Seperti kita sedia maklum, surat perletakan jawatan merupakan notis pemberitahuan berhenti kerja kepada majikan. Walaupun bunyinya agak mudah, namun ia juga merupakan salah satu perkara yang sukar dikarang dan amat berat untuk diserahkan. Sesiapa yang ingin berhenti kerja mungkin perlu melalui saat getir dan tidak begitu selesa ini.
Adapun begitu, wujud segelintir golongan yang berjaya menamatkan kerjaya dengan surat perletakan jawatan yang sentiasa menjadi bualan dan ingatan walaupun mereka telah tiada. Kami kongsikan bersama anda 10 surat perletakan jawatan paling terkenal sepanjang masa:
10. James Whittaker – Google
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu surat perletakan jawatan dalam dunia teknologi yang terkenal datang daripada James Whittaker. Whittaker 'menyerahkan' surat perletakan jawatannya di Internet untuk tontonan umum dan menjadi tular. Dia menyatakan bahawa Google yang dikenali dahulu kini sudah berubah dan terlalu taksub dengan menjual ruang pengiklanan dan tidak melihat gambaran yang lebih besar.
Menurutnya lagi, keinginan Google untuk menjadi ruang iklan paling terkenal membuatkan kebanyakan perkara yang dilakukan mereka hanyalah untuk menarik pelabur dan tidak lagi memberi inspirasi kepada pengguna. Dia juga menyelar sikap CEO Google iaitu Larry Page yang obses menyaingi Facebook dan membawa kepada laman sosial mereka sendiri yang dikatakan gagal iaitu Google+. Whittaker menambah lagi bahawa kegagalan itu adalah disebabkan organisasi itu sudah hilang fokus. (sumber)
9. Richard Peppiatt – Daily Star
Ini pula kisah perletakan jawatan seorang jurnalis yang bernama Richard Peppiatt. Surat terbuka yang ditujukan kepada pemilik akhbar Daily Star iaitu Richard Desmond menerangkan bahawa dia berasa malu bekerja dengan akhbar yang menyebarkan kebencian terhadap masyarakat Muslim serta menyokong organisasi anti-Islam seperti English Defence League.
Akhbar Daily Star dilaporkan menerbitkan beberapa cerita yang menyerang atau mempersendakan umat Islam dan telah menyebarkan dakyah takutkan Islam di kalangan pembaca. Peppiatt yang sudah tidak tahan lagi memastikan seluruh dunia mengetahui kebenaran dan menjalankan tugas seorang wartawan dengan jujur. (sumber)
8. Steve Jobs – Apple
Steve Jobs bersara dari Apple pada Ogos 2011, hanya beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia. Surat perletakan jawatannya menjadi contoh bagaimana ingin berhenti kerja dengan rasa bangga dan penuh bermaruah. Di dalam suratnya, Jobs menulis bahawa beliau percaya bahawa Apple telah mendahului masa dengan ciptaan yang bijak lagi inovatif. Jobs juga menulis:
“Saya sentiasa berkata, jika tiba hari di mana saya tidak lagi mampu untuk menjalankan tugas saya sebagai CEO Apple, sayalah orang pertama yang akan memberitahu kepada kamu semua. Malangnya, hari yang dimaksudkan itu telah tiba.”
Bayangkan anda membaca ayat ini yang ditulis oleh seseorang yang seolah-olah sudah tahu pengakhiran hidupnya. Naik bulu roma membacanya. (sumber)
7. Andrew Mason – Groupon
Andrew Mason iaitu CEO Groupon telah mengumumkan perletakan jawatannya kepada orang ramai. Dia menulis surat perletakan jawatan dan menyatakan bahawa:
“Setelah empat setengah tahun bertugas sebagai CEO Groupon, saya membuat keputusan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga saya. Saya cuma bergurau, sebenarnya saya dipecat hari ini. Jika kamu ingin tahu mengapa, segala kelemahan dan kerugian sehingga tidak menepati jangkaan serta harga saham yang tidak menentu, sayalah yang patut dipertanggungjawabkan.”
Beliau yang merupakan pengasas Groupon telah disingkirkan dari jawatan CEO pada 28 Februari 2013, sehari selepas syarikat itu gagal dalam menganalisis keuntungan syarikat. Sebelum itu pada tahun 2012, Mason telah digelar “Worst CEO of the Year”. Walaupun pencapaiannya kurang memuaskan, namun surat perletakan jawatan daripada seorang CEO Groupon ini mencerminkan beliau seorang yang senang untuk bekerja dengan sesiapapun. (sumber)
6. Greg Smith – Goldman Sachs
Salah satu cara bergaya untuk berhenti kerja ialah dengan menulis surat perletakan jawatan anda kepada akhbar. Greg Smith memilih untuk melakukannya dan tajuk akhbar ketika itu ialah “Mengapa Saya Meninggalkan Goldman Sachs”. Di dalam artikel tersebut, Smith menulis bagaimana cara bekerja di situ merupakan sesuatu yang begitu toksik dan membinasakan seseorang. Dia juga mendedahkan pegawai-pegawai atasan yang selalu melabel pelanggan mereka dengan panggilan “Muppets” (panggilan yang menghina di UK).
