Pada zaman moden, senjata yang digunakan dalam peperangan sangatlah kuat dan memusnahkan, dek kerana berkembangnya ilmu, dan teknologi. Pada abad ke-21 ini, senjata nuklear dilihat sebagai antara senjata paling berkuasa pernah dicipta oleh manusia. Sekitar ribuan tahun lalu, pedang digunakan sebagai senjata mempertahankan diri, dan senjata untuk berperang. Peninggalan pedang masa lalu menjadi topik utama artikel kali ini.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Pedang Bercabang 7
The Seven-Branched Sword, atau pedang bercabang 7, telah dihasilkan ketika Dinasti Jin di China sekitar tahun 369. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa penulis sejarah yang berasa hairan dengan reka bentuk pedang bercabang 7 itu, dan mereka berpendapat mungkin pedang ini sebaliknya berasal dari Korea, kerana seni kontemporari Korea selalunya mempunyai motif pokok.
2. Pedang Zulfiqar
Menurut kisah komuniti Shiah, pedang lagenda Zulfiqar ini dikatakan adalah hasil pemberian oleh Nabi Muhammad S.A.W. kepada menantu dan sepupu baginda, Ali ibn Abi Talib. Pedang Zulfiqar turut dipaparkan di bendera empayar Turki Uthmaniyah, terutamanya yang digunakan oleh tentera berkuda Janissaries, ketika kurun ke-16 dan ke-17.
3. Pedang Attila
Pedang purba ini adalah milik Atilla the Hun, seorang penguasa kerajaan Hun daripada tahun 434 hingga 453 AD. Beliau adalah seorang penguasa yang ditakuti musuh barat dan timur Empayar Rom. Beliau juga pernah mencuba untuk menyerang dan mengambil alih Constantinople (kini Istanbul), namun gagal. Pedang miliknya dikatakan sebagai sebuah pedang lagenda.
4. Pedang Excalibur
Ini adalah sebuah pedang lagenda di mana kewujudan dan asal usulnya masih lagi menjadi misteri. Pedang ini dikatakan milik King Arthur, pemerintah Britain sekitar hujung kurun ke-5 dan awal kurun ke-6. Menurut sebuah kisah lagenda tentang Excalibur dan King Arthur, raja tersebut memperolehi pedang ini selepas mencabutnya daripada sebuah batu besar tempat ianya tertanam.
5. Pedang William Wallace
Pedang ini telah dipercayai digunakan oleh William Wallace ketika Perang Stirling Bridge pada tahun 1297, dan ketika Perang Falkirk pada tahun berikutnya. Selepas kematiannya, pedang ini telah diberikan kepada Sir John Menteith, gabenor Istana Dumbarton.
6. Pedang Napoleon
Pedang di atas dipercayai milik Napoléon Bonaparte, seorang pemerintah tentera yang mengetuai Perancis ketika beberapa kempen peperangan semasa Revolusi Perancis. Era pemerintahan beliau adalah daripada tahun 1804 hingga 1814. Pedang ini akhirnya telah diberikan kepada adiknya sebagai hadiah perkahwinan. Sejak daripada itu, Pedang Napoleon telah diturunkan dari satu generasi ke generasi, sehingga ianya telah dilelong pada tahun 1978.
7. Pedang Tizona
Dihasilkan pada tahun 1002, Pedang Tizona adalah antara pedang paling terkenal dalam sejarah dunia. Pedang ini adalah milik El Cid, seorang pahlawan Castilian yang mulia yang hidup sekitar kurun ke-11. Pedang ini pernah digunakan bagi menentang tentera Moors, iaitu tentera Islam yang menguasai sebahagian wilayah Sepanyol daripada tahun 711 hingga 1492. Kini, pedang ini menjadi antara khazanah paling berharga di Sepanyol.
8. Pedang Goujian
Turut dikenali sebagai Oriental Excalibur, Pedang Goujian telah dihasilkan sejak 2000 tahun lalu, dan hanya ditemui semula pada tahun 1965 di Hubei, China. Walaupun sudah berusia, pedang ini tetap tajam, dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda tercemar. Jarang sekali artifak setua ini mempunyai keutuhan yang menakjubkan. Pedang ini sebenarnya dihasilkan untuk kegunaan King Goujian yang memerintah antara tahun 496 BC hingga 465 BC.
9. Pedang Saint Galgano
Pedang Saint Galgano adalah sebuah lagi pedang yang turut dibandingkan dengan pedang lagenda Excalibur. Pedang ini juga kerap kali dikenali sebagai Tuscany’s Excalibur. Dihasilkan ketika zaman pertengahan, pedang ini tertanam di dalam sebuah batu yang terletak di Montesiepi Chapel berdekatan Abbey of San Galgano di Siena, Itali. Saint Galgano adalah seorang ahli agama Katolik yang terkenal yang hidup antara 1148 hingga 1181 di Itali.
10. Pedang Norimitsu Odachi
Pedang Norimitsu Odachi adalah sebuah pedang yang digunakan untuk upacara adat istiadat. Ianya dikatakan telah dihasilkan sekitar kurun ke-15 di lokasi yang kini dikenali sebagai Jepun. Saiz ini adalah agak luar biasa, dengan panjang 3.77 meter, dan seberat 14.5 kilogram. Ramai yang tertanya siapakah pemilik sebenar pedang ini, kerana untuk menggunakannya bukanlah mudah bagi manusia bersaiz normal, dan sudah pasti pemiliknya seorang yang besar dan gagah.
Rujukan: