bahagian tertentu tubuh pengguna. Ia merupakan sebuah gajet yang dihasilkan menggunakan aluminium dan getah, berfungsi seperti sebuah alat penggetar dengan kuasa elektrik.

spot reducer menguruskan badan menggunakan gajet urut elektrik

Jika ada bahagian tubuh yang lembik dan menggelebeh, Spot Reducer akan 'memadamnya seperti kuasa ajaib'. Seperti iklan-iklan yang lain, pengguna tidak perlu bersenam ataupun berdiet kerana semua kerja keras dilakukan oleh Spot Reducer.

Amat menyedihkan apabila ramai orang yang mempercayai iklan itu. Lagi menyedihkan apabila ramai yang masih mempercayai iklan-iklan seumpamanya sehingga kini.

2. Diet tampalan lidah

Teknik ini mungkin agak mengerikan namun ramai yang rela menjadi bahan eksperimen. Diet tampalan lidah ini bermakna doktor akan menjahit sekeping tampalan jaring ke lidah pesakit. Kemudian, pesakit akan berasa susah untuk menelan dan makan kerana ia menyebabkan kesakitan.

diet tampalan lidah teknik diet menguruskan badan

Seorang pakar bedah kosmetik di California mengenakan caj sehingga USD2,000 untuk melakukan prosedur ini dan menjanjikan pengurangan berat badan antara 8-9kg dalam masa 30 hari. Selain di Amerika Syarikat, ujian tampalan lidah ini juga amat popular di Venezuela.

Pesakit juga diberikan sejenis cecair diet dan minuman shake bernilai 800 kalori setiap hari sehingga tampalan itu tertanggal.

1. Prolinn diet

Prolinn merupakan produk yang diasaskan oleh Robert Linn pada tahun 1970. Minuman 'istimewa' yang dihasilkan dikhabarkan mengandungi "400 kalori protein cecair".

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan "protein" yang digembar-gemburkan itu mula dipersoalkan. Selepas siasatan dilakukan, akhirnya pihak berkuasa mendedahkan yang "protein" itu adalah lebihan bahan buangan dari rumah sembelihan seperti tanduk haiwan yang dihancurkan, tapak kaki, kulit, tendon dan juga tulang.

diet prolinn teknik menguruskan badan menempah maut

Linn kemudian menambahkan perisa tiruan, enzim dan pewarna untuk membuatkan minuman itu kelihatan lebih menarik. Hasilnya, jutaan pengguna telah membeli minuman 'istimewa' ini. Dilaporkan hampir 4 juta pengguna telah membeli minuman diet Prolinn untuk mengurangkan berat badan dan disahkan seramai 58 orang mati akibat sakit jantung selepas mengamalkannya.

Janganlah mensia-siakan hidup anda semata-mata untuk cepat kurus. Amalkanlah gaya hidup sihat dengan kerap bersenam dan menjaga pemakanan.


tags : , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)