Akan tetapi, serangan mana-mana orang awam terhadap sebuah syarikat yang berpengaruh pasti akan ada lawan balasnya. Apabila Greg Smith cuba untuk membukukan kisah mengenai perletakan jawatannya, dia telah dihentam teruk oleh pakar dan juga pengkritik. (sumber)
5. Andrew Lahde – Pegawai Hedge Fund
Andrew Lahde berhenti kerja pada tahun 2008, setelah syarikatnya membuat keuntungan besar dalam pelaburan pinjaman gadaian. Dia menyatakan dia ingin menumpukan masa untuk menyembuhkan kesihatan mentalnya. Di dalam suratnya, dia mengejek pelabur bodoh yang dianggap sebagai untung mudah dan berterima kasih kepada mereka kerana membuatnya kaya-raya. Antara lain isi surat itu bertulis:
“Kesemua perbuatan bodoh yang menyokong kepada pemerintahan aristokrasi ini membuatkan ia lebih mudah bagi saya mencari orang yang senang diperdaya untuk dibuat keuntungan darinya. Semoga Tuhan memberkati Amerika.”
Perletakan jawatan yang dramatik ini juga mencetus kesedaran ramai orang di Amerika Syarikat untuk berfikir lebih panjang dalam membuat sebarang pelaburan kewangan agar tidak terpedaya dengan janji-janji manis yang diberikan. (sumber)
4. Stephen Round – Guru dari Rhode Island
Kali ini kisah mengenai seorang guru pula. Stephen Round telah mengeluarkan sebuah video di internet bagi mengumumkan perletakan jawatannya sebagai seorang guru. Di dalam video itu dia menerangkan sudah tidak tahan lagi dan sanggup meninggalkan gaji serta imbuhan lain yang diterimanya sebagai pengajar.
Antara perkara yang menjadi penyebabnya berhenti ialah penyelarasan ujian. Pada awalnya, ia berjalan lancar namun masalah mula timbul beberapa tahun kemudian. Guru terpaksa mengajar silibus yang disediakan bukannya mengajar mengikut tahap pelajar yang mereka kenal. Sekolah pula semakin bersaing mengejar keputusan cemerlang. Ini disebabkan gaji guru dan bantuan sekolah juga bergantung kepada keputusan ini. Round menyesal kerana sistem pembelajaran kini lebih banyak memaksa daripada membantu pelajar.
3. Karen Chang – Microsoft
Cara perletakan jawatan ini agak unik daripada yang lain. Karen Chang yang bekerja di Microsoft sebagai sebahagian pasukan yang membangunkan Microsoft Excel memilih untuk menyiarkan videonya menyanyikan lagu perletakan jawatannya. Dia memilih irama lagu American Pie dan diubah liriknya sambil bermain gitar.
Microsoft adalah majikan pertamanya setelah tamat kolej. Sepanjang tahun pertama, dia berasa sangat bersemangat dan Microsoft juga melayannya dengan baik. Lama-kelamaan dia berasa seperti kekurangan sesuatu iaitu keseronokan semasa bekerja.
2. Cat Sacdalan – Pereka Grafik
Apakah yang anda akan lakukan jika anda tidak gembira dengan kerja sekarang sehingga anda perlu banyak bekerja dari rumah disebabkan menjaga bapa yang sedang sakit? Bukan itu sahaja. Malah, anda juga mungkin terkesan dengan sikap rakan sekerja yang sering mengadu kepada ketua tentang ketidakhadiran anda sehingga menyukarkan kerja mereka. Sudah tentu anda akan memilih untuk berhenti kerja bukan?
Seorang pereka grafik wanita bernama Cat Sacdalan telah melepaskan jawatannya dengan cara yang unik dan kreatif.
Dia menggunakan krayon untuk menulis surat perletakan jawatannya menggunakan pelbagai warna ceria. Ditambah pula dengan lukisan seekor anjing di dalamnya membuatkan surat ini tampak sangat bersahaja dan berhenti kerja itu sesuatu yang menyeronokkan. (sumber)
1. Neil Berrett – Hunters Point Naval Shipyard
Lelaki ini mempunyai cara tersendiri untuk meletakkan jawatan. Neil Berret menulis surat perletakan jawatannya menggunakan icing di atas sebiji kek yang besar. Dia menyatakan bahawa sebab dia berhenti ialah kerana kesihatan dan keluarga. Di dalam suratnya itu dia memberitahu bahawa dia sungguh gembira selama bekerja di syarikat perkapalan tersebut. Pekerja seperti ini berkemungkinan besar akan diterima masuk semula apabila memohon kembali kelak. Sememangnya unik dan Neil Berret telah menulis surat perletakan jawatannya dengan begitu “manis” sekali. (sumber)